My Followers

Thursday, July 29, 2010

Agenda-agenda Perubahan Ummah – As-Syahid Imam Hasan al-Banna


Pemikiran al-shahid Hasan al-Banna memang tidak asing lagi.Tentu ramai yang gemar membaca tulisan al-Syahid Hasan al-Banna akan mengikuti satu pemikiran beliau mengenai ‘tahap-tahap al-Amal’. Dalam tulisan ringkas ini,saya cuba mengupas dan akan kemukakan suatu perbincangan mengenai peringkat turutan yang beliau kemukakan. Dicadangkan agar sahabat-sahabat turut merujuk buku Penjelasan Di Sekitar Risalah Ta’alim (terjemahan) 2006 untuk mendapatkan gambaran yang lebih terperinci turutan-turutan amal ini.

Menurut Hasan al-Banna, apabila seorang individu Muslim mula menyedari tanggungjawabnya terhadap dakwah dan menyerahkan dirinya terhadap kerja-kerja ini, maka sebagai kerangka yang akan menjadi tunjang dan peneguh kepadanya adalah melalui ba’iah. Bai’ah ialah ikrar dan janji terhadap Allah swt yang dilafazkan oleh seorang individu Muslim hasil daripada kefahaman, keyakinan, semangat juang, motivasi dan juga rasa keinsafan.

Ada 10 rukun bai’ah yang dibentangkan oleh al-Imam al-Syahid Hasan al-Banna bermula dari 1 ) al-fahm 2 ) al-ikhlas 3 ) al-Amal 4 )al-Jihad 5 ) al-tadhiyah 6 )al-tha’ah 7 )al-thabat 8 ) al-Tajarud 9 ) al-ukhuwwah 10 ) al-thiqah

Sepuluh rukun ini menjadikan sesuatu ikrar dan janji untuk menunaikan tanggungjawab dakwah itu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Boleh jadi kita boleh simpulkan bahawa rukun-rukun ini adalah kunci-kunci yang menghidupkan enjin sebuah kenderaan dakwah. Kesemua kunci ini perlu dihidupkan barulah enjin kenderaan itu dapat berfungsi dengan sempurna yang hasilnya akan menggerakkan kenderaan dakwah itu. andaikata salah satu dari kunci-kunci enjin ini tidak dihidupkan ataupun berfungsi maka ia akan memberikan kesan kepada ‘hidup’ atau ‘tidak hidup’ enjin itu dan samada kenderaan itu bergerak, terus bergerak, ataupun mati dan berhenti di tengah jalan.

Selain itu perlu kita ketahui bahawa sesuatu kenderaan tidak akan bergerak tanpa petrol, diesel ataupun lain-lain sumber tenaga. Sumber-sumber ini menjadi ‘input’ yang menjadi bahan bakaran untuk enjin. Iman dan juga ilmu pengetahuan adalah antara sumber yang menjadi ‘input’ untuk para da’iy. Begitulah juga dengan kenderaan yang perlukan air untuk mengimbangi kepanasan enjin, begitu jugalah seorang da’iy memerlukan kepada siraman-siraman wahyu, panduan nabi, amalan ibadah untuk mengimbangi cabaran-cabaran dakwah.

Dalam menghuraikan rukun al-Amal yang menjadi salah satu rukun baiah, al-Syahid Hasan al-Banna mengingatkan:

1. Sebagai ahli gerakan Islam dan dakwah kita mesti menjadi aktivis. Maksudnya bukan menjadi ahli teori ataupun pendebat.

2. ‘Amal’ adalah buah bagi ilmu yang ikhlas.

3. Sekadar memasang niat yang baik belum memadai untuk mencapai matlamat apabila tiada usaha yang bersungguh-sungguh.

4. Awas dari menjadi golongan yang hanya melaungkan slogan, dakwaan kosong dan berangan-angan.

Sebagai ahli gerakan Islam dan dakwah, kita memandang penting semua turutan-turutan amal yang digariskan oleh beliau dari tahap 1 sehinggalah tahap 7.

Agenda Perubahan Ummah pertama ialah pembentukan dan pembaikian diri sehingga menjadi individu muslim yang bertubuh kuat, berakhlak, minda yang intelek, mampu berusaha, memiliki akidah yang sejahtera, melakukan ibadah yang sahih, sentiasa bermujahadah jiwa, menjaga masa, urusannya bersistematik dan mampu bermanfaat untuk orang lain.

Agenda Perubahan Ummah kedua ialah pembentukan rumahtangga muslim. Yakni membimbing ahli keluarganya menghormati fikrahnya, menjaga adab dan akhlak Islam, bijak memilih pasangan, mengajar tentang hak kewajipannya, mendidik anak dengan asas-asas Islam. Pendek kata anggota rumahnya menjaga kewajipan dan mengikut cara hidup Islam.

Agenda Perubahan Ummah ketiga
ialah membentuk dan membimbing masyarakat. Peringkat ini bermaksud menyebarkan dakwah ke arah amar ma’ruf dan nahi munkar. Sebuah masyarakat yang ingin dibentuk di sini ialah masyarakat yang hidup dengan jiwa Rabbani ataupun ada rasa kepercayaan terhadap Tuhan. Masyarakat ini juga menyokong segala usaha-usaha kebaikan dan kebajikan,serta menolak kemunkaran seperti kekejian, kezaliman dsb. Ini bermakna seorang individu Muslim mula menjalankan dakwah ke atas orang lain.

Antara soalan yang biasa timbul mengenai tahap-tahap Agenda Perubahan Ummah ini adalah:

1. Adakah perlu mengikut tahap-tahap ini secara berturut-turut? iaitu bermula dari tahap satu, setelah sempurna ataupun selesai tahap 1 maka berpindah ke tahap 2, dan setelah selesai tahap 2 barulah berpindah ke tahap-tahap seterusnya?

Pada pandangan dan pendapat saya, secara idealnya jika ia dapat dilakukan sedemikian bolehlah dilakukan begitu. Akan tetapi Islam mengambil kira praktikal, prioriti, mengelak kemudaratan, menjaga kemaslahatan dan beberapa prinsip lain dalam memastikan dakwah berjalan dengan efisen. Dakwah juga mengambil panduan dari nas-nas al-Quran, sirah Rasulullah s.a.w dan juga ijtihad.

Apabila dinyatakan tahap-tahap ini bukanlah bermakna tahap-tahap ini perlu menunggu satu-satu tahap itu tercapai terlebih dahulu barulah berpindah ke tahap seterusnya. Contohnya seorang da’ie yang baru mula mendekati gerakan dakwah. Adakah dia perlu tunggu untuk berdakwah kepada orang lain (tahap 3) yakni peringkat masyarakat cthnya rakan-rakan sekuliah, rakan-rakan serumah, sepersatuan ataupun yang dikenalinya dalam perjalanan ke tempat pengajian kerana dia perlu menyelesaikan terlebih dahulu pembentukan dan pembaikian dirinya sehingga dia menjadi seorang yang bertubuh kuat, berakhlak, memiliki akidah yang sejahtera, melakukan ibadah yang sahih, menjadi seorg yang bermanfaat spt ciri-ciri dalam individu Muslim dalam tahap 1? Persoalan kedua yang saya ingin kemukakan ialah, jika ingin tunggu dan akan berdakwah kepada orang lain termasuk di kalangan masyarakat (tahap 3), adakah da’ie tadi perlu sempurnakan tahap 2 terlebih dahulu iaitu dia perlu membina keluarga Muslim terlebih dahulu sebelum menyeru orang/masyarakat lain?

Mari rujuk semula tahap-tahap yang dikemukakan oleh Al-Syahid Hasan al-Banna (ms.248-255)

Tahap pertama
:Agenda Perubahan Ummah 1 ialah tahap dakwah kepada diri kita sendiri. Iaitu tahap kita memperbaiki diri kita sendiri sehingga menepati 10 ciri individu Muslim yang digariskan. Tahap ini bukan bermaksud kita berdakwah membentuk individu lain ataupun membentuk diri orang lain. Ini kerana dakwah membentuk diri orang lain ini termasuk dalam dakwah kepada pasangan/anggota keluarga dan dakwah kepada orang lain yang menjadi individu dalam masyarakat dan termasuk dalam tahap 2 dan tahap 3. Tahap pertama ini merupakan langkah asas iaitu seseorang itu berusaha menjadikan dan melengkapkan dirinya untuk menjadi seorang da’iy yang memiliki ciri-ciri terpuji seorang hamba Allah. Pada tahap ini seseorang itu perlu berusaha bersungguh-sungguh mendapatkan kefahaman, pengajaran, pentarbiyahan, pengalaman dalam memenuhi 10 rukun bai’ah yang telah disebut di atas.

Tahap kedua :Agenda Perubahan Ummah 2 ialah usaha kita dalam membimbing dan mentarbiyah ahli keluarga kita baik ibubapa, adik beradik, kaum kerabat, memilih pasangan bagi yang belum berkahwin, mendidik anak-anak dengan tarbiyah Islam dsb. Mari kita ambil panduan dari sirah nabawiyah. Apabila Rasulullah s.a.w menerima risalah dakwah baginda mula menyampaikan dakwah tersebut. Khadijah, isteri baginda menjadi orang yang pertama di dunia ini yang beriman dengan risalah baginda. Begitulah juga sepupu baginda Ali r.a, puteri-puteri baginda ke semuanya. Rasulullah s.a.w seterusnya berdakwah kepada bapa saudara-bapa saudaranya seperti Abu Talib, Abu Lahab, Jaafar, Hamzah dan Abbas. Ada di kalangan mereka ini yang beriman dan ada yang menolak malah membuat berbagai-bagai sekatan kepada baginda. Soalnya, adakah baginda tunggu tahap 2 ini sempurna ataupun semua keluarga baginda memeluk Islam dan menerima dakwah sebelum beralih ke tahap berikutnya yakni berdakwah kepada sahabat handai seperti Abu Bakar al-Siddiq, Uthman bin affan, Bilal bin Rabah, Ammar bin Yasir, al-Arqam bin Abi al-Arqam? Adakah baginda tunggu dan menahan dirinya beralih ke peringkat dakwah seterusnya dengan berdakwah ke taif, membuat perjanjian dengan delegasi dari suku Aus dan suku Khazraj dari Madinah?

Sekiranya tahap-tahap dakwah ini mesti dilakukan satu persatu, maka sudah tentu Rasulullah s.a.w tidak akan meninggalkan Makkah dan kaum Quraisy iaitu kaum keluarga baginda sendiri. Jika dakwah mesti ditangguh-tangguh tahapnya satu persatu, tidak akan ada baiah aqabah 1, baiah aqabah 2, tidak perlu Mus’ab bin Umair r.a dihantar ke Madinah kerana keluarganya di Mekah masih lagi musyrik. atau dengan kata mudah penghijrah dan pembentukan negara Islam tidak akan berlaku kerana Rasulullah s.a.w perlu memastikan satu persatu tahap tersebut berjaya dikendalikan. Antara contoh lain ialah dakwah Nabi Nuh a.s. Al-Quran menyebut dengan jelas bagaimana sedikitnya golongan yang beriman dan ramainya golongan yang tidak mengikut dakwah baginda termasuklah isteri baginda dan juga anak baginda. Bayangkan andaikata Nabi Nuh a.s ingin menunggu isteri dan anaknya menerima dakwah baginda terlebih dahulu dan tidak berdakwah kepada selain mereka. Apakah kesudahannya nanti?

Oleh itu tahap-tahap yang dikemukakan oleh al-Syahid Imam Hasan al-Banna bukan bermaksud perlu disempurnakan satu persatu bahkan dilaksanakan mengikut pertimbangan-pertimbangan yang berasaskan panduan dari nas-nas al-quran, panduan sirah nabawiyah dan keadaan semasa yang dilalui oleh para da’iy. Seterusnya tahap berikutnya:

Agenda Perubahan Ummah keempat
: Membebaskan tanahair dari kuasa politik, ekonomi, kehidupan ataupun rohani dari kuasa dan pengaruh asing yang tidak berlandaskan ciri-ciri Islam.

Agenda Perubahan Ummah kelima: Membaiki kerajaan sehingga melaksanakan tanggungjawab dan memberikan khidmat untuk kebaikan rakyat. Bagi rakyat beragama Islam mereka tertakluk untuk melaksanakan kewajipan yang ditetapkan oleh agama dan peraturan Islam. Golongan yang beragama dan tidak beragama selain Islam, mereka diganding dan diminta bantuan untuk melaksanakan ataupun memegang kepimpinan yang penting dalam kerajaan sejajar dengan prinsip-prinsip umum yang disepakati dengan Islam (contohnya menjaga keadilan, keamanan, kebajikan, kesamarataan etc)

Agenda Perubahan Ummah keenam: Mengembalikan entiti dan negara umat Islam serta membebaskan tanah airnya serta mengembalikan kegemilangan, thaqafah, kebudayaan, ketamadunan dan menyatukan suara mereka ke arah mewujudkan kembali khilafah.

Agenda Perubahan Ummah ketujuh: Memimpin dunia dan mengajak kepada cara hidup Islam di segenap penjuru alam.

Empat tahap terakhir ini merupakah tahap-tahap agenda perubahan terpenting dalam berdakwah dan dianggap sebagai tanggungjawab jemaah yang terpenting. Di tahap-tahap inilah ujian sebenar erti dakwah akan berlaku dan seseorang da’ie yang mengikat hidupnya dengan sebuah jemaah Islamiyah akan benar-benar teruji.

Jika dalam tahap-tahap tiga terawal tadi tugasnya lebih mudah dan tidak membebankan bahkan mampu dilakukan secara fardi (taklifan individu) maka pada tahap-tahap terakhir ini makna penglibatan dan penggabungan diri dalam sebuah jemaah akan benar-benar menunjukkan makna dan praktikal amal jama’ie yang sebenarnya.

Pada peringkat ini juga kematangan berdakwah akan terserlah hasil dari cabaran, pengalaman, penglibatan yang lebih kompleks.

Tahap-tahap ini juga akan menjadi batu asas dan petunjuk kepada para da’ie ciri-ciri sebuah jemaah Islamiyah yang beliau bergabung. Tahap-tahap ini akan menjadi carta ataupun penilaian tentang sejauhmanakah usaha dakwah dilakukan menepati saranan-saranan yang dikemukakan baik oleh Imam Hasan al-Banna ataupun rujukan-rujukan lain yang terdiri dari tokoh-tokoh agama, pemimpin-pemimpin gerakan dakwah dan gerakan Islam.

Menurut beliau lagi empat tahap yang terakhir yakni dari tahap 4 iaitu agenda perubahan untuk membebaskan tanah air sehingga agenda tahap ke-7, setiap ahli jemaah perlu bersatu kerana ia adalah suatu tanggungjawab yang berat, besar, dan ia merupakan suatu cita-cita yang besar.

Beliau juga menegaskan beberapa perkara utama bahawa individu Muslim adalah unsur yang paling asas dalam kesemua tahap-tahap ini. Untuk membina dan membentuk individu ini ada beberapa cara seperti disebut dalam ms.255 spt aktiviti pengajian, usrah, gabungan usrah/kitabah, bersiar-siar, riadah, perkhemahan dan byk lg. Individu inilah yg akan bertanggungjawab untuk melaksanakan dakwah seterusnya untuk keluarganya, masyarakat, tanahair dan seterusnya.

Beliau juga menolak pandangan tindakan radikal seperti penggulingan tentera tanpa persediaan dan tidak bersistematik.

Kestabilan dakwah dapat dilakukan dengan mengambil berat tahap individu, tahap pembentukan keluarga, pembaikian dalam masyarakat dan seterusnya dengan membentuk pandangan umum yang Islamik, akur terhadap wahyu serta konsisten dengan cara hidup berlandaskan syariat dari Allah.

Kesimpulan:

Sebagai ahli gerakan Islam dan dakwah, kita tidak seharusnya mengabaikan kesemua tahap-tahap yang dikemukakan oleh Imam Hasan al-Banna.

Kita juga meyakini bahawa asas dakwah bermula dari individu yang memiliki kesemua ciri-ciri tersebut dan sentiasa memperbaiki diri dari masa ke semasa. Pada waktu yang sama akan berusaha melaksanakan dakwah dalam tahap-tahap seterusnya dengan bersungguh-sungguh dan tidak memilih-milih.

Sebagai penutup tulisan ini dikemukakan beberapa soalan untuk perbincangan:

1. Anda seorang yang mempunyai rasa tanggungjawab untuk berdakwah. Ketika ini anda berasakan perlunya menggabungkan diri dalam sebuah jemaah Islam. Berdasarkan saranan-saranan terhadap tahap-tahap dakwah yang dikemukakan oleh tokoh gerakan Islam Imam Hasan al-Banna, bagaimanakah pertimbangan-pertimbangan yang anda fikirkan untuk mencari sebuah jemaah Islamiah dan bergabung dengannya.

2. Anda seorang ahli jemaah Islamiyah yang amat aktif dalam kerja-kerja dakwah pada tahap 3 iaitu tahap berdakwah kepada orang lain. Bagaimanapun anda masih muda dan belum berkahwin. Tidakkah anda berasakan bahawa anda berdakwah tanpa turutan yang sepatutnya?

3. Seorang rakan anda ialah seorang da’iyah muslimah yang belum mendirikan rumahtangga. Pada peringkat beliau sekarang, beliau telah berkerjaya dan bergiat dalam kerja-kerja kebajikan dan dakwah. Satu pandangan telah dinyatakan kepadanya bahawa beliau perlu berdakwah secara bertahap-tahap mengikut turutan tahap 1, tahap 2 dan seterusnya. Pemikiran ini mencabar dan membuatkan beliau berada dalam dilema kerana beliau belum menyempurnakan tahap kedua iaitu pembentukan keluarga anda sendiri iaitu mencari pasangan hidup. Rakan ini anda dapati dirinya adalah model seorang muslimah contoh. Bagaimana harus anda nasihati beliau supaya dakwah tahap 3 dan seterusnya yang sedang dilakukannya tidak berhenti ataupun tergendala.

4. Rakan anda seorang yang baru sahaja terlibat dalam dakwah. Beliau masih berasakan dirinya di permulaan tahap 1. Terlalu banyak lagi kefahaman dakwah dan gerakan Islam yang belum dipelajari. Pada peringkat ini juga rakan anda dipinang oleh seseorang dan beliau sedang menimbang-nimbang pinangan tersebut. Pada pandangan anda adakah wajar dia mengambil keputusan untuk menerima pinangan dan berkahwin dalam masa terdekat di kala tahap 1 proses pembaikian dirinya baru sahaja bermula?

5. Sesetengah orang berasakan dakwah tahap 4 iaitu dakwah membebaskan negara dari pemikiran asing ataupun penjajahan asing bukan termasuk dalam usaha-usaha dakwah. Apa pandangan anda?

6. Sila rujuk dakwah tahap 5. Bagaimana pandangan anda terhadap jemaah Islamiyah yang memisahkan antara dakwah mereka dengan dakwah tahap 5?

7. Berdasarkan tulisan dan perbincangan bersama-sama rakan anda, bolehkah anda senaraikan beberapa ciri-ciri jemaah Islamiah berdasarkan kefahaman anda terhadap peringkat ataupun tahap-tahap dakwah di atas.

SOALAN TAMBAHAN:

Sekiranya anda adalah penduduk Gaza, pada situasi anda dan masyarakat Islam Gaza, apakah tahap-tahap amal yang menjadi prioriti anda sekarang?

Rujukan: Buku Penjelasan Di Sekitar Risalah Taalim. (Pengarang Muhammad Abdullah al-Khatib) – Terjemahan Mohd Nizam Mohd Ali – Selangor: Dewan Pustaka Fajar (2006) cetakan terbaru,hlm 242-255 dan hlm 389-404.

Ayuh sahabat-sahabat semua,kita fikirkan bersama!!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails