My Followers

Sunday, April 17, 2011

Sarawak : Kini Ianya Telah Mula Berbunga

Calon-Calon Pas Yang Hebat dan Berkelayakan Memimpin Rakyat

Nampak di mata memang seperti PAS kalah tapi hakikatnya PAS sudah mengorak langkah jauh ke dalam masyarakat Sarawak. 5 Kerusi yang PAS tandingi memberikan PAS peluang untuk mendekati masyarakat di tempat ini termasuk kampung-kampung, pekan kecil dan rumah-rumah panjang.

Di kampung-kampung Melayu PAS berjaya membina beberapa cawangan penaja. Di rumah-rumah panjang pula PAS berjaya memperkenalkan diri dan Islam kepada mereka. Di pekan-pekan pula PAS semakin dikenali oleh masyarakat Cina. Dewan Himpunan Penyokong PAS senang-senang sahaja boleh dibuka.

Artikel yang saya baca ini membuatkan hati tersentuh dan berbunga-bunga. Jika semalam saya agak kecewa sedikit dengan keputusan PR di Sarawak. Tetapi perasaan ini berubah apabila membaca berita/artikel yang disampaikan oleh Ketua Dewan Pemuda Pas ini. Sesungguhnya ianya benar-benar menjelaskan fikrah bahawa sesungguhnya keberjayaan gerakan islam itu bukan semata-mata diterjemah dipeti undi, ianya lebih besar lagi dengan tersebarnya Islam membenih di hati umat. Tambahan Senator Mumtaz Md Nawi memberitahu sebenarnya popular votes di Sarawak antara BN (372,00) dan pembangkang (300,00) bezanya hanyalah 72,000 sahaja. Nampaknya rakyat di Sarawak benar-benar inginkan perubahan. Semoga 5 tahun lagi kita sama-sama akan menyambut kelahiran anak sulung yang pertama di Sarawak. Allahuakbar!!
.
1. Keputusan pilihanraya umum peringkat negeri Sarawak bagi edisi ke 10 telah selesai dengan menyaksikan penyertaan PAS di 5 kerusi Dewan Undangan Negeri belum membuahkan hasil namun ianya sedang mekar membunga. Realitinya amat sukar bagi PAS untuk menembusi negeri Sarawak yang dianggap sebagai kubu kuat BN sejak lama dulu. Sungguhpun begitu, penerokaan PAS sejak tahun 2000 yang lalu ke bumi Kenyalang, kini cukup membanggakan.

2. Tahun 2000, PAS menabur benih perjuangannya di tanah subur bumi Sarawak, pucuknya mula bercambah pada tahun 2006 dan pada tahun 2011 ini, pohonnya telah mekar berbunga. Insyaallah, saya optimis bahawa masa depan perjuangan PAS tetap akan membuahkan hasilnya. Saya mensasarkan 5 tahun dari sekarang, pohon yang sedang membunga kini akan berbuah dan tentunya buah yang dihasilkan kelak adalah buah yang manis dan berkualiti insyaallah.

3. Dewan Undangan Negeri Beting Maro hampir membuahkan hasil apabila menyaksikan BN hanya mampu menang tipis dengan majoriti 391 undi setelah PAS yang diwakili oleh Abang Ahmad Kardee berjaya meraih sebanyak 2678 undi. Sementara Abang Addy Alyani Ketua DPP Negeri Sarawak yang mewakili PAS di Dewan Undangan Negeri Sadong Jaya meraih sebanyak 1074 undi setelah tewas dengan majoriti 2934 undi. Demikian juga Tuan Hj Adam Pesuruhjaya PAS Negeri Sarawak meraih sebanyak 1769 undi di Dewan Undangan Negeri Sebuyau setelah tewas dengan 2276 majoriti undi.

4. Lebih menarik ialah dua Dewan Undangan Negeri yang julung kali disertai oleh PAS bagi mewakili Pakatan Rakyat dalam pilihanraya umum negeri Sarawak edisi ini [ pula diwakili oleh calon muslimat ], turut memaparkan keputusan yang sungguh memberangsangkan sekaligus menunjukkan bahawa masa depan PAS di bumi Sarawak semakin cerah. DUN Muara Tuang, PAS meraih sebanyak 3196 undi meskipun tewas dengan majoriti undi yang besar iaitu 7843 undi. DUN Tanjung Datu pula PAS meraih sebanyak 1002 undi setelah tewas dengan majoriti 3216 undi.

5. Apa yang ingin saya tegaskan ialah PAS mula meraih undi popular di bumi Sarawak berbanding lebih 10 tahun yang lalu, usahkan mahu meraih sokongan seramai itu, malah kehadhiran kami tidak diterima, dipandang sinis penuh curiga bahkan ada dikalangan pimpinan PAS dihalau dan diherdik oleh penduduk setempat sementara parang ditangan mereka.

6. Hari ini, penubuhan cawangan PAS kian rancak berlaku di negeri Sarawak dan ia adalah signal yang sangat jelas bahawa PAS bukan sahaja bertapak kukuh malah semakin marak berkembang. Rakyat Sarawak juga tidak lagi takut dan bimbang untuk menyokong PAS. Berasaskan pengalaman saya menemui pengundi, tiada lagi muka masam yang ditunjukkan kepada PAS dan tiada lagi rasa curiga terhadap perjuangan PAS.

7. Saya mewakili Dewan Pemuda PAS Malaysia bersama rakan - rakan exco yang lain bertekad untuk terus melangsungkan perjuangan PAS ke bumi Sarawak [ begitu juga Sabah ] dengan memanfaatkan semaksima mungkin modal sokongan yang telah diperolehi melalui pilihanraya umum negeri Sarawak ini. Bermula dengan penubuhan DPP kawasan - kawasan, aneka aktiviti dan pelbagai program akan digerakkan insyaallah.

8. Saya sekali lagi mewakili DPP Malaysia merakamkan tahniah buat semua petugas PAS khasnya pemuda yang turun melalui kontijen negeri masing - masing untuk menyemarakkan lagi gerakkerja perjuangan Islam yang didokong oleh PAS. Sesungguhnya perjuangan kita tidak sekadar untuk meraih undi dan menawan kerusi Dewan Undangan Negeri tetapi jauh lebih murni dari itu ialah membawa sinar hidayah Allah swt buat rakyat Sarawak yang telah diabaikan perkembangan agama mereka sejak sekian lama.

9. Al Faatihah, buat al marhum Muhamad Izan Yaakob, petugas PAS yang gigih bertugas dan berjuang di Beting Maro telah kembali kerahmatillah jam 1.30 tengahari kelmarin. Takziah buat seluruh anggota keluarga al marhum, semoga ruh al marhum dicucuri rahmat oleh Allah swt dan digolongkan dari kalangan hambaNya yang soleh.

10. Insyaallah, DPP Malaysia akan memberi sumbangan tenaga dan buah fikir untuk memastikan pohon yang sedang mengeluarkan bunga mekarnya tidak rosak dan dimusnahkan oleh anasir - anasir yang tidak mahu melihat buahnya masak ranum di musim depan. Selamat berjuang buat semua.

Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Artikel asal di http://www.facebook.com/notes/nasrudin-hassan/perjuangan-pas-kini-membunga-di-sarawak/196674567040474

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails