My Followers

Thursday, July 28, 2011

Madrasah Ramadhan Semakin Hampir

Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Ilahi dengan limpah rahmat dan kurniaNya beberapa hari kita akan memasuki madrasah tarbiyyah. Telah berlalu hari, minggu, dan bulan. Sedar atau tidak, kita semakin mendekati bulan yang penuh kebaikan, keberkatan, dan rahmat. Bergema di serata dunia doa orang-orang yang beriman; Allahumma Ballighna Ramadhan. Doa yang diwarisi dari kekasih yang dicintai Ar-Rasul s.a.w.


Allahumma Ballighna Ramadhan. Inilah doa yang diulang-ulang oleh Rasulullah s.a.w apabila mendekati bulan yang mulia ini. Diriwayatkan bahawa apabila tibanya bulan Rejab, maka Rasulullah akan berdoa ;

"Ya Allah Berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya'ban, dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan." [Riwayat Al-Bazzar, At-Thabrani, Al-Baihaqi]


Allahumma Ballighna Ramadhan, merupakan doa dan harapan. Menjadi tanda bagi hamba-hamba yang soleh bahawa mereka mengidam dan tamakkan limpahan Allah dalam bulan ini (Rahmat, Keampunan, Pelepasan dari Neraka).Kita mesti sentiasa berjaga-jaga agar peluang ini tidak disia-siakan atau berlalu tanpa dimanfaatkan.


Apabila kedatangan Madarash Ramadhan pastinya terdapat dua golongan atau dua jenis ragam penghuninya. Yang girang gembira dan yang bermuram durja..

Yang girang gembira pastinya mengetahui apa kelebihan bulan Ramadhan, balasan dan imbuhan yang dijanjikan oleh Mudir Madrasah Ramadhan. Hari-hari yang berlalu di sepanjang Madrasah ini dilalui dengan hati yang penuh keikhlasan. Ganjaran yang kita tidak akan dapat dimana-mana. DIA telah menjanjikan pada penghuni Madrasah Ramadhan yang menanti dan mengikut segala peraturan dengan imbuhan PAHALA dan percutian ke SYURGA. Subhanallah..Hati yang penuh keimanan pasti teruja dengan tawaran Mudir Madrasah ini.

Yang bermuram durja pastinya golongan yang merasakan dirinya terpaksa memasuki Madrasah ini dan menerima takdir itu dengan keadaan yang muram dan tidak bersedia. Bahkan mungkin ada yang dah berkira-kira untuk mengelat atau melanggar peraturan Madrasah. Hati-hari yang dilaluinya sepanjang Madrasah bagaikan cacing kepanasan. Hakikatnya semua penghuni sedia maklum tentang hukuman yang akan dikenakan oleh Mudir Madrasah kepada penghuni yang melanggar peraturanNya…

Di sini saya berpesan pada diri sendiri dan sahabat-sahabat semua, ayuhlah sama-sama kita memasuki Madrasah ini dengan hati yang penuh keikhlasan dan penuh kesyukuran. Bersyukurlah,kita sekali lagi diberi peluang oleh Mudir Madrasah ini. Berbesar hatilah wahai penghuni Madrasah Ramadhan, kita bakal mendapat tarbiah “direct” dari Allah. Mungkin ini adalah Madrasah yang terakhir untuk kita. Ayuh kita tingkatkan amal soleh agar ibadah kita diterima oleh Mudir Madrasah ini..Moga kedatangan Ramadhan ini lebih bermakna dari yang sebelumnya….Ahlan Ya Ramadhan al-Mubarak….Kullu 'Aam wa Antum Bikhair...

Thursday, July 21, 2011

3 Golongan Manusia : Tahukah Anda?


Manusia dibahagikan kepada tiga golongan iaitu :

1- Golongan yang menganggap hidup demi dunia semata-mata

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud :"Dan tentu mereka akan mengatakan (pula): Hidup hanyalah kehidupan kita di dunia ini sahaja dan kita sekali-kali tidak akan dibangkitkan." (Surah al-An'am : 29)

Golongan ini ialah golongan yang kufur dengan nikmat Allah dan mengingkari hari kebangkitan.

2- Golongan yang percaya kewujudan akhirat namun....

Namun mereka tidak berusaha ke arah mencapai kebahagiaan di sana. Mereka selamba bersuka ria dan berhibur di dunia tanpa berusaha gigih untuk mencapai kebahagiaan akhirat.

3- Golongan yang mengganggap dunia ini ladang akhirat

Mereka menanam di sini untuk menuai di akhirat kelak. Allah berfirman yang bermaksud:" Dan tiadalah kehidupan ini selain daripada main-main dan senda gurau belaka. Dan sungguh kampung akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertakwa. Maka tidakkah kamu memahami?" (Surah al-An'am 6 : 32)

DI MANA agaknya kita ya? Tepuk dada tanya iman...Sama2 kita sentiasa muhasabah diri..

Tuesday, July 12, 2011

A.SAMAD SAID DAN BUDAYAWAN HARAPAN

UNGGUN BERSIH memanaskan lagi keresahan pihak kerajaan bila A. Samad Said mendeklamasikan sajaknya tatkala bahang Bersih 2.0 meresap kedalam pembuluh darah rakyat Malaysia. Kelantangan sasterawan negara itu sebagai satu role model dalam menggambarkan sikap sebenar seorang Budayawan Negara.

Budayawan bukan untuk pemerintah bahkan untuk rakyat. Budayawan yang bukan mudah dijual beli oleh sang pemerintah. Mereka punya jati diri yang benar dalam memandu masyarakat agar celik mata hati dalam menilai kezaliman atau keadilan,baik pemerintah atau pembangkang.

Tindakan A. Samad Said wajar dijadikan teladan bagi masyarakat. Tanpa berpihak mana-mana parti politik, beliau lantang membangkang pemerintah yang zalim menindas hak asasi rakyat. Suara beliau menjadi perhatian, tindakan beliau dijadikan rujukan untuk masyarakat Malaysia. Inilah kualiti sebenar Budayawan Harapan Masyarakat.

RUANG KETIGA

Sebuah negara bukan hak milik kerajaan pemerintah bahkan hak milik rakyat. Kuasa rakyat mampu mengubah sebuah bentuk negara dalam membawa halatuju pembinaan sebuah tamadun bangsa. Selain golongan pemerintah atau pembangkang, negara perlu dihuni oleh golongan penulis, seniman, budayawan, intelektual, ulama’, aktivis masyarakat.

Inilah ruang ketiga yang saya maksudkan. Golongan yang dimaksudkan sebagai Ulul albab atau intelektual, rausyanfikir & budayawan dalam masyarakat. Ruang ketiga untuk golongan yang bukan saja memiliki pengetahuan yang tinggi tetapi mempunyai keupayaan untuk menelaah permasalahan masyarakatnya serta mencadangkan saranan-saranan pembaikan seperti mana yang dikupas oleh Breten Breytenbach dalam bukunya, Memory of Birds in a Time of Revolution.[i]

MINDA TERTAWAN

Namun hari ini cukup menyedihkan, ruang ketiga ini tidak dibuka oleh sang penguasa. Golongan Intelektual dikunci mulutnya agar terus mengiyakan sang penguasa. Rakyat terus rugi, negara terus mundur kerana pembangunan pemikiran dan modal insan diketepikan. Julien Benda berkata fenomena ini sebagai satu sebagai pengkhianatan kaum intelektual (traison d’clercs ).

Raja Ahmad Aminullah dalam bukunya Minda Tertawan: Intelektual, Rausyanfikir Dan Kuasa juga menyentuh soal pendidikan negara dengan kaitan minda penjara golongan universiti.


“ Universiti kita menjadi semacam kilang kerana sebagai masyarakat yang baru membangun, kita harus lebih mementingkan penyediaan prasarana serta tenaga kerja untuk mengisi keperluan revolusi industriy versi Malaysia. Pendidikan dilihat sebagai cara untuk melatih technician dan teknokrat untuk menjalankan mesin-mesin besar menggerakkan projek-projek pembinaan lebuhraya dan infrastrukur yang lain, menara-menara tinggi dan kilang-kilang yang terdapat dikawasan-kawasan separuh urban dan luar Bandar seperti di Tasek, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Sungai Petani, Kulim, Johor Bharu, Melaka dan Shah Alam.

Oleh itu, proses pencarian ilmu telah menjelma menjadi proses percetakan graduan dan sijil. Malah rasa hormat pada ilmu juga tidak dirasakan dalam masyarakat kita. Pensyarah maupun guru tidak lagi dianggap sebagai orang-orang terhormat apatah lagi menjadi ikon. Ditengah-tengah arus ini kita melihat penghormatan yang berlebihan pada mereka yang menunjukkan kejayaan material atau kebendaan. Yang diidolakan adalah mereka yang mempamerkan kereta-kereta mewah, berpakaian jenama dan memperlihatkan gaya hidup berkelas tinggi.’

Rakyat juga dimomokkan dengan hasutan dan ugutan bertubi-tubi apabila mahu bersuara, maka penggubalan akta-akta yang mencengkam kebebasan bersuara rakyat selaku penghuni sebuah negara seperti ISA, AUKU, Akta Hasutan, Akta Kawalan Media dan sebagainya sebagai tanda bukti sang penguasa takutkan KUASA RAKYAT yang mahukan perubahan.

Maka lahirlah golongan intelektual yang lesu. Bukan tiada idea tetapi bisu untuk menyatakan kebenaran. Sindrom berlaku dalam kalangan ahli akademik yang menjadi virus kini sebagai contoh virus ‘Please, Don’t Quote Me’. Sesetengah dari mereka juga lantang mengkritik isu antarabangsa namun takut untuk mengkritik negara sendiri yang diistilahkan oleh Prof. Syed Hussein Al-Attas sebagai Imitative Mentality (mentaliti orang-orang yang dahagakan pengiktirafan daripada luar atau dunia barat, tapi tidak mempunyai idea atau keberanian untuk mempertahankan idea sendiri). Maka lahirlah golongan intelektual yang bermain dalam hal-hal bersifat mikro, dalam permasalah furu’ yang sewajarnya umat Islam berselisih pandangan sehingga memecahbelahkan perpaduan ummah.

Disini timbulnya persoalan, kemana hilangnya ketajaman pemikiran & keilmuan golongan intelektual sekiranya tunduk kepada pemerintah. Imam Ahmad bin hanbal dipenjara kerana berkata benar kepada penguasa. Syeikh Tahir Jalaludin dalam membawa pemikiran idea Jamaludin Al-Afghani ke Malaysia dicemuh hebat baik sang penjajah maupun masyarakat sewaktu ketika dulu.

HALATUJU INTELETUAL @ BUDAYAWAN?

Dalam ketidakupayaan dunia inteletual Muslim menghadapi cabaran. Dr. Karim Crow mengemukakan faktor yang menyebabkan masalah ini berlaku iaitu Pertama; dibuai oleh suasana zon selesa dan Kedua; rasa ketidakberdayaan yang self induced terutamanya apabila berdepan dengan kekuasaan. Justeru itu, Muhammad Natsir, seorang cendekiawan & tokoh pemimpin Indonesia merumuskan bahawa golongan intelektual mempunyai tanggungjawab besar(nobles oblinge) dalam mengembalikan kehebatan intelektual Muslim. Golongan ini perlu mengubah persepsi masyarakat yang anti-keilmuan dan penularanhedonism yang menjadi makanan santapan rohani para remaja. Ilmuan masih lagi tidak menjadi ikon masyarakat.

Amanah ini bukan ringan bahkan berat, golongan intelektual bukan hanya sekadar menggilap idealism intelektual bahkan komitmen & ketahanan mereka untuk terus berkata benar baik pemerintah maupun pembangkang ditagihkan dengan bayaran pengorbanan. Edward Said menyifatkan sebagai Intelektual Independen.

MEDAN PRAKTIKAL

Akhir sekali, ruang ketiga harus dibuka seluasnya untuk golongan ini. Namun, mereka bukan hanya sekadar berteori dalam wacana, seminar dan bilik kuliah bahkan merekalah yang berada dibarisan hadapan membela nasib rakyat dimedan praktikal.

Saya cukup mengkagumi A. Samad Said dengan semangatnya untuk bersama rakyat dalam Bersih 2.0. Unggun Bersih beliau jelmakan dalam tindakan!.

Peludah Warna

Kuasa gusar kini menggelegak murka;

warna kuning diisytihar racun terbisa.

Diragutnya baju-T segeram tenaga

dan diumum itulah busana bahaya.

Tapi, kita jahit semula perca kain,

menjadikannya panji terindah dan tulen.

Warna kuning yang teramat tenang dan syahdu

kita kembalikan damai ke dalam qalbu.

Kini cahaya mentari mungkin diramas

dan sinar kuningnya juga mungkin dicantas.

Memanglah mereka kini peludah warna

sedang menghimpun lendir kahak sebanyaknya.

Kerana nikmat amat lama berkuasa,

kuasa pun seolah menjadi hartanya.

-A Samad Said-


[i] Raja Ahmad Aminullah (2011).Minda Tertawan: Intelektual, Rausyanfikir dan Kuasa, SIRD, Petaling Jaya.

http://mujahidmuda90.blogspot.com/2011/07/asamad-said-dan-budayawan-harapan.html

Thursday, July 7, 2011

Sabar Itu Indah


ISLAM sangat mementingkan pembinaan peribadi yang murni. Antara sikap atau nilai yang menjadi teras kepada keperibadian umat Islam yang sangat dituntut ialah bersikap sabar. Ini kerana sikap sabar itu adalah panduan yang dinyatakan sendiri dalam kehidupan Rasulullah s.a.w dalam menelusuri kehidupan dan kita sebagai pengikutnya wajar mengaplikasikan amalan sikap murni ini dalam segenap bidang yang diceburi.

Dalam kehidupan sehari-hari kita mungkin terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah yang sentiasa melingkari ruang masa dan tempat. Mungkin dalam sehari seseorang menempuh persoalan yang sangat rumit hingga membingungkan akal dan merungsingkan hati. Justeru, mereka yang tidak sabar dan cepat berputus asa pasti akan mengambil sikap terburu-buru tanpa memikirkan baik atau buruk, sama ada sesuai dengan kehendak agama atau tidak. Dalam keadaan itu, tindakan tanpa berfikir panjang atau sikap berputus asa akan menguasai diri.


Maka tidak hairan kebelakangan ini didapati kejadian cubaan membunuh diri semakin berleluasa. Inilah akibat kurangnya sifat sabar di atas sesuatu masalah atau cubaan hidup di dunia. Tetapi sebagai seorang Islam yang beriman, seseorang itu mesti melalui apa saja kejadian atau masalah yang dihadapi dengan bersikap tenang sambil berdoa dan berserah kepada Allah.


Dalam surah Al Syura ayat 43, Allah berfirman yang bermaksud, “Tetapi orang yang bersabar dan memaafkan sesungguhnya (perbuatan) yang demikian itu termasuk perkara yang diutamakan.”

Di sini yang dimaksudkan dengan sikap bersabar ialah kesanggupan untuk menanggung segala perkara yang tidak disukai atau yang menyusahkan dirinya semata-mata takut kepada Allah dan mengharapkan pertolongan Allah. Kata Nabi Daud a.s, “Berakhlaklah kamu dengan akhlakku. Salah satu daripada akhlakku ialah aku sangat sabar.”


Legenda Perancis Napoleon Bonaparte ada menyatakan, “Orang perlu bersabar dan tenang tanpa tergesa-gesa dalam memikirkan sesuatu, tetapi perlu cepat dalam melaksanakannya.”


Hakikat yang tidak dapat dielakkan sebagai manusia, hidup di dunia sememangnya dihidangkan dengan landskap dan ekologi penghidupan yang penuh berliku. Mungkin pada satu-satu ketika kita ditimpa penyakit kronik yang memerlukan kaedah pengubatan lama dan menanggung kos tinggi.


Dalam kes seperti ini, seseorang itu pasti mengeluh dan berkeluh-kesah dengan penyakit yang menimpa dirinya. Tetapi seseorang yang kuat iman akan menganggap ketika itu dia sedang diuji Allah dan bersedia untuk menghadapi keadaan itu dengan penuh reda sambil berikhtiar gigih untuk berubat.


Firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 200 yang bermaksud, “Wahai orang- orang yang beriman, bersabarlah kamu, kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga dan bertakwa kepada Allah”.

Sikap sabar itu dinyatakan berulang-ulang dalam al- Quran sebagai peringatan kepada manusia supaya tidak cepat berputus asa daripada pertolongan Allah. Kata Nabi Yusof a.s, “Sabar itu indah dan kepada Allahlah tempat memohon pertolongan.”


Kepentingan sikap sabar itu diakui seorang tokoh Barat yang terkenal, Edmund Burke. Katanya, “Dengan kesabaran kita memperoleh hasil lebih daripada dengan kekuatan kita.”

Manakala seorang lagi tokoh akademik Barat yang turut menyetujui pentingnya nilai sikap sabar ini ialah Arnold Glassow. Katanya, “Kunci semua hal adalah kesabaran, bukankah anda memperoleh anak ayam dengan jalan mengeram terlebih dulu dan bukan dengan memecahkannya.”


Sebenarnya apa saja masalah hidup yang menimpa manusia adalah kaedah Allah untuk menguji iman hamba-Nya sama ada tebal atau nipis iman itu.Mungkin dalam keadaan diri seseorang itu lapang, sihat dan kaya kekuatan iman itu sekadar di bibir, tetapi ketika ditimpa bencana dan masalah hidup kita akan dapat gambaran konkrit bagaimana sikap seseorang berdepan dengannya. Contohnya sakit. Pada masa sihat kita mungkin lalai untuk mengingati Allah dan tidak menjaga serta menuruti segala yang diperintahkan atau yang dilarang. Kita hanya ikut apa saja kehendak hati dan nafsu dengan gaya hidup keterlaluan dan melampaui batas seperti gaya pemakanan tanpa berfikir baik atau buruk.

Sebaliknya, apabila kita ditimpa penyakit kita ingat kepada Allah dan pada waktu inilah segala suruhan dan larangan-Nya kita ingat. Allah minta kita bersikap sederhana dalam segala hal, tetapi sebaliknya yang dilakukan. Hikmah di sebalik perintah dan larangan Allah tidak pernah direnungi.


Dalam surah Al Ankabut ayat 2-3, Allah berfirman yang bermaksud, “Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan saja mengatakan ‘kami telah beriman’ sedangkan mereka tidak diuji terlebih dulu? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”

Dalam ayat ini dijelaskan hubungan antara manusia dengan kehidupan adalah hubungan antara ujian dan cubaan.


Dalam Islam ujian semasa menghadapi kesusahan atau sesuatu yang tidak disenangi seperti penyakit, kemiskinan atau kemalangan, dikira ujian yang ringan berbanding ujian Allah kepada manusia yang dilimpahi kemewahan, kesihatan anggota tubuh badan atau kelapangan waktu. Ini kerana pada masa susah sama ada kerana ditimpa penyakit, kemalangan dan sebagainya ia akan menyebabkan seseorang begitu cepat untuk kembali kepada Allah, tetapi jika diuji dengan kesenangan atau kesihatan yang segar bugar, mungkin menyebabkan manusia itu menjadi leka dan asyik dengan apa mereka miliki tanpa lagi bersyukur dan berhati-hati dengan nikmat Allah.


Justeru, jika kita sedang diuji dengan kesusahan, sama ada mungkin diserang penyakit, dibelenggu hutang yang banyak, kesusahan mengendalikan rumah tangga dan sebagainya, kita hendaklah sedar dan insaf bahawa bentuk ujian itu tidaklah seberat jika Allah uji dengan kesenangan, kekayaan dan kesihatan. Jadi, kita mesti bersabar dengan penuh reda dan yakin bahawa Allah pasti akan menolong untuk melepasi keadaan yang dialami.


Tetapi yang penting ialah seseorang itu mesti berikhtiar bersungguh-sungguh dan berdoa sepenuh hati dan bukan berserah diri bulat-bulat tanpa mengambil langkah pembetulan. Kata Shakespeare, seorang sasterawan Inggeris terkemuka, “Usaha yang anda mulai janganlah dihentikan sebelum merasai hasilnya.”


Kata pujangga, “Jika ditimpa musibah atau kesusahan bersuka rialah menjalani hari-hari yang terus berlalu kerana penggantian hari demi hari akan semakin mengurangi umur daripada kesusahan itu.


Kesusahan adalah satu rintangan umur seperti umur manusia yang tidak boleh kamu andaikan bilakah akan berakhir. Di sini dipetik kata-kata Dr Sidney Newton Bremer, seorang penulis dan motivator Barat, “Pelaut berpengalaman tahu dirinya bukanlah tandingan samudera. Tetapi, dia tahu mampu menakluki samudera. Dia tahu ada banyak batu karang dan arus, tetapi dia belayar mengelilinginya. Dengan penuh sabar dan sentiasa berikhtiar sedaya upaya akhirnya pelaut itu tercapai juga tujuannya.”


Begitulah analogi mengenai orang yang sabar yang akhirnya berjaya menggapai segala misi dan visi dalam kehidupan.


Sumber : Harian Metro

EKSKLUSIF BERSIH 2.0 : Jom Sama2 Kita Teliti Apa Yang Disampaikan..


Sunday, July 3, 2011

Fakta Dunia-12 Negara Paling Ramai Orang Islam..

1 daripada 4 penduduk dunia adalah muslim, dan jumlah muslim terbesar berada di luar Timur Tengah. Laporan yang dikeluarkan CNN menyatakan jumlah muslim China lebih ramai daripada yang berada di Syria, dan Muslim di Jerman jumlahnya lebih besar daripada muslim yang tinggal di Lubnan. Berikut negara-negara dengan populasi muslim paling ramai di dunia.
1. Indonesia : 195,670,000 orang
Indonesia merupakan negara Muslim terbesar di dunia dengan kira-kira 13% jumlah Muslim di dunia berada di Indonesia dan 88% penduduknya beragama Islam. Pada tahun 30 Hijrah atau 651 Masehi, hanya berselang sekitar 20 tahun dari wafatnya Rasulullah SAW, Khalifah Uthman ibn Affan RA mengirim delegasi ke China untuk memperkenalkan Daulah Islam yang baru berdiri. Dalam perjalanan yang memakan waktu empat tahun ini, para utusan Uthman sempat singgah di Kepulauan Nusantara. Beberapa tahun kemudian pada tahun 674 M, Dinasti Umayyah telah mendirikan pangkalan dagang di pantai barat Sumatera. Inilah perkenalan pertama penduduk Indonesia dengan Islam. Sejak itu para pelaut dan pedagang Muslim terus singgah, abad demi abad. Mereka berdagang sambil berdakwah.

2. Pakistan : 156,490,000 orang
Pakistan adalah sebuah negara yang terletak di Asia Selatan yang dahulunya sebahagian daripada India. Dengan lebih dari 150 juta penduduk, Nama Pakistan diambil dari awalan daerah Punjab, Afghan, Kashmir, Sind dan Baluchistan. Sedangkan dalam bahasa Parsi Pak berarti suci dan Stan bermakna negara sehingga para pendiri Pakistan mengharapkan adanya negara suci menurut ajaran Islam.


3. India : 144,750,000 orang
Islam adalah agama yang kedua terbesar setelah agama Hindu (80.5%). Ada sekitar 174 juta Muslim, 16.4% dari jumlah penduduk. Sejak pengenalannya ke India, Islam telah membuat penyumbangan keagamaan, kesenian, falsafah, kebudayaan, kemasyarakatan dan politik kepada sejarah, warisan dan kehidupan India.


4. Bangladesh : 127,080,000 orang
Islam adalah agama terbesar Bangladesh, yang penduduk Muslim lebih dari 130 juta dan merupakan hampir 88% dari jumlah penduduk, berdasarkan banci 2001. Islam tiba di wilayah Bengal sejak abad ke-13, terutama oleh kedatangan para pedagang Arab. Majoriti Muslim di Bangladesh adalah Sunni, yang mengikuti ajaran mazhab Hanafi.

5. Mesir : 70,530,000 orang
Islam tiba di wilayah Mesir pada 628 Masihi. Ketika itu Rasulullah mengirim surat pada Gubenor Mukaukis - yang berada di bawah kekuasaan Rom - mengajak masuk Islam. Pada 639 Masehi, ketika Islam di bawah kepemimpinan Umar bin Khattab, 3000 pasukan Amru bin Ash dan
pasukan Zubair bin Awwam berkekuatan 4000 orang memasuki Mesir. Mukaukis didukung gereja menandatangani perjanjian damai. Sejak itu, Mesir menjadi wilayah kekuasaan Islam.

Khalifah Muiz membangun Masjid Besar Al-Azhar (dari “Al-Zahra”, nama panggilan Fatimah). Inilah yang kemudian bekembang menjadi Universiti Al-Azhar sekarang. Universiti Islam Al-Azhar di Kaherah Mesir, bersambung ke sebuah masjid dibina sekitar 971, adalah universiti yang tertua di dunia. Al-Azhar juga dianggap oleh banyak Muslim Sunnah sebagai pihak berkuasa tertinggi Muslim Sunnah.


6. Turki : 68,960,000 orang
Daerah yang terdiri dari Turki moden mempunyai tradisi Islam yang lama dan kaya bermula dari zaman permulaan Seljuk dan Empayar Uthmaniyyah. Orang Turki secara kebudayaan dan sejarah adalah umat Islam. Ia sukar dibayangkan Turki tanpa Islam seperti memikirkan Istanbul tanpa latar langit masjid masyhur dan menaranya. Sekitar 99% penduduknya adalah Muslim walaupun tidak pernah ada kajian mengenai ketepatan nisbah ini. Kebanyakan umat Islam di Turki adalah Sunah membentuk sekitar 85%.


7. Iran : 67,330,000 orang
Islam merupakan agama rasmi di Iran (dahulunya Parsi). 98 peratus daripada penduduk Iran menganut agama ini dan 89 peratus daripadanya berpegang kepada ajaran Syiah. Iran menjadi Republik Islam pada tahun 1979 apabila perlembagaan baru yang berunsur negara Islam diluluskan parlimen.

Kemaraan tentera Islam di Parsi pada 637-651 mengakhiri kegemilangan Empayar Sassanid dan seterusnya memusnahkan agama Majusi di Empayar Parsi. Namun begitu, tamadun Parsi tidak berakhir begitu sahaja. Ia mula berkembang bersama-sama dengan tamadun Islam. Sebelum datangnya Islam di Parsi, kebanyakan orang Parsi beragama Majusi dan juga terdapat kumpulan minoriti beragama Kristian dan Yahudi. Penyebaran Islam di Parsi merupakan sebuah proses yang perlahan. Penduduk-penduduk kota merupakan antara yang terawal memeluk Islam.


8. Nigeria : 64,380,000 orang
Islam dianut oleh separuh dari jumlah penduduk Nigeria. Penyebaran Islam di Nigeria terbahagi kepada tiga peringkat, iaitu peringkat Trans Sahara dan Afrika Utara, peringkat Atlantik dan peringkat kemerdekaan. Di samping melakukan perdagangan, para pedagang Muslim juga memperkenalkan misi utama ajaran Islam, iaitu mengembangkan perdamaian, keadilan dan kesejahteraan.


9. China : 39,190,000

China, negara yang mempunyai penduduk paling ramai di dunia, dengan jumlah populasi mencecah 1.3 bilion. Hingga kini, bilangan penganut Islam melebihi 30 juta orang. Tidak banyak fakta tentang masyarakat Islam di China yang dipaparkan oleh media. Kejayaan dan keutuhan ajaran Islam yang berkembang di bawah sistem pemerintahan komunis ini juga masih misteri.

Islam mempunyai pusaka yang kaya di China. Islam pertama kali dibawa ke China oleh sebuah rombongan yang dikirimkan oleh Uthman, Khalifah, pada 651, lebih kurang dari dua puluh tahun selepas kewafatan Nabi Muhammad. Rombongan itu diketuai oleh Sa`d ibn Abī Waqqās, bapa saudara Nabi sebelah ibunya. Yung Wei, maharaja Tang yang menerima rombongan itu memerintahkan pembinaan sebuah masjid peringatan di Canton, yang merupakan masjid pertama di negara itu dibina. Zaman Dinasti Tang adalah zaman keemasan China dengan budaya kosmopolitan yang membantu memperkenalkan agama Islam.


10. Ethiopia : 34,730,000 orang
Islam adalah agama yang di anuti oleh hampir separuh rakyat Ethiopia. Islam adalah agama majoriti etnik Somalia, Afar, Argobba dan Harari, dan kelompok terbesar dari masyarakat Oromo. Islam masuk pertama kali ke Ethiopia (dahulunya Habsyah) pada abad ke-7 Hijrah, ketika Nabi Muhammad s.a.w. melakukan hijrah beliau yang pertama ke negara tersebut (615 Masehi). Bagi kebanyakan orang Islam, Ethiopia disinonimkan sebagai kebebasan dari siksaan dan emansipasi dari rasa ketakutan (freedom from persecution and emancipation from fear), atau ekspresi kebebasan dan kepercayaan (freedom of expression and beliefs). Sedangkan hijrah kedua iaitu ke Madinah Al-Munawwarah disebut sebagai berakhirnya era penindasan (freedom from oppression).

Jejak-jejak hijrah Nabi s.a.w. dirakam oleh Allah s.w.t. sebagai tersurat dalam Surat Al-Hujurat (49) ayat 13. Ketika Nabi Muhammad s.a.w. hijrah ke Ethiopia, beliau diterima secara terhormat oleh Raja Abyssinia, Negus Al-Asham. Oleh kerana itu, setelah beliau kembali ke Makkah, beliau mengutus Ja’far (saudara sepupu), membawa surat yang isinya mengajak Raja Negus Al-Asham masuk Islam. Oleh kerana Raja Negus masih ragu, maka 6 tahun kemudian beliau mengutus Amir ibn Umayya untuk membawa surat serupa, dan akhirnya Raja Negus memeluk Islam secara sukarela. Namun keluarga dan gereja tidak menerima keadaan ini, dan setelah baginda wafat keadaan berbalik seperti semula (Kristian Ortodok)


11. Algeria : 32,330,000 orang
Islam pertama kali dibawa ke Algeria oleh dinasti Umayyah selepas penaklukan Uqba ibn Nafi. Islam memainkan peranan politik besar di Algeria dan tiga pandangan boleh dikenalpasti. Yang pertama adalah pandangan Islam, di mana Islam dianggap sebagai semuanya - harus menjadi sebahagian dari setiap aspek kehidupan, baik swasta maupun awam. Yang kedua adalah pandangan sekular, di mana Islam dipandang sebagai pedoman membolehkan penyelewengan tertentu dalam Islam. Yang ketiga adalah pandangan tradisional, persepsi masyarakat tua dan luar bandar.


12. Maghribi : 32,280,000 orang
Islam pertama kali dibawa ke Maghribi pada tahun 680 oleh penaklukan Arab di bawah Uqba ibn Nafi, yang merupakan seorang Jeneral Bani Umayyah di Damsyik. Maghribi pada abad ke-7 merupakan sebuah wilayah Barbar yang dipengaruhi Arab. Bangsa Arab yang datang ke Maghribi membawa adat, kebudayaan dan ajaran Islam. Sejak itu, bangsa Barbar pun ramai yang memeluk ajaran Islam. Pada 788, Idrisids memerintah Maghribi, menjadi dinasti Barbar pertama yang melakukannya.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails