Bertemu kembali..entry kali ini adalah ulasan yang saya buat dari semasa saya menghadiri satu persidangan antarabangsa "The Tawhidi Epistimologi Zakat And Waqf Economy" di ILIM. Kertas kerja ini dibentangkan oleh salah seorang Profesor yang membentangkan kertas kerja beliau semasa persidangan tersebut. Jadi saya ingin berkongsi dengan semua pembaca tentang ulasan dari kertas kerja beliau agar kita sama-sama berfikir secara lebih kritis....
Waqaf adalah amalan mulia yang sangat digalakkan oleh Islam. Sebagai salah satu mekanisme kebajikan, waqaf agak unik berbanding dengan sedekah, hadiah dan derma kerana harta yang diwaqafkan itu akan di ‘tahan’, iaitu tidak dihabiskan tetapi sebaliknya apa-apa manfaat atau pulangan daripada penggunaan harta waqaf itu boleh dibelanjakan. Bermula dengan amalan waqaf tetap secara langsung, dewasa ini perkembangan waqaf adalah dalam bentuk waqaf tunai dan daripada tunai inilah sebahagiannya dimanfaatkan untuk pembangunan atau pembelian hartanah atau harta lain dan sebahabian pula akan dilaburkan dalam pasaran kewangan. Pembangunan ini dapat dipercepatkan melalui badan khas diperingkat negeri dan kebangsaan dengan mengambil pelajaran daripada perkembangan institusi-institusi zakat.
Di bawah Perkara 74(2) Perlembagaan Persekutuan Malaysia, waqaf dimasukkan di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-negeri dan dikecualikan dari peruntukan Kanun Tanah. Dewasa ini, usaha sedang giat dilakukan untuk membangunkan tanah waqaf am yang mempunyai potensi pembangunan. Kerajaan Pusat dalam usaha memakmurkan amalan waqaf telah menubuhkan Jabatan Waqaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) bagi membantu usaha peringkat negeri. Dari dana yang disalurkan melalui JAWHAR beberapa projek pembangunan telah mula dilaksanakan.
Pembangunan sektor ketiga melalui program waqaf adalah sangat penting bagi mewujudkan mekanisme penjanaan dana yang bersifat lestari serta melibatkan hampir seluruh warga masyarakat. Infrastruktur kebajikan amat perlu diusahakan dengan segera agar amalan infaq ini dipupuk dan akhirnya menjadi suatu Budaya Masyarakat dan natijahnya adalah mendapat keberkatan dan keredhaan dari Allah s.w.t.
Asas kepada waqaf adalah bersumberkan hadis Nabi Muhammad s.a.w yang maksudnya : “Apabila mati sahaja seseorang anak Adam maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah (waqaf), ilmu yang bermanfaat dan doa anak soleh yang mendoakan kebaikan kepada ibu bapanya.” Maka salah satu keperluan yang sangat penting untuk diketengahkan adalah keperluan dana yang mampan untuk agenda pendidikan. Di Malaysia, umumnya terdapat tiga aliran utama dalam persekolahan iaitu sekolah kendalian kerajaan Persekutuan/Negeri, sekolah aliran agama kendalian Majlis Agama Islam dan sekolah kendalian persendirian (swasta). Setiap tahun para ibu bapa dikehendaki untuk membayar dan menyumbang sejumlah wang untuk menampung keperluan operasi sekolah terutama yang melibatkan program kecemerlangan akademik. Bagi sekolah-sekolah swasta yang menawarkan kurikulum elit dan mengenakan yuran yang tinggi, mungkin sumber kewangan mereka kukuh. Namun bagi majoriti sekolah, terutama yang menawarkan kurikulum aliran agama Islam, keperluan kewangan merupakan di antara agenda yang besar bagi pentadbiran sekolah.
Dalam konteks pendidikan sekolah, amalan kaedah waqaf dapat memenuhi tiga keperluan utama iaitu pembangunan sekolah dan kemudahannya, menampung kos operasi dan aktiviti kecemerlangan akademik, sahsiah dan kepimpinan. Di antara produk-produk yang menggunakan kaedah waqaf dan boleh dilancarkan untuk pembangunan waqaf pendidikan di Malaysia adalah seperti Skim Waqaf dan Infak Am dengan Takaful, Skim Pendidikan dengan Takaful, Skim Waqaf Pembangunan Pendidikan dengan Takaful dan Skim Hibah dan Wasiat Pendidikan. Skim di atas boleh secara tunai atau dalam bentuk asset lain. Dana-dana yang terkumpul akan segera dimanfaatkan kepada aktiviti penjanaan hasil dan juga dibuat peruntukan perbelanjaan berasaskan keutamaan pengembangan ilmu.
Selain Skim Waqaf Pendidikan-PIBG dengan elemen Takaful, pihak pengurusan dijangka boleh memperkenalkan produk-produk waqaf yang innovative dengan bercirikan elemen Takaful Kelompok, Perkongsian Pulangan untuk Di Waqaf, Waqaf Instrumen Pasaran Kewangan, Waqaf Instrumen Pasaran Modal dan pelbagai lagi yang menggunakan konsep waqaf. Pelbagai program yang bakal dijalankan berpotensi mewujudkan peluang-peluang pekerjaan pelbagai peringkat dari pengurusan, pentadbiran dan sokongan. Program kebajikan juga perlu dan mampu diurus secra professional.
Penulis kertas kerja telah membuat simulasi akan potensi dana yang mungkin dapat dikumpulkan melalui tiga pendekatan iaitu komponen sumbangan infak bulanan dan komponen caruman Takaful bulanan, komponen sumbangan infak tahunan dan komponen caruman Takaful bulanan dan usaha pengumpulan dana daripada pihak industry-dermawan korporat. Bermula dengan model mikro pada tahap satu sekolah dan berkembang untuk kelompok sekolah-sekolah berasaskan aliran, mukim, Bandar, daerah dan negeri, program Waqaf Pendidikan ini boleh dipertimbangkan untuk peringkat Kebangsaan bagi semua rakyat dalam negara tanpa mengira bangsa dan anutan agama.
Program Pembangunan Waqaf Pendidikan ini bukan saja akan memperkara konsep waqaf, ia juga berpotensi untuk memperkasakan sektor ketiga ekonomi Islam, mengembangkan aktiviti ekonomi melalui pelbagai projek pembangunan, pelaburan dan perniagaan, pelengkap kepada program Pembangunan Bantuan Kerajaan, pelengkap kepada program Kebajikan Bantuan Kerajaan, pelengkap kepada program Pendidikan Bantuan Kerajaan dan menyatupadukan masyarakat berbilang kaum dan agama atas konsep waqaf. Untuk tahun-tahun seterusnya, pelbagai usaha boleh dipertingkatkan seperti pelancaran produk-produk baru yang juga berteraskan kaedah waqaf, program Kebajikan dan program Kecemerlangan Pendidikan.
No comments:
Post a Comment