My Followers

Tuesday, November 1, 2011

Cinta Usia Emas

Pagi ini, sewaktu menghantar kak long ke sekolah untuk ujian lisan bahasa arab, saya melalui sebuah masjid berhadapan jalanraya utama. Sewaktu kereta berhenti di lampu isyarat dengan warna merah yang baru menyala, di sisi lantai dan tangga bawah masjid, mata tertancap ke susuk tubuh seorang mak cik tua, manis bertelekung bagaikan menunggu seseorang.

Selang beberapa langkah di kawasan tempat letak kereta, seorang pak cik tua sedang berusaha menghidupkan enjin motornya. Sebaik enjin hidup,dia bersegera menuju kepada mak cik tua yang setia menunggu dengan senyuman di bibirnya.

"Tentu mereka baru mendengar kuliah subuh pagi ini..." saya berbisik.

Mak cik tua membonceng motor dengan tangannya berpaut pada pinggang pak cik tua.

Kejap. Erat.

Sungguh romantik pemandangan itu bagi saya.

"Tentu sudah banyak ranjau kehidupan berumahtangga yang mereka lalui untuk sampai kepada peristiwa pagi ini," saya menelah.

KERUNTUHAN

Saya meyakini, betapa dalam kemelut masyarakat yang serba runtuh hari ini, perkahwinan dan institusi rumahtangga memainkan peranan cukup besar dalam mengembalikan keamanan dan kedamaian dalam masyarakat.

Pada saya, semuanya bermula dari rumah!

Namun, hati disapa gusar dan bimbang apabila membaca dan mendengar kisah sekian ramai pasangan muda yang kecundang di pertengahan usia rumahtangga mereka. Belum lagi angka lima dicapai, mahligai yang dibina dengan resepsi serba indah, hantaran serba mewah, perlahan-lahan retak menunggu belah, hingga akhirnya hancur berkecai tanpa dapat dipertahankan!

Antara punca dan sebab yang sungguh merisaukan ialah berita-berita kecurangan yang berlaku dalam rumahtangga. Bukan sedikit laporan ‘main kayu tiga’ pasangan berkahwin dipaparkan di dada-dada akhbar tempatan. Kalau tidak suami, wanita bergelar isteri juga tidak terkecuali dari beraksi dengan maksiat jelek ini.

Dalam seminggu helaian suratkhabar menemui pembaca, pasti ada terselit kisah kebobrokan ini diketengahkan, cukup sebagai justifikasi betapa semakin ramai individu yang merupakan nadi penggerak sesebuah institusi rumahtangga hari ini sedang dihinggapi virus merbahaya yang menyebabkan rohaninya jatuh sakit iaitu perasaan tidak cukup dengan pasangan yang halal hingga menagih ‘kasih luar’; dimulai dengan ‘chatting’ di ruang siber, usik mengusik menjadi agenda setiap kali berbicara dan akhirnya bertemu ‘kekasih hati’ tanpa pengetahuan pasangan yang dinikahi. Lebih menyedihkan, sebahagian besar dari kalangan mereka merelakan diri untuk melakukan hubungan badan yang pasti saja haram dan dilabel sebagai golongan yang melampaui batasan oleh ALLAH SWT sebagaimana firman-NYA :

وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ

Maksudnya : “.. dan orang-orang yang menjaga kemaluannya.”

إِلَّا عَلَى أَزْوَاجِهِمْ أوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ

Maksudnya : " kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau budak yang mereka miliki; maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela."

فَمَنِ ابْتَغَى وَرَاء ذَلِكَ فَأُوْلَئِكَ هُمُ الْعَادُونَ

Maksudnya : Barang siapa mencari yang di balik itu maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas.” ( Surah al Mukminun ayat 5-7 )

Buntu saya memikirkan mengapa semua ini boleh terjadi. Keindahan di awal pernikahan tidak mampu dikekalkan sedangkan ikatan yang termeterai diakui kerana saling menyintai? Bagaimana pohon cinta yang dulunya mengakar teguh, kini tercabut tanpa meninggalkan walau sedikitpun belas kasihan?

IT’S YOUR CHOICE!

“Apa salahnya saya mencari perhatian dari lelaki lain? Suami yang ada ini pun bukan tahu mengambil hati!” rungut seorang wanita bergelar ibu muda.

“Ah! Padan muka. Dah bertahun kahwin, masih tak reti nak jaga hati suami. Baik juga kekasih lama menyapa di fb. Kasih yang putus berpaut kembali. Kali ini, aku takkan lepaskan peluang. Dia cintakan aku sepenuh hati…apa lagi…” Bisik seorang lelaki dengan senyum nakal bernafsu syaitan.

Mungkin cetusan-cetusan di atas selalu dilafazkan sebagai ‘excuse’ kepada dosa dan maksiat yang dilakukan. Tambahan pula, pandangan ramai bahawa bila suami berzina, lihat juga kesalahan isteri. Kemungkinan suami melakukan itu kerana isteri yang tidak melayan suami sebaiknya.

Bila isteri pula bermain kayu tiga, ada pula berpandangan, lihat juga kesilapan suami. Kemungkinan isteri melakukan itu kerana suami yang kurang memberikan perhatian dan belaian emosi kepada si isteri.

Memang benar, setiap sesuatu yang berlaku, pasti ada sebab dan musababnya. Namun, jangan pula kita lupa menekankan bahawa sebagai individu mukallaf, pasangan suami/isteri yang sepatutnya telah dewasa dan matang ini mesti menginsafi bahawa dosa yang dilakukan itu walau apa pun sebab di sebaliknya, ia adalah pilihan mereka sendiri.

"It's your choice!"

Lalu, tidak perlu menuding jari ke hidung orang lain dan terus hanyut dengan dosa yang amat dikeji!

IMAN DAN CINTA

Hakikatnya, untuk mencegah tindakan pengkhianatan dalam hubungan suami isteri ini dari berlaku, setiap pasangan memerlukan iman. Ia berisi keyakinan pada ALLAH SWT bahawa setiap perlakuan dan perkataan selalu memiliki konsekuensi.

Apa-apa yang positif bakal membuahkan pahala dan penghargaan, manakala apa-apa yang bernilai negatif, pasti menghasilkan dosa dan celaan.

Justeru itu, setiap tindakan mereka itu akan dipertanggungjawabkan di hadapan ALLAH SWT kelak dan tiada jalan untuk mereka ‘lari’ dari bertanggungjawab terhadap dosa pilihan sendiri itu.

Alangkah rugi berbuat maksiat kepada ILAHI!

Firman ALLAH SWT :

وَالَّذِينَ كَسَبُواْ السَّيِّئَاتِ جَزَاء سَيِّئَةٍ بِمِثْلِهَا وَتَرْهَقُهُمْ ذِلَّةٌ مَّا لَهُم مِّنَ اللّهِ مِنْ عَاصِمٍ كَأَنَّمَا أُغْشِيَتْ وُجُوهُهُمْ قِطَعًا مِّنَ اللَّيْلِ مُظْلِمًا أُوْلَـئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

Maksudnya : "Dan orang-orang yang mengerjakan kejahatan (mendapat) balasan yang setimpal dan mereka ditutupi kehinaan. Tidak ada bagi mereka seorang pelindung pun dari (azab) Allah, seakan-akan muka mereka ditutupi dengan kepingan-kepingan malam yang gelap gulita. Mereka itulah penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya." ( Surah Yunus [10] ayat 27 )

Selain itu, hal lain yang sangat perlu dititikberatkan adalah wujudnya cinta dan kasih di antara pasangan suami isteri serta komitmen untuk terus membajai perhubungan yang telah dihalalkan atas lafaz pernikahan ini agar terus berada di atas landasan yang diredai ILAHI.

Sikap saling menghargai, memahami dan menerima kelebihan serta kekurangan masing-masing amat diperlukan. Kelebihan yang ada dirai dan dihargai sewajarnya, manakala sebarang kekurangan dipandang sebagai peluang yang akan mematangkan lagi dalam menempuh jalan-jalan kehidupan berumahtangga.

DOA SITI SARAH

Saya suka untuk mencadangkan kepada semua wanita, baik yang masih bertitle gadis sunti, anak dara atau yang sudah menyandang gelar ibu dan suri rumahtangga agar kita sama-sama mengamalkan doa ini.

اللّهُمَّ اِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ اني آمَنْتُ بِكَ وَبِرَسُولِكَ وَأَحْصَنْتُ فرجي إِلاَّ على زوجي فَلاَ تُسَلِّطْ عَلَىَّ الْكَافِرَ

Maksudnya : “Ya Allah, jika engkau mengetahui bahawa aku beriman kepada MU dan Rasul MU, dan aku menjaga kehormatanku hanya untuk suamiku, maka lindungilah aku daripada dikuasai oleh orang-orang kafir dan zalim." ( Riwayat Al-Bukhari, no 2104, 2/722 ; Sunan Al-Baihaqi, 5/97; Musnad ahmad, 2/403 ; Fath Al-Bari, 6/393; Umdat Al-Qari, 12/30 ; Sohih )

Ia merupakan doa yang sahih yang dibaca oleh isteri Nabi Ibrahim a.s ( iaitu Siti Sarah) yang menyebabkan para lelaki zalim termasuk rajanya melarikan diri.

Pada saya, doa ini bukan sekadar munajat ke hadrat Yang Maha Esa agar maruah berharga seorang wanita tetap kekal terpelihara, bahkan lebih dari itu, ia mengandungi nilai cinta seorang isteri kepada suami yang dikasihi. Berdoalah….agar ALLAH menghijab hati wanita kita yang lemah ini dari terpedaya dengan pujuk rayu lelaki bertopengkan iblis.

Berdoalah….agar ia menjadi satu usaha yang mampu membuahkan hidayah dari-NYA pada ketika dan suasana di mana sebagai manusia biasa kita tidak lagi mampu memilih yang benar, melainkan hanya dengan petunjuk dari ALLAH SWT sahaja kita akan terselamat dari menghampiri noda dan maksiat!

Sehebat manapun seorang manusia, sebijak manapun seseorang itu, ia tidak mampu menjangkau semua perkara. Justeru, manusia sangat memerlukan kepada hidayah di sepanjang kehidupannya, lebih-lebih lagi dalam mengawal nafsu dari mendominasi diri. Sememangnya, manusia sering mencari TUHAN ketika masalah menimpa, namun tidak pula ramai untuk 'bersama' TUHAN sebelum masalah menjelma.

Oleh itu, jangan golongkan diri yang lemah ini dalam kelompok ‘tidak sedar diri’ itu.

CINTA USIA EMAS

Akhirnya, marilah kita melihat sebentar sekeliling...meninjau pasangan tua yang masih utuh kasih mereka walau usia menuju remang senja.

Salah satu darinya adalah kisah cinta pasangan warga emas ini. Cinta mereka masih teguh walau telah melampaui separuh abad lamanya.

“Kami tiada apa-apa rahsia istimewa kecuali kalau bergaduh, kedua-dua pihak perlu menunggu sama ada hati saya atau isteri sudah sejuk terlebih dulu, barulah kami berbincang menyelesaikan perselisihan faham dengan mengenepikan segala rasa ego,” ujar Ismail Abas, yang telah berusia 94 tahun.

Ismail dan pasangannya, Wan Chik Wan Yahya, 87, hidup harmoni sejak mereka diijabkabulkan pada 1937 meskipun tidak pernah bercinta sebelum berkahwin berikutan pernikahan berkenaan diatur keluarga masing-masing. Malah, Ismail tidak pernah terlintas untuk mencari wanita lain sepanjang perkahwinannya meskipun pada satu ketika dia sering meninggalkan Wan Chik kerana bekerja sebagai pelayar perahu besar yang menghantar dan mengambil barang dagangan hingga ke Singapura.

Benarlah, untuk sampai kepada cinta di usia emas ini, sesuatu yang baik untuk kita renungkan :

“Perkahwinan yang bahagia bukanlah perkahwinan yang tidak pernah dilanda badai, tetapi kebahagiaan itu dicapai melalui usaha, doa dan tawakal antara dua jiwa dengan 'kembali' kepada ALLAH dan Rasul-NYA tika masalah mengocak keharmonian mahligai yang dibina.”

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.

Sumber : http://ummuhusna99.blogspot.com/2011/11/cinta-usia-emas.html

1 comment:

  1. Assalamualaikum,
    Syukran..perkongsian yg begitu menarik bg saya..

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails