My Followers

Sunday, November 25, 2012

Hukum Kosmetik Dengan Serbuk Emas





PENGGUNAAN serbuk emas sebagai sebahagian daripada bahan produk penjagaan kecantikan terutama sabun pembersih makin mendapat sambutan kerana ia membantu untuk menambah seri pada kulit wajah.
Malah, kandungan emas 24 karat yang menyamai 99.9 peratus serpihan hablur emas tulen padat yang terdapat dalam sabun pembersih terbabit melakukan pembersihan bertujuan memulihara kesihatan kulit wajah. 

     Selain itu, penggunaan bahan berkenaan juga menggalakkan penyerapan molekul oksigen ke dalam kulit serta membolehkan fungsi selular atau sel berada pada tahap paling tinggi untuk menghasilkan kulit sihat berseri dan bersinar. Bentuknya seperti jongkong emas juga amat unik dan membuatkannya lebih istimewa dalam merawat dan membersihkan wajah secara keseluruhan.Di samping itu, sabun berkenaan bertindak sebagai bahan antipenuaan ketika membersihkan wajah dan menjadikan warna kulit lebih seimbang dan sihat.

    Hukum pemakaian kosmetik yang menggunakan sebuk emas ini menjadi perbahasan para ulama. Adakah ia sama dengan susuk? Perbahasan  yang dikemukakan oleh Dr Zaharuddin dalam isu ini adalah seperti berikut :

ADAKAH IA SAMA DENGAN SUSUK?
Memang benar, susuk mempunyai campur tangan ilmu hitam, mantera seperti sihir. Namun perlu diingat susuk bukan semata-mata menjadi haram hanya disebabkan oleh campurtangan ilmu hitam tersebut, tetapi juga kerana salah guna metal bernilai (precious metal) emas untuk tujuan yang tidak diharuskan oleh Islam dan pelbagai sebab lain.
Jika demikian apakah status hukum bagi produk yang menggunakan serbuk emas ini?
Bagi mengetahui status hukumnya, terdapat beberapa persoalan pokok yang perlu dilihat iaitu :-
1)    Isu penggunaan emas sebagai hiasan.
2)    Penggunaan emas untuk perubatan.
3)    Adakah terdapat unsur mengubah ciptaan Allah demi kecantikan ?
4)    Status halal kandungan produk yang lain.
5)    Mana lebih dominan, untuk kecantikan atau perubatan?
6)    Kos produk yang jatuh dalam kategori membazir?
7)    Isu menutup tanda ketuaan secara salah.
8)    Status kesan sampingan dan mudarat kepada wajah dan tubuh.
9)    Penggunaannya untuk lelaki.

Itulah antara item yang perlu difahami dalam melihat pandangan Islam dalam penggunaan serbuk emas ini. Tanpa kajian menyeluruh berkenaan kesemua item di atas, sukar untuk menentukan hukum penggunaan serbuk emas ini dengan tepat. Untuk membincangkan semua isu di atas ia bakal mengambil masa yang panjang untuk kajian, huraian dan penulisan. Oleh itu, saya tidak akan menyentuh kesemuanya.

Jawapan ini hanyalah memulakan perbincangan hukum dalam hal ini, saya akan sertakan beberapa point secara ringkas serta padat, tidak memberatkan dan tidak pula terlalu ilmiah, terhadap beberapa perkaar di atas. Walaupun ia mungkin belum cukup kuat untuk membuat satu kesimpulan hukum, namun ia boleh dijadikan panduan bagi mereka yang ingin mendalamkan lagi perbincangan.

1)     ISU PENGGUNAAN EMAS SEBAGAI HIASAN.

Nabi s.a.w menegaskan menggunakan emas sebagai perhiasan selain pemakaian di tubuh wanita, adalah diHARAMKAN bagi lelaki dan wanita:-
لَا تَشْرَبُوا فِي آنِيَةِ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ ، فَإِنَّهَا لَهُمْ فِي الدُّنْيَا وَلَكُمْ فِي الْآخِرَةِ  

Ertinya : Jangan kamu minum di dalam bekas emas dan perak, kerana cara itu adalah amalan mereka (kafir) dan untuk kamu kelak di akhirat sahaja ( Riwayat Al-Bukhari & Muslim)
Hasil daripada hadis ini, majoriti ulama berfatwa bahawa penggunaan emas sebagai hiasan seperti di pinggan, mangkuk, sudu, tepak sirih, tombol pintu, buku, al-Quran, jam, pen dan sebagainya adalah DIHARAMKAN bagi lelaki sepenuhnya.

Namun demikian khas untuk wanita, apa sahaja perhiasan yang digunakan di tubuhnya seperti rantai, gelang, cincin, jam emas adalah dibenarkan.

As-Syeikh Ibn Nujaim Al-Hanafi berkata :-
إذا ثبت - يعني التحريم - في الشرب : فالأكل كذلك ، والتطيب ، لاستوائهم في الاستعمال ، فيكون الوارد فيها يكون واردا فيما هو في معناها ، ولأنها تنعم بتنعم المترفهين والمسرفين وتشبه بهم
Ertinya : Apabila terbukti haram untuk minum darinya (emas), maka makan juga termasuk di dalamnya, demikian juga berhias dengannya disebabkan sama taraf penggunaannya, maka apa yang disebutkan (oleh hadis) itu akan terkena bagi semua yang sama ertinya dengannya, disebabkan semuanya memberi sifat kemewahan berlebihan, pembaziran dan menyerupainya.[2]

Ibn Qayyim pula menegaskan :-
وهذا التحريم لا يختص بالأكل والشرب ، بل يعم سائر وجوه الانتفاع ، فلا يحل له أن يغتسل بها ، ولا يتوضأ بها ، ولا يدهن فيها ، ولا يكتحل منها ، وهذا أمر لا يشك فيه عالم


Ertinya : Pengharaman ini tidak terhad kepada makan dan minum ( di dalam bekas emas ) sahaja, malah ia juga termasuk segala jenis bentuk penggunaannya, maka tidak halal mandi darinya, berwudhu, meletak lemak atau minyak masak padanya, bercelak darinya, ini semua perkara yang tidak ragu lagi akan hukum haramnya. [3]


Syeikh al-Bahuti al-Hanbali dan Ibn Mufleh menambah lagi penggunaan emas yang diharamkan seterusnya seperti di lampu, katil, kerusi, kasut, sudu, pintu, atap dan sebagainya.[4]
Walaupun semua isu di atas memperincikan perihal penggunaan emas sebagai perhiasan, bagaimana pula jika wanita menggunakannya untuk perhiasan di wajahnya?

Jawapnya, ia adalah halal, namun bagaimana pula jika emas tersebut meresap melalui penggunaan gel atau krim beserbuk emas ke dalam tisu wajahnya?. Adakah ia masih termasuk dalam kategori berhias yang dibenarkan atau tidak? 

Kerim atau gel itu akan menjadi haram bagi lelaki disebabkan sabdaan Nabi :-
عن علي بن أبي طالب رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم: أخذ حريرا فجعله في يمينه، وأخذ ذهبا فجعله في شماله، ثم قال: إن هذين حرام على ذكور أمتي
Ertinya : Dari Ali bin Abi Talib r.a, sesungguhnya Rasulullah s.a.w mengambil sutera dan diletakkan di tangan kanannya, dan mengambil emas di tangan kirinya lalu berkata : kedua-dua item ini adalah haram untuk lelaki (sebagai perhiasan) di kalangan umatku ( Riwayat Abu Daud : sanad yang baik)
Namun bagi wanita, di sana mungkin akan wujud ilmuan Islam yang berpendapat ianya adalah diharuskan kerana ia masuk tergolong di dalam kategori perhiasan fizikal wanita. Cuma sedikit perbezaannya, yang disepakati harus di kalangan ulama adalah perhiasan luaran, tetapi dalam kes ini, ia telah menjadi perhiasan dalaman.

2) PENGGUNAAN EMAS UNTUK PERUBATAN

Dalil yang paling jelas dalam hal ini adalah hadis berikut :-

عن عرفجة بن أسعد: أصيب أنفي يوم الكلاب في الجاهلية فاتخذت أنفاً من ورق فأنتن علي فأمرني رسول الله صلى الله عليه وسلم أن أتخذ أنفاً من ذهب
Ertinya : Daripada ‘Arfajah Bin As'ad : Hidungku telah tercedera ( terpotong) di hari peperangan Al-Kulab maka aku meletakkan kertas bagi menutup ruang hidung, namun ia berbau busuk lalu Nabi s.a.w telah mengarahkanku agar mengambil emas sebagai hidung (palsu). [5]

Jelas dari hadis di atas, diharuskan menjadikan emas sebagai salah satu alat bagi tujuan perubatan. Namun demikian, perlu diingat bagaimana keharusan yang diberikan oleh nabi kepada sahabat ini adalah di ketika keperluan yang sangat mendesak, iaitu ketiadaan hidung dan ia sudah berbau. Ditambah pula di zaman itu, tiada kemudahan dan kepakaran untuk menggunakan bahan lain seperti plastik dan lain-lain yang lebih sesuai. Nescaya di ketika wujudnya bahan lain yang boleh berfungsi dengan berkesan, ia adalah lebih baik berbanding menggunakan berbanding yang lain.

Disebutkan oleh para ulama
رخصّ النبي صلى الله عليه وسلم في استعمال الذهب في التداوي حالة الضرورة كستر عيب أو إزالة تشوه.
Ertinya : Nabi memberikan keringanan untuk menggunakan emas dalam hal perubatan di ketika terdesak seperti untuk menutup rasa aib yang teruk dan membuang kecacatan.

Juga telah diriwayatkan oleh At-Tabrani dan Ahmad, bahawa dibenarkan untuk mengikat gigi dengan emas atau bergigi emas.[6]

Kaitannya dengan isu serbuk emas, jika benar ia adalah untuk tujuan perubatan, persoalannya adakah di sana tiada cara neutral menggunakan herba, tumbuhan dan lain-lain yang lebih murah? Adakah wajah si wanita dan lelaki itu terlalu teruk sehingga memerlukan penggunaan serbuk emas ini atau ia hanya tergolong dalam PENAMBAHAN kecantikan dan bukan perubatan?

3)         ADAKAH TERDAPAT UNSUR MENGUBAH CIPTAAN ALLAH DEMI KECANTIKAN ?

Telah jelas daripada dalil AL-Quran dan Al-Hadis, sebarang pengubahan ciptaan Allah adalah diharamkan.

Isu mengubah ciptaan Allah SWT terhadap diri seseorang. ISLAM melarang keras sebarang pengubahan ciptaan asal bahagian tubuh seseorang yang dilakukan dengan alasan untuk kelihatan cantik atau lebih cantik selain bertujuan kosmetik.

Dalil yang mengharamkan adalah ayat 117 hingga 119 surah al-Nisa' iaitu Allah berfirman yang bermaksud:

"Apa yang mereka sembah selain daripada Allah itu tidak lain hanya berhala dan mereka tidak menyembah melainkan syaitan yang durhaka, yang dilaknat Allah dan yang mengatakan: ‘Demi sesungguhnya aku akan mengambil daripada kalangan hamba-Mu, bahagian tertentu (untuk menjadi pengikutku). Dan demi sesungguhnya aku akan menyesatkan mereka (daripada kebenaran) dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang ternak) lalu mereka membelah telinga binatang itu dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah.'
Ulama tafsir memiliki tiga pendapat mengenai takrifan ‘mengubah fitrah kejadian dan apa jua yang sudah ditetapkan Allah' iaitu mengubah bentuk tubuh dan organ haiwan serta manusia; mengubah tugas atau fungsi sesuatu seperti menjadikan batu atau matahari sebagai tuhan dan mengubah syariat Islam iaitu menghalalkan yang diharamkan Allah serta sebaliknya

Bagaimanapun jika ia dilakukan dengan tujuan perubatan akibat kemalangan dan kecacatan, ianya adalah harus dilakukan. Jelasnya, tujuan yang dibenarkan adalah bagi memperbaiki organ tubuh yang rosak akibat trauma kemalangan selain untuk mengembalikan kecacatan kepada kejadian tubuh manusia normal.

Terdapat juga hadith yang menyebut :
لعن الله الواشمات والمستوشمات، والنامصات والمتنمصات، والمتفلجات للحسن المغيرات خلق الله
Ertinya : "Allah melaknat perempuan yang mentatoo dan minta ditatoo, dan yang mengikir gigi dan yang minta dikikir giginya dan yang menjarangkan giginya UNTUK TUJUAN KECANTIKAN, yang mengubah ciptaan Allah." (Riwayat Al-Bukhari)

Ibn Hajar Al-Asqolani berkata
فْهَم مِنْهُ أَنَّ الْمَذْمُومَة مَنْ فَعَلَتْ ذَلِكَ لِأَجْلِ الْحُسْن فَلَوْ اِحْتَاجَتْ إِلَى ذَلِكَ لِمُدَاوَاةٍ مِثْلًا جَازَ

Ertinya : tindakan itu tercela dan haram bagi sesiapa yang melakukannya untuk kecantikan, namun kiranya ia memerlukan disebabkan oleh perubatan contohnya, ia adalah diharuskan [7]
Imam An-Nawawi pula sebelum itu mengulas :

وَهَذَا الْفِعْل حَرَام عَلَى الْفَاعِلَة وَالْمَفْعُول بِهَا لِهَذِهِ الْأَحَادِيث , وَلِأَنَّهُ تَغْيِير لِخَلْقِ اللَّه تَعَالَى , وَلِأَنَّهُ تَزْوِير وَلِأَنَّهُ تَدْلِيس 
Ertinya : Perbuatan ini haram ke atas pelanggan yang membuat dan pihak yang menyediakan khidmat berdasarkan hadis ini, dan KERANA ia adalah pengubahan ciptaan Allah, dan KERANA ia juga satu perdayaan dan penipuan. (Syarah Sohih Muslim)

Apa kaitan dengan serbuk emas? Sebagaimana telah disebutkan, perlu diteliti sama ada penggunaan krim atau gel itu akan menghilangkan kedutan kulit normal manusia, sehingga kulit yang biasa kedut pada umur tertentu tidak lagi berkedut secara tidak tabie, sama seperti pembedahan plastik, susuk dan botoks. Jika perubahan itu berlaku secara tidak normal melalui yang mengandungi produk serbuk emas itu, ia akan jatuh HARAM. Jika ia berjaya dibuktikan produk itu hanya meningkatkan kesiahatan kulit secara normal dan sihat, tatkala itu ia akan dikira HARUS.

Proses menentukan status ini, mestilah dirujuk dan dibincang dengan para doctor perubatan dan ahli sains yang berkaitan.

4)  MANA LEBIH DOMINAN, UNTUK KECANTIKAN ATAU PERUBATAN?

Ini perkara yabg sangat perlu di kenal pasti, dan boleh sahaja memberikan status hukum yang berbeza mengikut individu dan situasi. Bermakna, bagi sesetangah indiivdu yang wajahnya mempunyai jerawat dan kerosakan kulit yang terlalu teruk, penggunaan ini tentunya menjadi HARUS kerana ia tergolong dalam hal perubatan. Namun begitu, bagi sesetengah indivud lain yang kulitnya hanya berkedut normal, atau sedikit kurang licin, tatkala itu penggunaan produk ini menjadi amat syubhat dan boleh tergolong di dalam katgeori mereka yang tidak bersyukur dengan kurniaan Allah serta ingin mengubahnya bagi menambah kecantikan.

5)  KOS PRODUK YANG JATUH DALAM KATEGORI MEMBAZIR?

Wang dan harta adalah amanah Allah ke atas diri. Firman Allah swt :

"Kepunyaan Allah-lah apa yang di langit dan yang di bumi. Sesungguhnya Allah Dia-lah yang Maha Kaya lagi Maha Terpuji." (Luqman: 26)

Firman Allah lagi yang menunjukkan semua harat ini adalah milik Allah :
وَآتُوهُم مِّن مَّالِ اللَّهِ الَّذِي آتَاكُمْ

Ertinya : dan berikanlah kepada mereka sebahagian dari harta Allah yang dikaruniakan-Nya kepadamu ( An-Nur : 23)

Nabi s.a.w bersabda :
إن الدنيا حلوة خضرة. وإن الله مستخلفكم فيها، فينظر كيف تعملون

Ertinya : Sesungguhnya dunia ini penuh indah dan hijau, dan Allah swt melantik kamu sebagai pengusahanya dan sentiasa melihat bagaimana kamu perlakukan (Riwayat Muslim)
Sebarang penggunaan harta mestilah dilihat kepada keperluan yang bertepatan dengan neraca yang diredhai oleh Allah selaku pemilik seluruh harta. Kita hanya memegang amanah Allah ini. Justeru, membelanjakan wang yang banyak untuk berlebihan dalam kecantikan fizikal sehingga melupakan tempat jatuhnya pandangan Allah iaitu hati dan amalan, adalah tergolong tercela menurut pandangan Islam.

6)     MENUTUP TANDA KETUAAN SECARA MENYONGSANG ARUS.

Selain itu, syariat turut mengharamkan perubahan yang memiliki unsur-unsur penipuan sama ada menerusi pembedahan plastik atau penggunaan botox yang menukarkan wajah yang tua kepada muda.

Tujuan Shariah dalam hal larangan penipuan seperti ini boleh difahami dengan jelas dari hadith Nabi SAW :

"Tukarlah ia (warna rambut, janggut & misai ) dan jauhilah dari warna hitam" (Shohih Muslim)
Hadith larangan ini menunjukkan kepada larangan penipuan umur, ini kerana uban yang dihitamkan bertujuan kelihatan lebih muda. Justeru, tidak kira dari kalangan lelaki mahupun perempuan. Ia dilarang oleh Islam.
Seperti botox yang biasanya digunakan oleh wanita atau lelaki ketika kulit mereka sudah memperlihatkan tanda-tanda ketuaan, maka bagi mengekalkan rupa yang muda, mereka melakukan proses botox, pembedahan plastik dan lebih teruk lagi susuk dengan sihir.  

Kini, muncul apa yang dinamakan oleh sebahagiannya sebagai susuk moden, berupa kosmetik gel dan krim yang mempunyai serbuk emas. Jika krim ini berfungsi secara menyongsang arus normal, ia pasti akan tergolong juga di dalam kategori HARAM tanpa syak lagi. Ia disebabkan unsur penipuan yang perdayaan umur yang berlaku.




KESIMPULAN

Sebagaimana yang saya sebutkan diawal artikel, tulisan ini sahaja tidak cukup untuk menentukan status hukum yang tepat bagi penggunaan kosmetik yang mengandungi serbuk emas, namun demikian, saya mengharapkan agar tulisan ringkas dan padat ini dapat memberi sedikit gambaran akan beberapa perkara penting yang akan dinilai oleh para ulama dalam mengenalpasti pendirian Islam dalam perkara baru seperti ini.

Sebarang perbincangan dan maklumat boleh dikongsi di ruangan komen. Semoga ia dapat memandu kita ke arah kehidupan yang lebih diredhai oleh Allah swt.

Sekian,

Zaharuddin Abd Rahman

14 Dzul Ka'edah 1430 H
2 Nov 2009











[1] http://www.jurnalbogor.com/?p=25793
[2] Al-Bahru Ar-Raiq, 8/210
[3] I'lam al-Muwaqqi'en, 1/207
[4] Kassyaf al-Qina', 1/51 ; Al-Adab As-Syar'iyyah
[5] Talkhis al-habir, Al-Haithami, 2/340 : ulama berbeza pendapat berkenaan sambungnya hadis ini, Ibn HIbban & menilainya sebagai sohih; At-Tirmizi : Hasan
[6] Lihat Tuhfatul Ahwazi,
[7] Fath Al-Bari,






Monday, October 29, 2012

12 Kaum Yang Dibinasakan Kerana Engkar Hukum Allah




Dalam al-Quran, banyak sekali diceritakan kisah umat terdahulu yang telah dibinasakan oleh Allah kerana mereka mengingkari utusan-Nya dan melakukan berbagai-bagai penyimpangan yang telah dilarang. Yang berikut ialah kaum-kaum yang dibinasakan.

Kaum Nabi Nuh
Nabi Nuh berdakwah selama 950 tahun, namun yang beriman hanyalah sekitar 80 orang. Kaumnya mendustakan dan memperolok-olok Nabi Nuh. Lalu, Allah mendatangkan banjir yang besar, kemudian menenggelamkan mereka yang engkar, termasuk anak dan isteri Nabi Nuh (al-Ankabut: 14).

Kaum Nabi Hud
Nabi Hud diutus untuk kaum ‘Ad. Mereka mendustakan kenabian Nabi Hud. Lalu Allah mendatangkan angin yang dahsyat disertai dengan bunyi guruh yang menggegar hingga mereka tertimbun pasir dan akhirnya binasa (at-Taubah: 70, al-Qamar: 18, Fushilat: 13, an-Najm: 50, Qaf: 13).

Kaum Nabi Saleh
Nabi Saleh diutuskan Allah kepada kaum Tsamud. Nabi Saleh diberi sebuah mukjizat seekor unta betina yang keluar dari celah batu. Namun, mereka membunuh unta betina tersebut sehingga Allah menimpakan azab kepada mereka (al-Hijr: 80, Hud: 68, Qaf: 12).

Kaum Nabi Luth
Umat Nabi Luth terkenal dengan perbuatan homoseksual dan lesbian, iaitu hanya mahu berkahwin dengan pasangan sesama jenis. Kendati pun sudah diberi peringatan, mereka tak mahu bertaubat. Allah akhirnya memberikan azab kepada mereka berupa gempa bumi yang dahsyat disertai angin kencang dan hujan batu sehingga hancurlah rumah-rumah mereka. Kaum Nabi Luth ini akhirnya tertimbun di bawah runtuhan rumah mereka sendiri (al-Syu’ara: 160, an-Naml: 54, al-Hijr: 67, al-Furqan: 38, Qaf: 12).

Kaum Nabi Syuaib
Nabi Syuaib diutuskan kepada kaum Madyan. Kaum Madyan ini dihancurkan oleh Allah karena mereka suka melakukan penipuan dan kecurangan dalam perdagangan. Apabila membeli, mereka minta dilebihkan dan apabila menjual selalu mengurangi. Allah pun mengazab mereka berupa hawa panas yang teramat sangat. Kendatipun mereka berlindung di tempat yang teduh, hal itu tidak mampu melepaskan rasa panas. Akhirnya, mereka binasa. (at-Taubah: 70, al-Hijr: 78, Thaaha: 40, dan al-Hajj: 44).

Selain kepada kaum Madyan, Nabi Syuaib juga diutus kepada penduduk Aikah. Mereka menyembah sebidang padang tanah yang pepohonannya sangat rimbun. Kaum ini menurut sebagian ahli tafsir disebut pula dengan penyembah hutan lebat (Aikah). (al-Hijr: 78, al-Syu’ara: 176, Shad: 13, Qaf: 14).

Firaun
Kaum Bani Israel sering ditindas oleh Firaun. Allah mengutus Nabi Musa dan Harun untuk memperingatkan Firaun akan azab Allah. Namun, Firaun malah mengaku sebagai tuhan. Firaun akhirnya maut di Laut Merah dan jasadnya tidak reput dan telah ditemui oleh ahli arkeologi moden. Hingga kini masih boleh disaksikan di muzium mumia di Mesir (al-Baqarah: 50 dan Yunus: 92).

Ashab Al-Sabt
Mereka adalah segolongan fasik yang tinggal di Kota Eliah, Elat (Palestin). Mereka melanggar perintah Allah untuk beribadah pada hari Sabtu. Allah menguji mereka dengan memberikan ikan yang banyak pada hari Sabtu dan tidak ada ikan pada hari lainnya. Mereka akhirnya dibinasakan dengan dilaknat Allah menjadi kera yang hina (al-A’raf: 163).

Ashab al-Rass
Rass adalah nama sebuah telaga yang kering airnya. Nama al-Rass ditujukan pada suatu kaum. Sesetengah riwayat mengatakan, nabi yang diutus kepada mereka adalah Nabi Saleh. Namun, ada pula yang menyebutkan Nabi Syuaib. Sementara itu, yang lainnya menyebutkan, utusan itu bernama Handzalah bin Shinwan (ada pula yang menyebut bin Shofwan). Mereka menyembah patung. Ada pula yang menyebutkan, pelanggaran yang mereka lakukan karena mencampakkan utusan yang dikirim kepada mereka ke dalam sumur sehingga mereka dibinasakan Allah (al-Furqan: 38 dan Qaf : 12).

Ashab al-Ukhdudd
Ashab al-Ukhdud adalah sebuah kaum yang menggali parit dan menolak beriman kepada Allah, termasuk rajanya. Sementara itu, sekelompok orang yang beriman dicampakkan ke dalam parit yang telah dibakar, termasuk seorang wanita yang tengah menggendong seorang bayi. Mereka dikutuk oleh Allah SWT (al-Buruj: 4-9).

Ashab al-Qaryah
Menurut sebagian ahli tafsir, Ashab al-Qaryah (suatu negeri) adalah penduduk Antaqiyah. Mereka mendustakan rasul-rasul yang diutus kepada mereka. Allah membinasakan mereka dengan sebuah suara yang sangat keras (Yasin: 13).

Kaum Tubba’
Tubaa’ adalah nama seorang raja bangsa Himyar yang beriman. Namun, kaumnya sangat ingkar kepada Allah hingga melampaui batas. Maka, Allah menimpakan azab kepada mereka hingga binasa. Peradaban mereka sangat maju. Salah satunya adalah empangan air (ad-Dukhan: 37).

Kaum Saba
Mereka diberi berbagai kenikmatan berupa kebun-kebun yang ditumbuhi pepohonan untuk kemakmuran rakyat. Kerana mereka enggan beribadah kepada Allah walau sudah diperingatkan oleh Nabi Sulaiman, akhirnya Allah menghancurkan bendungan Ma’rib dengan banjir besar (Al-Arim). (Saba: 15-19).

http://detikislam.blogspot.com

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails