My Followers

Wednesday, September 8, 2010

Zikir Yang Dipermainkan...Astagfirullah..



Ya Allah..apa nak jadilah remaja sekarang ini. Zikir dijadikan alat sebagai gurauan dan permainan mereka. Bertaubatlah sebelum terlambat. Tidakkah kalian mengetahui bahawa perbuatan kalian itu telah mencemarkan agama Islam itu sendiri.Perlakuan kalian amat2 memalukan!!

Video klip tersebut telah tersebar di ruangan maya beberapa waktu yang lalu. Di dalamnya, terdapat adegan yang dilakonkan secara ‘sengaja’ oleh beberapa gadis melayu bertudung. Apabila bertudung, sudah tentu fikiran kita terfokus kepada Islam – kerana umum sedar, gadis bertudung adalah beragama Islam.

Video beberapa minit itu memaparkan beberapa gadis bertudung itu sedang duduk persis dikir barat dan menggoyangkan badan kemabukkan. Apa yang mendukacitakan, mereka mengalunkan pula zikir-zikir berselang-seli gelak tawa. Itu pucanya. Ternyata, sebaran video itu mendapat cemuhan dan kritikan yang berganda-ganda dari kalangan komentator.

Ada yang memaki dengan penuh perasaan, mengutuk bersama emosi dan pelbagai rasa ketidakpuasan hati lainnya. Tak terlepas juga, ada komentator yang bertindak sebagai pengadil yakni lebih bersifat pertengahan.

BILA ROH ISLAMI TERHAKIS

Saya percaya, pelakon-pelakon yang beraksi selama 1:23 minit mengalunkan zikir sambil terkinja-kinja itu menganggap perbuatan mereka adalah sekadar gurauan semata-mata. Barangkali dengan gurauan ala skeptikal atau sarkastik tersebut mampu membuatkan penonton terhibur dengan aksi mereka, walaupun ia mungkin mengguris hati umat Islam yang lain.

Benar, Islam tidak melarang umatnya untuk bergurau senda. Namun begitu, dalam senda gurau tersebut haruslah dipagari oleh sempadan agama. Sempadan agama di sini bukan bermaksud memijak agama, tetapi mengikut lunas dan nilai murni yang dianjurkan agama. Tetapi jika umat tidak menghadami apakah itu nilai-nilai sempadan agama, maka lebih mudah untuk terjerumus ke lembah kesyirikan atau khurafat.

Seandainya mereka yang menyanyi itu mengerti maksud di sebalik dendangan zikir taubat itu, pasti hati mereka menjadi kecut, lalu seluruh jiwa bergetar hebat akibat rasa takut pada Allah Ta’ala. Malah, mereka sama sekali tidak berani untuk mencetuskan kontroversi melibatkan soal agama di khalayak kerana pakaian iman dan takwa membaluti jiwa dan raga mereka.

حسبي ربي جل الله ما في القلب غير الله

Tuhanku sudah cukup bagiku - kemuliaan bagi Allah Ta’ala,
tidak ada dalam hatiku kecuali Allah.

Dewasa ini, kita dapati golongan-golongan yang skeptikal pada agama Islam bercambah bak cendawan tumbuh selepas hujan. Ini tidak termasuk mereka-mereka yang ternyata kafir, dan menghina Islam. Jika dicampur tolak, mereka yang tinggal untuk mempertahankan Islam hanya segelintir cuma. Maka, tugas untuk menyedar dan mempertahankan Islam semakin berat untuk dipikul. Dan akhirnya, mereka yang menjunjung agama Allah ini seperti menggenggam bara api.

Kenyataan yang tidak dapat disangkal lagi, sesungguhnya para pemerintah yang mengaku muslim juga seringkali bertindak sebagai penyubur budaya sarkastik (Baca: Memperolokkan agama secara diam atau terang). Maka, bila roh islami ini tercabut dari kalangan pemerintah, sudah pasti rakyat marhaen juga turut terkena tempiasnya. Ditambah pula dengan kejahilan yang membelenggu, sudah tentu bertambah parah masyarakat.

Berbalik kepada isu gadis melayu bertudung tadi. Secara peribadinya, saya berharap semoga si pelakon itu insaf dengan sebenar-benar insaf. Perbuatan merakam, melakukan aksi sedemikian rupa bukanlah suatu perbuatan yang indah. Bahkan ia menghakis rasa malu dan maruah diri. Sedangkan, malu itu adalah perisai bagi seorang wanita Islam. Ia diumpakan berlian yang tinggi nilainya. Jika hilang rasa malu, tiada apa lagi yang harus dipertahankan. Terdapat sebuah hadis berbunyi:

Maksud hadis: Rasulullah SAW bersabda: “Apabila kamu tidak malu, maka buatlah apa yang kamu suka!”
Bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat. Jauhkanlah dari perbuatan sebegitu tidak kira siapa kalian – dibimbangi terjatuh ke dalam gaung kesesatan. Nauzubillahhi minzalik.
Maksud hadis: Daripada Ibnu Umar r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda: ” Sesungguhnya Allah SWT menerima taubat seorang hamba selagi nafasnya tidak berada di halqum.” (Riwayat Imam Ahmad, Imam at-Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban.)

Ingatlah, azab Allah itu lebih pedih walaupun gurau senda kamu memperolokkan agama hanya sedetik cuma.

1 comment:

  1. andai semua muslimah berfikir macam Norita, dunia ini pasti bagaikan syurga.

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails