Assalamualaikum..moga sahabat sekalian sentiasa berada dalam rahmat dan magfirahnya.Entry kali ini saya ingin mengajak sahabat semua untuk berfikir sejenak tentang tajuk yang tertera di atas. Apa yang membuatkan saya untuk menulis tentang tajuk ini adalah disebabkan saya terbaca persoalan tersebut di dalam blog Ust Zaharuddin mengenai isu ini. Mungkin ada di kalangan sahabat atau blogger yang tegar tidak puas hati atau ada yang mempertikaikannya. Tetapi diharapkan sahabat-sahabat tidak cepat melenting atau marah bila isu ini dibangkitkan. Dalam apa jua tindakan yang kita ambil di dalam kehidupan ini, pandangan syarak dalam sesuatu isu atau perkara harus didahulukan dari pandangan logik akal. Dan kita sebagai umat Islam haruslah peka dari sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar perkara apatah lagi yang melibatkan perkara-perkara yang syubhah atau perkara yang memang jelas keharamannya.
Dunia blog merupakan satu dunia yang memberi kepuasan kepada diri sendiri dalam menulis atau berkongsi segala info. Tetapi ada juga yang menjadikan blog sebagai mekanisme untuk mendapat pendapatan sampingan. Memang tidak dapat dinafikan, kepentingan berblog dan semestinya memberi faedah yang banyak jika ia digunakan dengan baik. Isu yang akan saya sentuh di sini ialah berkenaan tentang nuffnang, google Adsense dan seumpama dengannya. Sebelum kita berbicara panjang lebar, bagi sesiapa yang tidak ketahui apa itu Nuffnang mari kita bertaaruf dengannya.
Nuffnang adalah sebuah program buat duit seperti program yang lain iaitu berlandaskan kepada konsep Pay Per Click atau pengiklanan seperti Google Adsense, Bidvertiser dan beberapa program PPC yang lain. Nuffnang memberi kemudahan pengiklan untuk mengiklankan produk mereka di blog-blog yang mendaftar dengan Nuffnang.Selepas kita letakkan unit iklan di blog, kita akan dibayar berdasarkan jumlah klik iklan yang ada di blog kita. Keterangan ini secara umum sahaja, sekiranya ingin mengetahui lebih lanjut, sila ke http://www.nuffnang.com.my.
Antara pengiklan yang yang mengiklankan produk mereka ialah:
Exabytes
Walls
Allyhunt
F&N
Nokia
Citibank
Nescafe
MPH
Honda
Nike
Toyota
Dutch Lady
Banyak lagi.....
Di sini saya sertakan juga artikel yang saya ambil dari http://www.zaharuddin.net/soal-jawab-a-isu-pilihan/926-upah-dari-google-adsense-a-nuffnang--haruskah.html. Mari kita baca, agar dapat kita fikirkan sama-sama..
JAWAPAN
Saya tidak pernah meneliti perjanjian yang diletakkan oleh pihak Nufnang dan Google Adsense, justeru saya sukar untuk saya memberikan jawapan yang tepat dan specifik kepada kedua-dua penyedia ruang iklan tersebut.
Namun untuk tidak mengecewakan pihak yang bertanya, saya akan memberikan jawapan umum yang berupa panduan ringkas untuk menyemak status hukum dalam hal-hal yang melibatkan iklan dan bayaran darinya.
Sefaham saya, isu utama dalam hal ini adalah upah yang diberi kerana membenarkan ruang web atau blog kita digunakan bagi tujuan pengiklanan oleh pihak nuffnang dan google adsense, hasil dari kemudahan yang diberikan itu, kedua pihak tadi akan memberikan upah tertentu menurut cara tertentu.
Dari sudut aqad atau kontrak, susbstance atau inti utama kontrak sebegini jatuh dalam kategori aqad ‘menjadi wakil dengan tawaran upah tertentu' atau wakalah bil ujr. Atau lebih tepat, dalam hal ini pemilik web menjadi wakil memanjangkan iklan syarikat-syarikat dan produk yang tersenarai dalam senarai panjang google dan nuffnang (kerana biasanya bukanlah google dan nuffnang mengiklan barangan mereka sendiri tetapi barangan dan produk pihak lain)
Dalam konteks ini, kita selaku pemilik web dan blog dikira menjadi wakil pihak nuffnang and google untuk menyebarluaskan iklan mereka, sebagai timbal balas, ganjaran akan diberikan kepda pemilik web atau blog, berdasarkan formula kiraan tertentu sama ada berdasarkan jumlah klik dan sebagainya.
Secara ringkasnya, bagi menentukan hukum dalam hal ini beberapa perkara perlu diambil kira iaitu:-
1) 1) Autoriti : Autoriti pihak yang menyediakan tawaran, dalam konteks ini adalah Nuffnang dan Google. Jika telah disemak dan dipastikan kedua-dua pihak mempunyai kredibiliti untuk melunaskan janji dan tawarannya, satu peringkat semakan hukum telah lulus. Peringkat ini penting bagi memastikan tiada unsur gharar dalam penawaran mereka.
2) 2) Upah dan cara kiraan : Jumlah upah dan cara pengiraannya MESTILAH diberitahu dengan jelas dan boleh difahami oleh pihak pelanggan (kita). Jika perkara ini telah berjaya dipastikan dan difahami sebaiknya, tatkala itu lulus peringkat kedua semakan Shariah.
3) 3) Kandungan iklan : Kandungan iklan yang dipaparkan. Jika sekiranya kandungan yang terbit di ruangan iklan yang disediakan untuk google dan nuffnang itu memaparkan iklan yang TIDAK HALAL, seperti gambar wanita tidak menutup aurat, permainan berunsur judi, iklan forex trading, bank riba dan pinjaman riba dan apa sahaja iklan yang tidak halal, tatkala itu upah yang diterima kerana mengiklankannya juga turut haram sebagaimana kandungan iklan tersebut.
Prinsip Islam jelas dalam hal ini, setiap promosi produk dan iklan yang haram adalah haram juga mempromosikannya, maka setiap upah atas promosi sesuatu yang haram juga jatuh di dalam kategori haram. Dalilnya terlalu banyak antaranya adalah laknat nabi terhadap setiap golongan yang terlibat dengan arak, demikian juga riba. Juga firman Allah yang melarang kerjasama dalam hal yang membawa dosa dan permusuhan.
Saya difahamkan bahawa terdapat fungsi ‘filter' atau pemilihan iklan yang boleh kita benarkan terpapar di web kita. Namun begitu, masih terdapat juga iklan-iklan yang tidak sewajarnya tersiar dan di luar kawalan pemilik web. Justeru, dalam menentukan keharusan penggunaan kedua-dua Nuffnang dan Adsense, hal seperti ini mestilah terlebih dahulu dipastikan terkawal dengan sempurna.
4)4) Cara pembayaran ; Hal ini mestilah juga disemak dengan teliti bagi memastikan tiada unsur penipuan dan gharar.
KESIMPULAN
Jika keempat-empat peringkat iaitu semua lulus dan berjaya mematuhi hukum Islam, tatkala itu upah yang kita perolehi juga turut halal, demikian juga sebaliknya.
Perlu diingat sekali lagi, tulisan saya ini TIDAK MEMBERIKAN SEBARANG PENGESAHAN terhadap penggunaan google adsense dan Nuffnang, ia hanya memaklumkan garis panduan yang perlu diambil kira oleh sesiapa yang ingin menyediakan ruang iklan kepada kedua pengendali iklan terbabit.
Di dalam artikel ini Ust Zaharuddin tidak mengatakan ianya halal atau haram. Tetapi ia merupakan satu “guideline” kepada pihak pengiklanan untuk memastikan ianya tidak jatuh kepada hukum haram. Berdasarkan artikel ini juga kita perlu berfikir sejauhmana halalnya duit yang kita terima itu.
Menjauhi perkara syubhah atau samar-samar itu merupakan tuntutan syara‘. Dengan menjauhinya akan terpeliharalah agama. Sesuai dengan sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam;
Maksudnya: "Tinggalkanlah barang yang meragukan engkau kepada apa yang tidak meragukan engkau"
(Hadis riwayat At-Tirmizi & An-Nasai’)
Sabda Baginda lagi:
Maksudnya: "Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram juga jelas (terang) dan di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang kesamaran, yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia, maka sesiapa memelihara (dirinya daripada) segala yang kesamaran, sesungguhnya dia telah memelihara bagi agamanya dan kehormatannya. Dan sesiapa yang jatuh ke dalam perkara kesamaran, jatuhlah dia ke dalam yang haram. Seperti seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, hampir sangat (ternakannya) makan di dalamnya. Ketahuilah bahawa bagi tiap-tiap raja ada kawasan larangan. Ketahuilah bahawa larangan Allah ialah segala yang diharamkan-Nya. Ketahuilah bahawa di dalam badanitu ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah seluruh badan dan apabila ia rosak, rosaklah semuanya, ketahuilah itulah dia hati".
(Hadis riwayat Al-Bukhari & Muslim)
terima kasih ats info ini..
ReplyDeletejauhkan perkara syubhah..
sesungguhnya itu yg terbaik~