PENGGUNAAN serbuk emas sebagai sebahagian
daripada bahan produk penjagaan kecantikan terutama sabun pembersih makin
mendapat sambutan kerana ia membantu untuk menambah seri pada kulit wajah.
Malah, kandungan emas 24 karat yang
menyamai 99.9 peratus serpihan hablur emas tulen padat yang terdapat dalam
sabun pembersih terbabit melakukan pembersihan bertujuan memulihara kesihatan
kulit wajah.
Selain itu,
penggunaan bahan berkenaan juga menggalakkan penyerapan molekul oksigen ke
dalam kulit serta membolehkan fungsi selular atau sel berada pada tahap paling
tinggi untuk menghasilkan kulit sihat berseri dan bersinar. Bentuknya
seperti jongkong emas juga amat unik dan membuatkannya lebih istimewa dalam
merawat dan membersihkan wajah secara keseluruhan.Di samping itu, sabun
berkenaan bertindak sebagai bahan antipenuaan ketika membersihkan wajah dan
menjadikan warna kulit lebih seimbang dan sihat.
Hukum pemakaian kosmetik
yang menggunakan sebuk emas ini menjadi perbahasan para ulama. Adakah ia sama
dengan susuk? Perbahasan yang dikemukakan oleh Dr Zaharuddin dalam isu
ini adalah seperti berikut :
ADAKAH IA SAMA DENGAN SUSUK?
Memang benar, susuk mempunyai campur
tangan ilmu hitam, mantera seperti sihir. Namun perlu diingat susuk bukan
semata-mata menjadi haram hanya disebabkan oleh campurtangan ilmu hitam
tersebut, tetapi juga kerana salah guna metal bernilai (precious metal) emas
untuk tujuan yang tidak diharuskan oleh Islam dan pelbagai sebab lain.
Jika demikian apakah status hukum bagi
produk yang menggunakan serbuk emas ini?
Bagi mengetahui status hukumnya,
terdapat beberapa persoalan pokok yang perlu dilihat iaitu :-
1) Isu
penggunaan emas sebagai hiasan.
2) Penggunaan
emas untuk perubatan.
3) Adakah
terdapat unsur mengubah ciptaan Allah demi kecantikan ?
4) Status
halal kandungan produk yang lain.
5) Mana
lebih dominan, untuk kecantikan atau perubatan?
6) Kos
produk yang jatuh dalam kategori membazir?
7) Isu
menutup tanda ketuaan secara salah.
8) Status
kesan sampingan dan mudarat kepada wajah dan tubuh.
9) Penggunaannya
untuk lelaki.
Itulah antara item yang perlu difahami
dalam melihat pandangan Islam dalam penggunaan serbuk emas ini. Tanpa kajian
menyeluruh berkenaan kesemua item di atas, sukar untuk menentukan hukum
penggunaan serbuk emas ini dengan tepat. Untuk membincangkan semua isu di atas
ia bakal mengambil masa yang panjang untuk kajian, huraian dan penulisan. Oleh
itu, saya tidak akan menyentuh kesemuanya.
Jawapan ini hanyalah memulakan
perbincangan hukum dalam hal ini, saya akan sertakan beberapa point secara
ringkas serta padat, tidak memberatkan dan tidak pula terlalu ilmiah, terhadap
beberapa perkaar di atas. Walaupun ia mungkin belum cukup kuat untuk membuat
satu kesimpulan hukum, namun ia boleh dijadikan panduan bagi mereka yang ingin
mendalamkan lagi perbincangan.
1)
ISU PENGGUNAAN EMAS SEBAGAI HIASAN.
Nabi s.a.w menegaskan menggunakan emas
sebagai perhiasan selain pemakaian di tubuh wanita, adalah
diHARAMKAN bagi lelaki dan wanita:-
لَا
تَشْرَبُوا فِي آنِيَةِ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ ، فَإِنَّهَا لَهُمْ فِي
الدُّنْيَا وَلَكُمْ فِي الْآخِرَةِ
Ertinya : Jangan kamu minum di dalam
bekas emas dan perak, kerana cara itu adalah amalan mereka (kafir) dan untuk
kamu kelak di akhirat sahaja ( Riwayat Al-Bukhari & Muslim)
Hasil daripada hadis ini, majoriti
ulama berfatwa bahawa penggunaan emas sebagai hiasan seperti di pinggan,
mangkuk, sudu, tepak sirih, tombol pintu, buku, al-Quran, jam, pen dan
sebagainya adalah DIHARAMKAN bagi lelaki sepenuhnya.
Namun demikian khas untuk wanita, apa
sahaja perhiasan yang digunakan di tubuhnya seperti rantai, gelang, cincin, jam
emas adalah dibenarkan.
As-Syeikh Ibn Nujaim Al-Hanafi berkata
:-
إذا
ثبت - يعني التحريم - في الشرب : فالأكل كذلك ، والتطيب ، لاستوائهم في الاستعمال
، فيكون الوارد فيها يكون واردا فيما هو في معناها ، ولأنها تنعم بتنعم المترفهين
والمسرفين وتشبه بهم
Ertinya : Apabila terbukti haram untuk
minum darinya (emas), maka makan juga termasuk di dalamnya, demikian juga
berhias dengannya disebabkan sama taraf penggunaannya, maka apa yang disebutkan
(oleh hadis) itu akan terkena bagi semua yang sama ertinya dengannya,
disebabkan semuanya memberi sifat kemewahan berlebihan, pembaziran dan
menyerupainya.[2]
Ibn Qayyim pula menegaskan :-
وهذا
التحريم لا يختص بالأكل والشرب ، بل يعم سائر وجوه الانتفاع ، فلا يحل له أن يغتسل
بها ، ولا يتوضأ بها ، ولا يدهن فيها ، ولا يكتحل منها ، وهذا أمر لا يشك فيه عالم
Ertinya : Pengharaman ini tidak terhad
kepada makan dan minum ( di dalam bekas emas ) sahaja, malah ia juga termasuk
segala jenis bentuk penggunaannya, maka tidak halal mandi darinya, berwudhu,
meletak lemak atau minyak masak padanya, bercelak darinya, ini semua perkara
yang tidak ragu lagi akan hukum haramnya. [3]
Syeikh al-Bahuti al-Hanbali dan Ibn
Mufleh menambah lagi penggunaan emas yang diharamkan seterusnya seperti di
lampu, katil, kerusi, kasut, sudu, pintu, atap dan sebagainya.[4]
Walaupun semua isu di atas
memperincikan perihal penggunaan emas sebagai perhiasan, bagaimana pula jika
wanita menggunakannya untuk perhiasan di wajahnya?
Jawapnya, ia adalah halal, namun
bagaimana pula jika emas tersebut meresap melalui penggunaan gel atau krim
beserbuk emas ke dalam tisu wajahnya?. Adakah ia masih termasuk dalam kategori
berhias yang dibenarkan atau tidak?
Kerim atau gel itu akan menjadi haram
bagi lelaki disebabkan sabdaan Nabi :-
عن
علي بن أبي طالب رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم: أخذ حريرا فجعله
في يمينه، وأخذ ذهبا فجعله في شماله، ثم قال: إن هذين حرام على ذكور أمتي
Ertinya : Dari Ali bin Abi Talib r.a,
sesungguhnya Rasulullah s.a.w mengambil sutera dan diletakkan di tangan
kanannya, dan mengambil emas di tangan kirinya lalu berkata : kedua-dua item
ini adalah haram untuk lelaki (sebagai perhiasan) di kalangan umatku ( Riwayat
Abu Daud : sanad yang baik)
Namun bagi wanita, di
sana mungkin akan wujud ilmuan Islam yang berpendapat ianya adalah diharuskan
kerana ia masuk tergolong di dalam kategori perhiasan fizikal wanita. Cuma
sedikit perbezaannya, yang disepakati harus di kalangan ulama adalah perhiasan
luaran, tetapi dalam kes ini, ia telah menjadi perhiasan dalaman.
2) PENGGUNAAN EMAS UNTUK PERUBATAN
Dalil yang paling jelas dalam hal ini
adalah hadis berikut :-
عن
عرفجة بن أسعد: أصيب أنفي يوم الكلاب في الجاهلية فاتخذت أنفاً من ورق فأنتن علي
فأمرني رسول الله صلى الله عليه وسلم أن أتخذ أنفاً من ذهب
Ertinya : Daripada ‘Arfajah Bin As'ad :
Hidungku telah tercedera ( terpotong) di hari peperangan Al-Kulab maka aku
meletakkan kertas bagi menutup ruang hidung, namun ia berbau busuk lalu Nabi
s.a.w telah mengarahkanku agar mengambil emas sebagai hidung (palsu). [5]
Jelas dari hadis di atas, diharuskan
menjadikan emas sebagai salah satu alat bagi tujuan perubatan. Namun demikian,
perlu diingat bagaimana keharusan yang diberikan oleh nabi kepada sahabat ini
adalah di ketika keperluan yang sangat mendesak, iaitu ketiadaan hidung dan ia
sudah berbau. Ditambah pula di zaman itu, tiada kemudahan dan kepakaran untuk
menggunakan bahan lain seperti plastik dan lain-lain yang lebih sesuai. Nescaya
di ketika wujudnya bahan lain yang boleh berfungsi dengan berkesan, ia adalah lebih
baik berbanding menggunakan berbanding yang lain.
Disebutkan oleh para ulama
رخصّ
النبي صلى الله عليه وسلم في استعمال الذهب في التداوي حالة الضرورة كستر عيب أو
إزالة تشوه.
Ertinya : Nabi memberikan keringanan
untuk menggunakan emas dalam hal perubatan di ketika terdesak seperti untuk
menutup rasa aib yang teruk dan membuang kecacatan.
Juga telah diriwayatkan oleh At-Tabrani
dan Ahmad, bahawa dibenarkan untuk mengikat gigi dengan emas atau bergigi emas.[6]
Kaitannya dengan isu serbuk emas, jika
benar ia adalah untuk tujuan perubatan, persoalannya adakah di sana tiada cara
neutral menggunakan herba, tumbuhan dan lain-lain yang lebih murah? Adakah
wajah si wanita dan lelaki itu terlalu teruk sehingga memerlukan penggunaan
serbuk emas ini atau ia hanya tergolong dalam PENAMBAHAN kecantikan dan bukan
perubatan?
3) ADAKAH
TERDAPAT UNSUR MENGUBAH CIPTAAN ALLAH DEMI KECANTIKAN ?
Telah jelas daripada dalil AL-Quran dan
Al-Hadis, sebarang pengubahan ciptaan Allah adalah diharamkan.
Isu mengubah ciptaan Allah SWT terhadap
diri seseorang. ISLAM melarang keras sebarang pengubahan ciptaan asal bahagian
tubuh seseorang yang dilakukan dengan alasan untuk kelihatan cantik atau lebih
cantik selain bertujuan kosmetik.
Dalil yang mengharamkan adalah ayat 117
hingga 119 surah al-Nisa' iaitu Allah berfirman yang bermaksud:
"Apa yang mereka sembah selain
daripada Allah itu tidak lain hanya berhala dan mereka tidak menyembah
melainkan syaitan yang durhaka, yang dilaknat Allah dan yang mengatakan: ‘Demi
sesungguhnya aku akan mengambil daripada kalangan hamba-Mu, bahagian tertentu
(untuk menjadi pengikutku). Dan demi sesungguhnya aku akan menyesatkan mereka
(daripada kebenaran) dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan
angan-angan kosong dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan
binatang ternak) lalu mereka membelah telinga binatang itu dan aku akan
menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah.'
Ulama tafsir memiliki tiga pendapat
mengenai takrifan ‘mengubah fitrah kejadian dan apa jua yang sudah ditetapkan
Allah' iaitu mengubah bentuk tubuh dan organ haiwan serta manusia; mengubah
tugas atau fungsi sesuatu seperti menjadikan batu atau matahari sebagai tuhan
dan mengubah syariat Islam iaitu menghalalkan yang diharamkan Allah serta
sebaliknya
Bagaimanapun jika ia dilakukan dengan
tujuan perubatan akibat kemalangan dan kecacatan, ianya adalah harus dilakukan.
Jelasnya, tujuan yang dibenarkan adalah bagi memperbaiki organ tubuh yang rosak
akibat trauma kemalangan selain untuk mengembalikan kecacatan kepada kejadian
tubuh manusia normal.
Terdapat juga hadith yang menyebut :
لعن الله الواشمات والمستوشمات،
والنامصات والمتنمصات، والمتفلجات للحسن المغيرات خلق الله
Ertinya : "Allah melaknat
perempuan yang mentatoo dan minta ditatoo, dan yang mengikir gigi dan yang
minta dikikir giginya dan yang menjarangkan giginya UNTUK TUJUAN KECANTIKAN,
yang mengubah ciptaan Allah." (Riwayat Al-Bukhari)
Ibn Hajar Al-Asqolani berkata
فْهَم مِنْهُ أَنَّ الْمَذْمُومَة مَنْ
فَعَلَتْ ذَلِكَ لِأَجْلِ الْحُسْن فَلَوْ اِحْتَاجَتْ إِلَى ذَلِكَ
لِمُدَاوَاةٍ مِثْلًا جَازَ
Ertinya : tindakan itu tercela dan
haram bagi sesiapa yang melakukannya untuk kecantikan, namun kiranya ia
memerlukan disebabkan oleh perubatan contohnya, ia adalah diharuskan [7]
Imam An-Nawawi pula sebelum itu
mengulas :
وَهَذَا الْفِعْل حَرَام عَلَى
الْفَاعِلَة وَالْمَفْعُول بِهَا لِهَذِهِ الْأَحَادِيث , وَلِأَنَّهُ تَغْيِير لِخَلْقِ
اللَّه تَعَالَى , وَلِأَنَّهُ
تَزْوِير وَلِأَنَّهُ تَدْلِيس
Ertinya : Perbuatan ini haram ke atas
pelanggan yang membuat dan pihak yang menyediakan khidmat berdasarkan hadis
ini, dan KERANA ia adalah pengubahan ciptaan Allah, dan KERANA ia juga satu
perdayaan dan penipuan. (Syarah Sohih Muslim)
Apa kaitan dengan serbuk emas?
Sebagaimana telah disebutkan, perlu diteliti sama ada penggunaan krim atau gel
itu akan menghilangkan kedutan kulit normal manusia, sehingga kulit yang biasa
kedut pada umur tertentu tidak lagi berkedut secara tidak tabie, sama seperti
pembedahan plastik, susuk dan botoks. Jika perubahan itu berlaku secara tidak
normal melalui yang mengandungi produk serbuk emas itu, ia akan jatuh HARAM.
Jika ia berjaya dibuktikan produk itu hanya meningkatkan kesiahatan kulit
secara normal dan sihat, tatkala itu ia akan dikira HARUS.
Proses menentukan status ini, mestilah
dirujuk dan dibincang dengan para doctor perubatan dan ahli sains yang
berkaitan.
4) MANA
LEBIH DOMINAN, UNTUK KECANTIKAN ATAU PERUBATAN?
Ini perkara yabg sangat perlu di kenal
pasti, dan boleh sahaja memberikan status hukum yang berbeza mengikut individu
dan situasi. Bermakna, bagi sesetangah indiivdu yang wajahnya mempunyai jerawat
dan kerosakan kulit yang terlalu teruk, penggunaan ini tentunya menjadi HARUS
kerana ia tergolong dalam hal perubatan. Namun begitu, bagi sesetengah indivud
lain yang kulitnya hanya berkedut normal, atau sedikit kurang licin, tatkala
itu penggunaan produk ini menjadi amat syubhat dan boleh tergolong di dalam katgeori
mereka yang tidak bersyukur dengan kurniaan Allah serta ingin mengubahnya bagi
menambah kecantikan.
5) KOS
PRODUK YANG JATUH DALAM KATEGORI MEMBAZIR?
Wang dan harta adalah amanah Allah ke
atas diri. Firman Allah swt :
"Kepunyaan Allah-lah apa yang di
langit dan yang di bumi. Sesungguhnya Allah Dia-lah yang Maha Kaya lagi Maha
Terpuji." (Luqman: 26)
Firman Allah lagi yang menunjukkan
semua harat ini adalah milik Allah :
وَآتُوهُم
مِّن مَّالِ اللَّهِ الَّذِي آتَاكُمْ
Ertinya : dan
berikanlah kepada mereka sebahagian dari harta Allah yang dikaruniakan-Nya
kepadamu ( An-Nur : 23)
Nabi s.a.w bersabda :
إن الدنيا حلوة خضرة. وإن الله مستخلفكم
فيها، فينظر كيف تعملون
Ertinya : Sesungguhnya dunia ini penuh
indah dan hijau, dan Allah swt melantik kamu sebagai pengusahanya dan sentiasa
melihat bagaimana kamu perlakukan (Riwayat Muslim)
Sebarang penggunaan harta mestilah
dilihat kepada keperluan yang bertepatan dengan neraca yang diredhai oleh Allah
selaku pemilik seluruh harta. Kita hanya memegang amanah Allah ini. Justeru,
membelanjakan wang yang banyak untuk berlebihan dalam kecantikan fizikal
sehingga melupakan tempat jatuhnya pandangan Allah iaitu hati dan amalan,
adalah tergolong tercela menurut pandangan Islam.
6) MENUTUP
TANDA KETUAAN SECARA MENYONGSANG ARUS.
Selain itu, syariat turut mengharamkan
perubahan yang memiliki unsur-unsur penipuan sama ada menerusi pembedahan
plastik atau penggunaan botox yang menukarkan wajah yang tua kepada muda.
Tujuan Shariah dalam hal larangan penipuan
seperti ini boleh difahami dengan jelas dari hadith Nabi SAW :
"Tukarlah ia (warna rambut,
janggut & misai ) dan jauhilah dari warna hitam" (Shohih
Muslim)
Hadith larangan ini menunjukkan kepada
larangan penipuan umur, ini kerana uban yang dihitamkan bertujuan kelihatan
lebih muda. Justeru, tidak kira dari kalangan lelaki mahupun perempuan. Ia
dilarang oleh Islam.
Seperti botox yang biasanya digunakan
oleh wanita atau lelaki ketika kulit mereka sudah memperlihatkan tanda-tanda
ketuaan, maka bagi mengekalkan rupa yang muda, mereka melakukan proses botox,
pembedahan plastik dan lebih teruk lagi susuk dengan sihir.
Kini, muncul apa yang dinamakan oleh
sebahagiannya sebagai susuk moden, berupa kosmetik gel dan krim yang mempunyai
serbuk emas. Jika krim ini berfungsi secara menyongsang arus normal, ia pasti
akan tergolong juga di dalam kategori HARAM tanpa syak lagi. Ia disebabkan
unsur penipuan yang perdayaan umur yang berlaku.
KESIMPULAN
Sebagaimana yang saya sebutkan diawal
artikel, tulisan ini sahaja tidak cukup untuk menentukan status hukum yang
tepat bagi penggunaan kosmetik yang mengandungi serbuk emas, namun demikian,
saya mengharapkan agar tulisan ringkas dan padat ini dapat memberi sedikit
gambaran akan beberapa perkara penting yang akan dinilai oleh para ulama dalam
mengenalpasti pendirian Islam dalam perkara baru seperti ini.
Sebarang perbincangan dan maklumat
boleh dikongsi di ruangan komen. Semoga ia dapat memandu kita ke arah kehidupan
yang lebih diredhai oleh Allah swt.
Sekian,
Zaharuddin Abd Rahman
14 Dzul Ka'edah 1430 H
2 Nov 2009
[5] Talkhis al-habir, Al-Haithami,
2/340 : ulama berbeza pendapat berkenaan sambungnya hadis ini, Ibn HIbban &
menilainya sebagai sohih; At-Tirmizi : Hasan
No comments:
Post a Comment