Rancangan Lau Kaana Bainana kini mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia pada hari ini. Alhamdulillah,tahniah kepada pihak penganjur kerana telah memaparkan rancangan yang penuh memberi kesedaran terutamanya rakyat di Malaysia. Rancangan yang bermanfaat seperti inilah yang perlu dibawa masuk dan disalurkan ke media khususnya di TV. Tahniah kepada TV Al-Hijrah kerana telah memilih satu saluran yang sangat bermanfaat untuk ditonton oleh rakyat Malaysia. Musim pertama telah pun berlalu, musim kedua pula menyusul. Sesiapa yang tidak berkesempatan untuk melihat musim pertama boleh menonton di web ini http://www.fawaed.tv/dourouss/Law_Kana_Baynana_1
Rasulullah sebagai ikon terulung dan terunggul kini hampir dilupakan. Bahkan sekiranya dibuat kajian, berapa ramaikah yang betul-betul mengetahui biodata junjungan kita ini. Kalau tidak percaya cubalah buat survey. Mungkin anak-anak muda sekarang lebih mengenali artis zaman kini berbanding dengan Rasulullah, para sahabat dan ulama salafussoleh. Fenomena ini memang ada bahkan yang paling menyedihkan lagi apabila menyebut Rasulullah, ibarat satu nama yang asing bagi dirinya bahkan mungkin pertama kali mendengarnya.Alangkah ruginya dan alangkah sedihnya umat akhir zaman ini tidak mengenali Rasulullah s.a.w? Alangkah malunya apabila di akhirat kelak, umat-umat yang tidak mengenali Rasulullah s.a.w ini semasa di dunia untuk memohon syafaat daripada baginda.
Kita mengaku bahawa kita mencintai Allah, kita mencintai Rasulullah s.a.w. Tetapi apakah bukti yang menunjukkan kita mencintai Allah dan Rasul? Cuba tepuk dada tanya iman. Seandainya pasangan yang sedang bercouple di luar sana mempunyai masa yang lama untuk berbual sakan dalam telefon, kemudian sanggup menghabiskan duit semata-mata untuk insan yang disayangi bahkan meluangkan masa berjam-jam untuk memadu kasih bagi membuktikan cintanya kepada sang kekasih. Bagaimana pula kalian membuktikan cinta kalian kepada Rasulullah, junjungan mulia kita? Adakah cukup dengan hanya mengingati ketika sambutan maulidur rasul? Tentunya tidak, bukan?
Ketika baginda wafat, baginda telah meninggalkan 2 perkara yang mana seandainya umat baginda berpegang kepadanya nescaya tidak akan sesat selamanya iaitu Al-quran dan As-sunnah. Ayuh insan-insan, di luar sana seandainya kalian merasakan diri kalian makin jauh dari landasan syariat marilah, marilah kembali kepada Al-quran dan As-sunnah. Mari kita amalkan ajaran yang terdapat di dalam kitab suci dan sunnah baginda. Nescaya kehidupan ini tidak akan rugi bahkan terasa ketenangan di dalam diri dan jiwa insani. Ingat, negeri abadi bukan di dunia tetapi di negeri akhirat.
Bayangkan sekiranya Rasulullah berada di sisi kalian pada tika ini, apakah yang akan kalian katakan kepada baginda? Terasa rindu untuk berjumpa dengan baginda. Ya Allah izinkan hambamu ini bertemu dengan baginda di akhirat kelak.
No comments:
Post a Comment