My Followers

Monday, July 26, 2010

Al-Qaradawi dan Pemikirannya dalam Isu-Isu Feqah

Oleh : Dr. Mohd Rumaizuddin Ghazali

Artikel ini membicarakan pemikiran al-Qaradawi mengenai isu-isu feqah, keistimewaan feqahnya dan sumber-sumber yang digunakan dalam mengeluarkan fatwa. Bab ini juga membahaskan maslahah menurut pandangan al-Qaradawi, pandangannya mengenai fatwa, pengaruhnya kepada feqah semasa dan pembaharuan feqah.

Al-Qaradawi dan Feqah

Al-Qaradawi berkecimpung dalam bidang feqah secara serius walaupun beliau bukan lulusan dari Fakulti Syariah, Universiti al-Azhar. Namun, kepakarannya dalam bidang Fiqh tidak dapat dinafikan oleh sesiapa yang membaca buku-bukunya terutama dalam Fatawa al-Mu'asarah. Fatwa-fatwa beliau merupakan fatwa yang sentiasa dinanti-nantikan apabila umat Islam kini menghadapi sesuatu masalah semasa. Ke mana sahaja beliau pergi nescaya beliau akan ditanya tentang hukum hakam yang berkaitan dalam pelbagai bidang kehidupan. Beliau menekuni bidang fiqh dalam kesemua mazhab dan mengambil pendapat yang bersesuaian dengan teks al-Quran dan al-Sunnah walaupun mungkin berbeza dengan mazhab dan sebahagian pandangan ulamak.

Dalam persoalan feqah ini, kadang-kadang al-Qaradawi bersetuju dengan jumhur dan kadang-kadang beliau menyalahi pendapat jumhur. Hal Ini merupakan haknya selagi tidak terkeluar daripada nilai-nilai al-Quran dan al-Sunnah. Beliau juga tidak menganggap bahawa apa yang dikatakannya merupakan betul dan ijtihadnya mesti diikuti. Kita pula tidak boleh menuduh bukan-bukan semata-mata kerana beliau berbeza pendapat dengan jumhur.

Daripada penelitian penulis, al-Qaradawi lebih mirip kepada pendapat-pendapat yang sederhana dengan meraikan pendapat-pendapat ulamak muktabar dan merujuk terus kepada fiqh sahabat dalam menetapkan sesuatu hukum. Beliau banyak mengambil hujah mazhab yang empat dan Ibn Taimiyah serta Ibn Qayyim dalam sesuatu isu sebelum mengeluarkan pendapatnya sendiri.

Sumber-Sumber Feqah oleh Al-Qaradawi

Sumber-sumber feqah yang dipakai oleh al-Qaradawi dalam pelbagai bidang adalah bersumberkan sandaran-sandaran yang muktabar di dalam perundangan Islam, bukan mengikut emosi dan hawa nafsu. Beliau bersumberkan hukum-hukum feqah yang berdasarkan kepada :

a) al-Quran dan al-Sunnah

Sumber utama rujukan ialah al-Quran, wahyu yang diturunkan Allah kepada hamba-Nya Nabi Muhammad s.a.w. Sementara itu al-Sunnah dijadikan sumber kedua, penerang kepada ayat-ayat al-Quran.

Beliau menyeru umat Islam supaya berinteraksi dengan al-Sunnah secara betul dari segi kefahaman. Maksudnya, matan dan sanad. Beliau berpendapat tidak ada Feqah tanpa Sunnah dan tidak ada Sunnah tanpa feqah. Al-Quran dan al-Sunnah merupakan rujukan utama bagi setiap individu muslim dalam mengetahui hukum-hukum Islam. Sunnah terdiri daripada mutawatir dari segi lafaz dan makna. Sunnah dari jenis ini menyamai al-Quran dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan hukum dan tidak mungkin dapat ditolak kerana akidah telah dijamin al-Quran.

b) Maslahah Umum selagi tidak bertentangan dengan Nas

Antara sumber feqah al-Qaradawi ialah Masalihul Mursalah, selagi ia tidak bertentangan dengan nas sahih yang jelas. Al-Qaradawi telah menulis artikel tentang kepentingan (maslahah) dalam buku siyasah syar'iyyah (Sains Politik Islam). Beliau juga menolak golongan yang menggunakan maslahah dalam konteks yang menyeleweng dan bertentangan dengan nas yang pasti. Ada golongan yang mengatakan bahawa Saidina Umar telah membelakangkan nas kerana melihat kepentingan maslahah yang lebih utama. Sesungguhnya percakapan ini sungguh menyedihkan dan berbahaya kerana seolah-olah mengatakan nas samawi bertentangan dengan maslahah dan manusia boleh meninggalkan nas.

c) Menghormati Mazhab Tanpa Ta’asub

Al-Qaradawi menghormati semua aliran mazhab feqah tanpa sebarang perasaan ta’asub dalam mana-mana aliran mazhab tersebut. Beliau berpendapat imam-imam mazhab mempunyai keilmuan yang tinggi, ketakwaan kepada Allah dan berani mengatakan perkara yang betul dan benar. Al-Qaradawi menghormati dua aliran terpenting iaitu aliran Ma’thur dan aliran Ra’yi (pemikiran).

Al-Qaradawi juga lebih mirip kepada aliran pemikiran dalam ijtihadnya, bersandarkan lafaz-lafaz umum dan zahir nas al-Quran. Al-Qaradawi juga mengikuti aliran pembaharuan Islam yang timbul pada kurun ke-7 dan ke-8 yang dipelopori oleh Ibnu Taimiyyah dan anak muridnya, yang dinamakan oleh al-Qaradawi sebagai Madrasah al-Muwazanah wa al-Tarjih (Aliran Pertimbangan dan Membuat Tarjih). Beliau bersetuju dengan Ibn Taimiyah dan Ibn Qayyyim bahawa talak tiga dalam satu lafaz dikira talak satu. Perkara ini berdasarkan teks-teks al-Quran dan hadis yang menyeru ke arah keharmonian rumahtangga dan pemeliharaannya lebih mengarah kepada menyempitkan ruang talak.

Beliau juga menitikberatkan kewajipan menghidupkan warisan lama dan mempelajari pendapat mazhab imam-imam berempat dan imam-imam yang setaraf dengan mereka dari para mujahidin dan tokoh-tokoh yang datang kemudian dari mereka. Kita hendaklah menghapuskan perasaan ta’asub kepada mana-mana mazhab yang tertentu.Perkara yang wajib kita lakukan ialah memberi penilaian yang sewajarnya kepada mereka dan mengkaji pendapat-pendapat mereka supaya kita mengambil manfaat sebanyak yang mungkin. Beliau mengambil pndangan Hassan al-Banna yang menyebutkan bahawa seseorang itu boleh menerima dan menolak pandangan seseorang kecuali perkataan Rasulullah. Pandangan-pandangan al-Qaradawi adalah sederhana dan seringkali mengungkapkan seruan-seruan yang bersifat sederhana bagi umat yang moderat ini. Beliau telah memilih manhaj sederhana ini sebagai pendekatan fatwa dan dakwahnya sejak sekian lama. Bahkan hal ini dapat dilihat dalam bukunya “Halal dan Haram dalam Islam” , buku pertama yang ditulisnya.

d. Feqah Dalam Khidmat Dakwah

Feqah hendaklah digunakan dalam khidmat dakwah kepada Islam. Al-Qaradawi menyeru faqih kini supaya menguasai ilmu-ilmu sehingga mencapai darjat yang membolehkan mereka membuat tarjih di antara pendapat ulamak. Mereka juga boleh berijtihad bagi zaman dan suasana mereka sepertimana ulamak-ulamak dahulu berijtihad untuk zaman dan suasana mereka. Kemestian seorang faqih mengkaji buku-buku turath dalam setiap zaman dengan kajian yang baru berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah, maqasid syariat dan nilai-nilai murni Islam.

Al-Qaradawi mengingkari golongan yang ingin menghapuskan khilaf, dan menghimpunkan manusia dalam satu pendapat iaitu dengan mengikut pendapat mereka semata-mata. Sedangkan perkara khilaf itu telah wujud sejak zaman sahabat malahan pada zaman Nabi. Percubaan-percubaan mereka ini akan menambahkan lagi khilaf dan bukan mengurangkannya. Begitu juga beliau mengingkari golongan yang suka menyibuk dalam perkara khilaf yang remeh-temah. Oleh itu, kepentingan feqah dalam dakwah mestilah diasaskan dengan kebijaksanaan, toleransi, perikemanusiaan, suasana dan keadaan masyarakat. Beliau menggariskan beberapa jenis kefahaman sebagai usaha untuk memahami konteks dakwah yang sebenar seperti kefahamanan tentang keutamaan (fiqh al-awlawiyyat), kefahaman pertimbangan (fiqh al-Muwazanat), kefahaman tentang realiti (fiqh al-Waqi') dan kefahaman tentang perubahan (fiqh al-Taghayyir).

e) Mengambil pendapat yang kuat alasannya dan mudah.

Ketika mengeluarkan pendapat dan fatwa, al-Qaradawi akan memilih pendapat yang lebih kuat alasannya dan mudah kepada orang ramai. Beliau menyatakan bahawa perselisihan pendapat harus dilihat dari segi positif. Perkara ini tidak harus dilihat sebagai keretakan dan perpecahan kepada umat Islam yang sudah sekian lama hidup berpecah belah. Al-Qaradawi telah mengupas perkara ini dalam Fatwa al-Mu'asir dimana beliau mengambil pendapat yang bertentangan dengan mazhab yang empat, perbezaan imam-imam dan hukum bertaqlid. Perlu diketahui bahawa fiqh Islam bukan hanya terhad kepada yang empat seperti yang diketahui umum, malahan terdapat ulamak-ulamak yang memiliki keilmuan yang tinggi seperti yang dimiliki oleh imam yang empat seperti Imam Laith bin Saad, Sufian al-Thauri, al-Awza’ie dan lain-lain lagi. Imam-imam yang empat tidak pernah menyifatkan diri mereka maksum. Malahan fatwa yang dikeluarkan adalah merupakan ijtihad, apabila betul mendapat dua ganjaran pahala dan apabila salah mendapat satu ganjaran pahala. Imam-imam tersebut turut merujuk kembali fatwa-fatwa yang telah dikeluarkan oleh mereka sendiri sebelum meninggal dunia.

Menurut al-Qaradawi juga seseorang faqih harus bersandarkan terus kepada al-Quran dan al-Sunnah tanpa terikat kepada mana-mana mazhab jika ia berkemampuan untuk berbuat demikian. Yang penting di sini ialah mengelak daripada memperkecilkan pihak lain, justeru para ulamak kita telah memutuskan bahawa tidak wajar bagi seseorang memperkecilkan seseorang yang lain dalam perkara ijtihad. Para ulamak menegaskan bahawa persoalan-persoalan ijitihad tidak boleh diingkari secara kekerasan dan tidak seorang pun yang boleh menggesa orang ramai mengikutinya, tetapi ia hendaklah berbincang menggunakan hujah-hujah ilmiah, selepas itu sesiapa yang jelas baginya mengenai salah satu daripada pendapat tadi, dia boleh mengikutinya, dan jika ada orang yang bertaqlid dengan satu pendapat lagi maka tidak wajar ia diingkari. Oleh itu, seseorang itu tidak boleh menggesa orang ramai berpegang dengan pendapatnya atau mazhabnya sahaja.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails