UNGGUN BERSIH memanaskan lagi keresahan pihak kerajaan bila A. Samad Said mendeklamasikan sajaknya tatkala bahang Bersih 2.0 meresap kedalam pembuluh darah rakyat Malaysia. Kelantangan sasterawan negara itu sebagai satu role model dalam menggambarkan sikap sebenar seorang Budayawan Negara.
Budayawan bukan untuk pemerintah bahkan untuk rakyat. Budayawan yang bukan mudah dijual beli oleh sang pemerintah. Mereka punya jati diri yang benar dalam memandu masyarakat agar celik mata hati dalam menilai kezaliman atau keadilan,baik pemerintah atau pembangkang.
Tindakan A. Samad Said wajar dijadikan teladan bagi masyarakat. Tanpa berpihak mana-mana parti politik, beliau lantang membangkang pemerintah yang zalim menindas hak asasi rakyat. Suara beliau menjadi perhatian, tindakan beliau dijadikan rujukan untuk masyarakat Malaysia. Inilah kualiti sebenar Budayawan Harapan Masyarakat.
RUANG KETIGA
Sebuah negara bukan hak milik kerajaan pemerintah bahkan hak milik rakyat. Kuasa rakyat mampu mengubah sebuah bentuk negara dalam membawa halatuju pembinaan sebuah tamadun bangsa. Selain golongan pemerintah atau pembangkang, negara perlu dihuni oleh golongan penulis, seniman, budayawan, intelektual, ulama’, aktivis masyarakat.
Inilah ruang ketiga yang saya maksudkan. Golongan yang dimaksudkan sebagai Ulul albab atau intelektual, rausyanfikir & budayawan dalam masyarakat. Ruang ketiga untuk golongan yang bukan saja memiliki pengetahuan yang tinggi tetapi mempunyai keupayaan untuk menelaah permasalahan masyarakatnya serta mencadangkan saranan-saranan pembaikan seperti mana yang dikupas oleh Breten Breytenbach dalam bukunya, Memory of Birds in a Time of Revolution.[i]
MINDA TERTAWAN
Namun hari ini cukup menyedihkan, ruang ketiga ini tidak dibuka oleh sang penguasa. Golongan Intelektual dikunci mulutnya agar terus mengiyakan sang penguasa. Rakyat terus rugi, negara terus mundur kerana pembangunan pemikiran dan modal insan diketepikan. Julien Benda berkata fenomena ini sebagai satu sebagai pengkhianatan kaum intelektual (traison d’clercs ).
Raja Ahmad Aminullah dalam bukunya Minda Tertawan: Intelektual, Rausyanfikir Dan Kuasa juga menyentuh soal pendidikan negara dengan kaitan minda penjara golongan universiti.
“ Universiti kita menjadi semacam kilang kerana sebagai masyarakat yang baru membangun, kita harus lebih mementingkan penyediaan prasarana serta tenaga kerja untuk mengisi keperluan revolusi industriy versi Malaysia. Pendidikan dilihat sebagai cara untuk melatih technician dan teknokrat untuk menjalankan mesin-mesin besar menggerakkan projek-projek pembinaan lebuhraya dan infrastrukur yang lain, menara-menara tinggi dan kilang-kilang yang terdapat dikawasan-kawasan separuh urban dan luar Bandar seperti di Tasek, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Sungai Petani, Kulim, Johor Bharu, Melaka dan Shah Alam.
Oleh itu, proses pencarian ilmu telah menjelma menjadi proses percetakan graduan dan sijil. Malah rasa hormat pada ilmu juga tidak dirasakan dalam masyarakat kita. Pensyarah maupun guru tidak lagi dianggap sebagai orang-orang terhormat apatah lagi menjadi ikon. Ditengah-tengah arus ini kita melihat penghormatan yang berlebihan pada mereka yang menunjukkan kejayaan material atau kebendaan. Yang diidolakan adalah mereka yang mempamerkan kereta-kereta mewah, berpakaian jenama dan memperlihatkan gaya hidup berkelas tinggi.’
Rakyat juga dimomokkan dengan hasutan dan ugutan bertubi-tubi apabila mahu bersuara, maka penggubalan akta-akta yang mencengkam kebebasan bersuara rakyat selaku penghuni sebuah negara seperti ISA, AUKU, Akta Hasutan, Akta Kawalan Media dan sebagainya sebagai tanda bukti sang penguasa takutkan KUASA RAKYAT yang mahukan perubahan.
Maka lahirlah golongan intelektual yang lesu. Bukan tiada idea tetapi bisu untuk menyatakan kebenaran. Sindrom berlaku dalam kalangan ahli akademik yang menjadi virus kini sebagai contoh virus ‘Please, Don’t Quote Me’. Sesetengah dari mereka juga lantang mengkritik isu antarabangsa namun takut untuk mengkritik negara sendiri yang diistilahkan oleh Prof. Syed Hussein Al-Attas sebagai Imitative Mentality (mentaliti orang-orang yang dahagakan pengiktirafan daripada luar atau dunia barat, tapi tidak mempunyai idea atau keberanian untuk mempertahankan idea sendiri). Maka lahirlah golongan intelektual yang bermain dalam hal-hal bersifat mikro, dalam permasalah furu’ yang sewajarnya umat Islam berselisih pandangan sehingga memecahbelahkan perpaduan ummah.
Disini timbulnya persoalan, kemana hilangnya ketajaman pemikiran & keilmuan golongan intelektual sekiranya tunduk kepada pemerintah. Imam Ahmad bin hanbal dipenjara kerana berkata benar kepada penguasa. Syeikh Tahir Jalaludin dalam membawa pemikiran idea Jamaludin Al-Afghani ke Malaysia dicemuh hebat baik sang penjajah maupun masyarakat sewaktu ketika dulu.
HALATUJU INTELETUAL @ BUDAYAWAN?
Dalam ketidakupayaan dunia inteletual Muslim menghadapi cabaran. Dr. Karim Crow mengemukakan faktor yang menyebabkan masalah ini berlaku iaitu Pertama; dibuai oleh suasana zon selesa dan Kedua; rasa ketidakberdayaan yang self induced terutamanya apabila berdepan dengan kekuasaan. Justeru itu, Muhammad Natsir, seorang cendekiawan & tokoh pemimpin Indonesia merumuskan bahawa golongan intelektual mempunyai tanggungjawab besar(nobles oblinge) dalam mengembalikan kehebatan intelektual Muslim. Golongan ini perlu mengubah persepsi masyarakat yang anti-keilmuan dan penularanhedonism yang menjadi makanan santapan rohani para remaja. Ilmuan masih lagi tidak menjadi ikon masyarakat.
Amanah ini bukan ringan bahkan berat, golongan intelektual bukan hanya sekadar menggilap idealism intelektual bahkan komitmen & ketahanan mereka untuk terus berkata benar baik pemerintah maupun pembangkang ditagihkan dengan bayaran pengorbanan. Edward Said menyifatkan sebagai Intelektual Independen.
MEDAN PRAKTIKAL
Akhir sekali, ruang ketiga harus dibuka seluasnya untuk golongan ini. Namun, mereka bukan hanya sekadar berteori dalam wacana, seminar dan bilik kuliah bahkan merekalah yang berada dibarisan hadapan membela nasib rakyat dimedan praktikal.
Saya cukup mengkagumi A. Samad Said dengan semangatnya untuk bersama rakyat dalam Bersih 2.0. Unggun Bersih beliau jelmakan dalam tindakan!.
Kuasa gusar kini menggelegak murka;
warna kuning diisytihar racun terbisa.
Diragutnya baju-T segeram tenaga
dan diumum itulah busana bahaya.
Tapi, kita jahit semula perca kain,
menjadikannya panji terindah dan tulen.
Warna kuning yang teramat tenang dan syahdu
kita kembalikan damai ke dalam qalbu.
Kini cahaya mentari mungkin diramas
dan sinar kuningnya juga mungkin dicantas.
Memanglah mereka kini peludah warna
sedang menghimpun lendir kahak sebanyaknya.
Kerana nikmat amat lama berkuasa,
kuasa pun seolah menjadi hartanya.
[i] Raja Ahmad Aminullah (2011).Minda Tertawan: Intelektual, Rausyanfikir dan Kuasa, SIRD, Petaling Jaya.
http://mujahidmuda90.blogspot.com/2011/07/asamad-said-dan-budayawan-harapan.html
Salam Ramadhan untuk kamu juga. Barakallahulak.
ReplyDelete