My Followers

Sunday, June 26, 2011

300 Peguam Sertai Himpunan Bersih 2.0??


Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca setia. Kali ini saya terpanggil untuk mengulas sedikit tentang isu yang hangat diperkatakan dalam area politik tanah air kita yang tercinta iaitu Malaysia. Berkaitan dengan perhimpunan BERSIH 2.0 yang akan diadakan 9 Julai 2011. Setelah terbaca dalam sebuah akbar yang bertajuk 300 peguam sertai himpunan BERSIH 2.0..

Nampaknya ramai juga golongan profesional menyertai dan menyokong BERSIH 2.0.Hmm...Tentu mereka ada hujah yang kuat kenapa mereka berani menonjolkan diri mereka untuk menyokong BERSIH 2.0 kali ini. Tambahan mereka adalah golongan ilmuan dan celik tentang Perlembagaan Malaysia. Malah mereka mengeluarkan statement bahawa rakyat tidak perlu bimbang untuk hadir dalam Himpunan Bersih 2.0 kerana lebih 300 peguam sedia membantu mereka jika berlaku sebarang tangkapan. Satu jawapan yang penulis fikirkan ialah kerana golongan ini dan umumnya rakyat telah sedar bahawa selama ini politik yang bertapak di Malaysia adalah tidak telus, tidak bersih dan tidak menepati ciri-ciri demokrasi yang selama ini didukung oleh pihak pemerintah.

BERSIH yang merupakan Jawatankuasa Bertindak bersama bagi reformasi sistem pilihanraya akan mengadakan ‘Walk for Democracy’ pada 9 Julai 2011. BERSIH 2.0 merupakan gabungan 63 NGO yang mempunyai kepentingan dalam mempromosikan demokrasi dan pilihanraya yang bebas serta adil di Malaysia. Kejayaan BERSIH pada 10 November 2007 menjadi pemangkin kepada usaha Jawatankuasa Bertindak untuk melancarkan BERSIH 2.0 yang membuat tuntutan kepada penambahbaikan, bahkan juga pemulihan sistem pilihanraya Malaysia yang nyata kotor dimanipulasi oleh parti pemerintah.

Kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara Dato’ Seri Khalid Abu Bakar yang mengugut rakyat supaya tidak menyertai himpunan aman BERSIH ini menunjukkan betapa tidak profesionalnya beliau dalam mengeluarkan kenyataan sedangkan tugas PDRM sewajarnya mengawal keselamatan supaya himpunan rakyat ini tidak disabotaj oleh pihak yang mengamal politik sempit dan cuba menimbulkan kekacauan. Dimanakah maruah PDRM sebagai penguatkuasa undang-undang yang sewajibnya memahami hak rakyat untuk berhimpun? Bukan mengeluarkan arahan untuk tangkapan pencegahan. Pelik rasanya...pihak yang mengedarkan video lucah dibiarkan bebas lepas, manakala yang berjuang demi hak rakyat di ancam untuk di tangkap!

Tidak boleh lagi rakyat negara ini diugut, diperlakukan bagaikan pesalah oleh PDRM sedangkan negara ini terbina kerana kepedulian rakyat pada demokrasi atas kefahaman pada Perlembagaan Negara. Mana mungkin perhimpunan rakyat yang mahu membuat tuntutan asas terhadap pemulihan Sistem Pilihanraya dianggap sebagai kesalahan jenayah oleh PDRM sedangkan pengedar vcd porno masih lagi bermaharajalela menabur fitnah jahat VCD saban hari? PDRM sewajarnya mengambil inisiatif untuk menjaga keselamatan rakyat pada 9 Julai ini dan bukan dengan tindakan provokasi menyembur gas pemedih mata pada rakyat yang berhimpun aman!

Faktor keselamatan negara yang cuba dibangkitkan oleh menteri di Kementerian Dalam Negeri juga tiada asas kerana sejarah telah membuktikan bahawa himpunan aman oleh rakyat menunjukkan kematangan rakyat Malaysia dalam meraikan demokrasi. Rakyat berhak bersuara bukan dianggap sebagai penjenayah.

Mari kita kaji sikit apa sebenarnya yang dimaksudkan Demokrasi? Maksud yang digunapakai di seluruh dunia.....

Demokrasi ialah suatu bentuk kerajaan dimana kuasa menggubal undang-undang dan struktur kerajaan adalah ditentukan oleh rakyat. Dalam sistem demokrasi, undang-undang digubal samada oleh rakyat atau wakil yang dipilih oleh rakyat. Sebuah negara atau kerajaan yang mengamalkan sistem demokrasi adalah dipanggil negara atau kerajaaan yang demokratik.


DEMOKRASI adalah berasal daripada perkataan yunani iaitu ‘Demos’ dan ‘Kratos’. ‘Demos’ bermaksud pemerintahan manakala ‘Kratos’ bermaksud rakyat. Maknanya Pemerintahan Rakyat. Kata-kata terkenal bapa demokrasi Amerika, Abaraham Lincoln menjelaskan lagi maksud demokrasi iaitu “Dari manusia, oleh manusia, dan untuk manusia”. Jelas sekali demokrasi itu meletakkan manusia pembuat hukum. Ini jelas sekali apabila kita memerhatikan hampir semua negara mempunyai rumah undang-undang seperti parlimen, kongress, knesset dan sbgnya dimana wakil-wakil yang dipilih oleh rakyat bersidang untuk membuat hukum. Kedaulatan hukum jelas sekali ditangan manusia. Demokrasi menjunjung penuh kebebasan manusia iaitu kebebasan perilaku, kebebasan ekonomi, kebebasan berfikir dan kebebasan beragama.


Demokrasi moden mempunyai sifat-sifat dengan institusi-institusi berikut:

§ Perlembagaan yang menghadkan kuasa dan kawalan operasi formal kerajaan, sama ada secara tulisan, secara norma atau gabungan kedua-duanya. Lazimnya Perlembagaan akan memasuki doktrin pembahagian kuasa untuk memastikan seseorang itu tidak diberi lebih dari satu kuasa.

§ Pilihan raya untuk memilih pegawai-pegawai awam, yang dikelolakan secara bebas dan adil

§ Rakyat diberi hak mengundi

§ Kebebasan bersuara (berceramah, berhimpun dan sebagainya)

§ Kebebasan akhbar dan akses kepada media lain

§ Kebebasan persatuan

§ Semua orang dalam masyarakat menikmati hak yang sama dari segi undang-undang. Salahsatu pra-syarat demokrasi ialah wujudnya Aturan Undang-Undang Rule of Law

§ Rakyat yang berpendidikan dan berpengetahuan tentang hak asasi manusia dan tanggungjawab sivik.

Kesimpulannya, perhimpunan 9 Julai ini bukanlah perhimpunan haram seperti yang diwar-warkan oleh pihak-pihak tertentu. Tetapi ia merupakan perhimpunan aman yang dilakukan untuk menghantar memorandum kepada DYMM Yang Dipertuan Agong demi pilihanraya yang adil dan bersih. Nampaknya gelombang rakyat yang inginkan perubahan semakin ketara. Seharusnya pemerintah peka terhadap kehendak rakyat yang inginkan permainan politik di Malaysia lebih telus dan adil. Sama-sama fikirkan...

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails