My Followers

Monday, November 15, 2010

Perkongsian : Kisar Benar dan Motivasi Diri...

Assalamualaikum kepada semua para pembaca setia..Moga kalian sentiasa berada dalam keadaan sihat, ceria, gembira dan moga kalian semua berada di bawah lembayung magfirah dan rahmatNya..Dalam waktu yang agak sibuk ini, saya sempat lagi ingin berkongsi dengan semua sahabat2 tentang sebuah buku yang sedang saya baca bertajuk UNTUKMU UMAT yang ditulis oleh Ustaz Zaharuddin Abd Rahman lulusan Sarjana Takhasusu Fiqh dan Usul Fiqh, Universiti al-Yarmouk, Jordan.Tentu sahabat2 sedia maklum siapakan insan yang saya sebutkan tadi. Jadi tidak perlu saya kenalkan siapa beliau.

Apa yang ingin saya kongsikan di sini ialah kandungan di dalam buku itu banyak memberi kesan ke dalam jiwa dan perasaan saya sehingga memberi kesan motivasi diri yang mendalam pada diri saya dan sekali gus menyebabkan saya berfikir agar ilmu dan perkongsian kejayaan hidup Ustaz Zaharuddin ini wajar untuk dibaca dan dijadikan motivasi diri agar ia dijadikan sebagai penguat diri dalam meneruskan kehidupan harian kita yang pastinya sentiasa mencabar. Di sini saya bekalkan kepada pembaca sebahagian bab yang terkandung di dalam buku beliau untuk dijadikan motivasi diri. Ikutilah kisah benar kejayaan yang telah dicipta oleh Ustaz Zaharuddin.

Bersama Guru-guruku

"Zaharuddin, kamu tahu tak bagaimana sukarnya pembelajaran Syariah di Universiti Dimasqh ?" kata rakan sekelas Sarjana Fiqh & Usul Fiqh bernama Toriq.

Pemuda bernama Toriq ini berasal dari Jordan dan merupakan seorang pelajar yang sering mendapat markah tinggi dalam setiap subjek yang diambil. Pada semester itu, saya ambil satu subjek dengannya dan kebetulan guru yang mengajar adalah antara ulama terhebat dalam bidang Usul Fiqh di Timur Tengah. Beliau adalah Syeikh Prof. Dr Muhammad Fathi Ad-Durayni yang ketika itu berumur 80 tahun, tetapi mempunyai ingatan dan ilmu Usul Fiqh yang canggih. Selain itu, beliau juga pernah berkhidmat di Universiti Dimasqh sebagai Dekan Syariah.

Sebenarnya, saya memang sudah mengetahui kesukaran tinggi dalam pengajian Syariah di Universiti Dimasqh di Syria sejak zaman silam sehingga akhir tahun 90 an. (Diberitakan mulai tahun 2004 mereka mengubah cara untuk meringankan imej sukar itu). Demikian yang disebutkan oleh guru kami Syeikh Prof Dr Mohammad ‘Uqlah el-Ibrahim ketika memberi kuliah di dalam kelas Sarjana di Universiti Al-Yarmouk.

Ia disebabkan ulama-ulama hebat yang mengemudi Fakulti Syariah di sana. Seperti Syeikh Mustafa Az-Zarqa dan Syeikh Dr Mustafa As-Siba'ie dan ramai lagi.

Sehingga diberitahu sesiapa yang mampu lulus Sarjana Muda (B.A) Syariah dengan markah sekadar 60 % pun ia sudah seperti mustahil dan amat luar biasa.

"Bagaimana?" Tanya saya kepada Toriq.

"Sehingga, jika aku masuk ke sana pun, aku mungkin lulus tetapi hanya cukup makan sahaja, tetapi jika orang macam kamu masuk, memang tiada harapan" katanya selamba.

Saya hanya tersenyum mendengar kata-kata itu.

Memang biasa pelajar-pelajar Arab ini meninggi diri dan memperlekeh orang bukan ‘Arab. Apatah lagi orang asia seperti saya.

uzarphoto.jpg

Tercabar dan Mencabar

Tidak mengapa, entah mengapa perangai saya agak berbeza dalam semua perkara yang saya minat dan sukai.

Setiap kali saya dicabar atau tercabar dalam perkara yang saya minati, saya akan menganggapnya sebagai positif dan sekaligus menambah semangat saya.

Saya memang minat mengaji ilmu Usul Fiqh Tinggi (advance) ini kerana menyedari keperluannya amat tinggi jika saya ingin mendapat pahala besar dan berterusan sehingga selepas kematian. Ini kerana ilmu ini membantu saya memahami bagaimana cara dan keadah mengeluarkan hukum Fiqh dari dalil yang pelbagai. Selain mengajar saya menghargai dan meraikan kepelbagaian fatwa.

"Zaharuddin...!! Apa yang engkau lakukan??!" kata Toriq selepas sama-sama melihat markah kami terpampang di dinding fakulti Syariah.

Dengan izin Allah, saya muncul pelajar yang memperolehi markah tertinggi menewaskan seluruh pelajar Arab dari Jordan, Bahrain, Saudi, Iraq dan Mesir. Kelas peringkat sarjana (MA) untuk subjek ini tersebut mempunyai sekitar 40 orang pelajar.

Terdapat beberapa pelajar gagal termasuk pelajar Malaysia.

"Nama kamu boleh dicatat dalam akhbar universiti ni, tidak pernah ada pelajar bukan arab meraih markah tertinggi dalam apa jua subjek Sarjana Fiqh sebelum ini" Kata seorang lagi pelajar Jordan yang bertubuh kerdil. Maaf saya lupa namanya.

Semester Depan

Semester selepas itu, lebih getir. Jika mengikut jadual, saya tiada pilihan kecuali terpaksa mengambil subjek ‘Isu-isu Fiqh Kontemporari' (Qadhaya Fiqhiyyah Mu'asiroh) melainkan terpaksa mengambilnya dengan seorang lagi guru yang dibenci pelajar arab dan bukan arab, beliau adalah Prof. Dr Abd Naseer Abul Basal kerana sikapnya yang terlalu ‘strict' dalam semakan jawapan dan kerap memberi markah rendah tidak kira kepada pelajar Malaysia dan arab. Malah ramai yang kerap digagalkannya.

Tanya sahaja mana-mana pelajar Malaysia lepasan Jordan yang pernah mengambil subjek dengan Dr Abd Naseer ini. Hampir pasti ramai yang tidak puas hati dengannya. Tetapi saya menyukainya dan beliau juga selesa dengan saya.

Selagi lagi Toriq memberi amaran kepada saya apabila tahu saya sedang berfikir untuk mengambil subjek ini.

"Aku betul-betul ikhlas nasihatkan kamu, jangan ambil subjek dengan Dr Abd Naseer, dia tidak akan beri engkau ilmu mahupun markah" Katanya serius dalam bahasa arab fushah.

Saya merasa tercabar dengan kanyataan Toriq lagi, dan tercabar juga dengan ramai rakan arab lain yang sering menakutkan-nakutkan saya dengan kegagalan.

Saya mengangguk-angguk sahaja. Saya juga tahu hal kesukaran ini, tetapi saya tiada pilihan kerana jika tidak mengambilnya pada semester itu, saya akan lewat menamatkan pengajian.

"MasyaAllah, tahniah-tahniah" kata rakan-rakan arab kepada saya ketika markah ditampal.

Saya katakan kepada Toriq selepas itu :

"Aku suka Dr Abd Naseer, dia adil dalam memberi markah kepada yang layak. aku perolehi ilmu dan markah darinya"

Toriq hanya tersenyum pahit dan terus berlalu.

Alhamdulillah sekali lagi saya mendapat markah tertinggi, tetapi kali ini saya berkongsi dengan seorang lagi pelajar Arab. Kami berdua memperolehi markah luar biasa untuk diperolehi dari Dr Abd Naseer. Ramai yang gagal mencapai markah lulus 70 %. Semua dibawah 70 % adalah gagal dan perlu mengulang subjek.

Apa rahsianya?

Saya juga tidak tahu rahsianya, cuma saya sememangnya meminati subjek Fiqh kontemporari dan semua isu-isunya walaupun sukar dan silibusnya sekitar 2000 muka surat disamping ‘assignment' keseluruhan sekitar 200 muka surat perlu disiapkan dengan rujukan yang mesti banyak.

Setelah fikir-fikir kembali, mungkin ini rahsianya.

Oleh kerana Fiqh kontemporari ini sukar, merangkumi perbincangan detail berkenaan hukum klon, insuran, genetic engineering, derma organ, penguguran janin dalam pelbagai bentuk, brain death dan banyak lagi isu kontemporari. Ia menjadi lebih sukar kerana semua bahan di dalam bahasa arab tinggi dan banyak istilah perbuatan dan sains di dalam bahasa arab. Namun demikian, saya kerap menjadikannya sebagai bahan untuk terbitan artikel saya.

Ertinya, saya menulis dan menterjemahkan bahan-bahan bacaan saya kepada bentuk artikel dan disebarkan melalui dua cara, pertama melalui internet (pada waktu tersebut saya belum mempuyai blog sendiri, justeru disebarkan melalui email dan forum-forum islamik), kedua ia disebarkan melalui kelas. Saya menawarkan kelas fiqh kontemporari kepada para pelajar Malaysa yang berada di Irbid pada ketika itu, lalu mereka yang berminat dengan ilmu datang berbondong-bondong ke rumah saya untuk mendengar kuliah saya berkenaan topik fiqh kontemporari (terutamanya para pelajar perubatan). Melalui cara ini saya terpaksa membuat kajian dan perlu memahami sebaik mungkin agar ia dapat disampaikan dan difahami oleh pendengar. Malah perlu juga merujuk kitab-kitab yang tidak termasuk di dalam silibus pengajian. Ternyata kaedah ini berjaya menguatkan ingatan dan kefahaman saya dalam setiap subjek hingga akhirnya memudahkan saya menjawab apa juga bentuk soalan exam yang diberikan. Cubalah..

Tambahan dari itu saya meminati subjek ini kerana ia amat releven dengan masyarakat semasa. Justeru bagi saya, ia adalah satu peluang untuk saya mendapat pahala besar bila pulang ke Malaysia nanti. Saya mesti faham dan memahirkan diri dengan semua tajuk-tajuk tadi bagi menyebarluaskannya di Malaysia. Ia adalah amal jariah buat hari kematian saya. Ia menjadikan saya amat bermotivasi mempelajarinya.

uzarlukis2.jpg

Cerita Berbelas Tahun Dahulu

Entah mengapa rupanya sejak dari dulu saya memang demikian. Jika minat terhadap sesuatu perkara dapat dikembangkan dalam diri ditambah pula perkara itu amat bermanfaat, kemudian dicabar samada secara sengaja atau tidak oleh mana-mana pihak, saya akan mengambilnya sebagai motivasi.

Saya masih ingat 14 tahun dulu, ketika dulu saya meminati nasyid terutamanya bermain kompang. Ketika saya sedang asyik cuba memukul kompang itu, tiba-tiba seorang penasyid universiti dan pakar kompang (penasyid tersebut adalah ahli kumpulan brothers ketika ini) mengatakan cara pukulan saya kelihatan kurang bakat.

Hasilnya, saya belatih dan berlatih sehingga saya dipilih untuk bermain kompang bagi persembahan universiti. Penasyid solonya adalah individu yang menafikan bakat saya tadi.

Kerana saya minat, cuma tatkala itu masih muda, minat pun menurut peredaran zaman, ketika ini saya tidak lagi minat untuk bernasyid, cuma masih mendengar nasyid sahaja.

Tulisan Khat

Saya juga minat menulis khat samada khat diwani, nasakh, thuluth dan lain-lain. Sehingga saya berjumpa seorang senior yang cantik dan indah tulisan khatnya. Beliau merupakan individu yang sering terpilih untuk menulis khat (kain rentang dipentas) bagi majlis besar di dewan universiti dan juga di majalah universiti.

Bila saya tunjukkan bakat saya di depannya, beliau berkata :-

"Jika tengok jari-jari anta ni, rasanya jari anta ni bukan jari orang menulis khat, keras" kata Imran kepada saya.

Saya tercabar, saya berlatih setiap kali ada waktu kosong. Hasilnya, saya perolehi kontrak menulis ratusan tajuk buku fotostat (atas kulit keras) di perpustakaan universiti. Mendapat bayaran juga. Sehingga hari ini tulisan saya boleh dilihat di perpustakaan UM Nilam Puri. Tulisan saya hari ini lebih baik dari apa yang ada di buku tersebut.

Saya juga menulis khat untuk majalah universiti dan majlis besar di dewan universiti, menggantikan senior yang sudah keluar. Saya berjaya buktikan ‘jari keras' saya mampu mencarik adat yang disebutkan senior tadi. Semuanya kerana minat dan motivasi.

Nak lihat tulisan khat saya?..maaf, tiada yang boleh saya scan buat masa ini.

Minat amat penting, anda ingin berjaya?..pastikan ia menjadi minat. Minat boleh datang jika anda punyai ilmu tentang kepentingan perkara itu untuk anda dan masyarakat. Tanpanya minat tidak berguna. Minat sesuatu yang tiada manfaat akhirat adalah sia-sia.

motivasi.jpg

Cabaran Bahasa Arab & Sarjana

Saya lulusan Usuluddin pengkhususan tafsir dan pentadbiran Awam dari Universiti Malaya, Majoriti pelajaran kami di UM adalah di dalam Bahasa Malaysia. Jika ada subjek yang menggunakan bahasa Arab pun, jawapan peperiksaan adakalanya masih boleh ditulis dalam bahasa Melayu.

Sebelum menyambung Sarjana (MA) pula, saya bekerja selama 3 tahun sebagai pendakwah dan penceramah di seluruh Malaysia, tetapi tidak masuk media dan kerana itu anda tidak mengenali saya. Saya juga tidak mengulang dan tiada masa untuk praktis menyebabkan bahasa arab saya semakin hilang dengan dahysatnya.

Semasa berceramah pula, saya sentiasa mencari bahagian ilmu Islam yang manakah yang kurang dalam masyarakat serta ilmu apakah pula yang patut seorang ustaz dalami untuk membantu masyarakat.

Hasilnya, saya dapati ilmu Fiqh kontemporari dan Fiqh Muamalat adalah bahagian ilmu Islam yang masih agak kurang tumpuan di kalangan ilmuan Islam di Malaysia. Justeru, saya merancang menumpu di bidang tersebut. Demi mencapainya, saya terpaksa bertukar ke bahagian Fiqh dan Usul Fiqh bagi ijazah Sarjana di Jordan.

Ini menyebabkan saya terpaksa mengambil beberapa matapelajaran tambahan. Bahasa Arab saya tercabar. Ramai yang bertanya,

"tak susah ke?,biasanya orang BA di Timur Tengah, MA di Malaysia, tapi enta ni terbalik, pastu nak tukar bidang pula". Kata beberapa rakan saya.

Memang sukar, saya tercabar kerana tiada kursus Bahasa arab tambahan untuk saya, semuanya perlukan usaha sendiri. Lebih sukar kerana saya perlu berada di tahap bahasa Arab peringkat Sarjana dan berbahas semua isu Fiqh dan Usul Fiqh pada tahap Sarjana, bukannya peringkat asas lagi. Ini tidak mudah kerana saya hanyalah lulusan BA Usuluddin dan amat kurang penumpuan di bahagian Fiqh dan Usul Fiqh sebelum ini.

Akan tetapi saya amat berminat dengan subjek Usul Fiqh dan saya amat menyedari kepentingannya untuk dunia dan akhirat saya. Tanpa banyak soal, saya perlu mengerah otak dan minda untuk mencapai target ini.

Akhirnya saya berjaya menamatkan MA saya dalam tempoh 2 tahun 10 bulan, terlewat sedikit disebabkan diwajibkan mengambil matapelajaran tambahan selama satu semester. Bagi perolehi MA dari Jordan atau Timur Tengah, tempoh paling cepat adalah 2 tahun dan paling lewat adalah 7 tahun. Ini disebabkan sistem pembelajaran mereka yang perlukan pengajian kelas dan tesis sekaligus (berbeza MA di UK yang perlukan hanya setahun). Beberapa pelajar Iraq dan Jordan sudah mencecah 4 tahun namun masih lagi gagal menamatkan pengajian mereka.

Bahasa Arab saya tercabar, tetapi akhirnya ketika tesis MA saya di perdebatkan oleh para ilmuan. Bahasa Arab yang saya gunakan dipuji oleh Syeikh Prof Dr Abd Malik As-Sa'di al-‘Iraqi sehingga beliau menyangkakan Profesor penyelia saya yang membantu mencipta ayat. Benar, tetapi 80 % tesis itu adalah bahasa yang saya usahakan sendiri dan bukan dari ‘supervisor' saya. Alhamdulillah, tesis itu telah dicetak oleh UIAM press.

Mencabar Demi Ilmu

Yang istimewa di Universiti Al- Yarmouk, saya dibenarkan mencari sendiri supervisor dan ‘munaqish' (iaitu prof penyemak tesis)

Saya dicadangkan oleh rakan-rakan ‘Arab untuk mengambil pensyarah-pensyarah yang mudah lulus untuk penyeliaan tesis. Saya menolak dan sengaja memilih ulama yang paling unggul dengan ilmu dan akhlak di Universiti al-Yarmouk, iaitu guru mursyid saya Syeikh Prof Dr. Md ‘Uqlah el-Ibrahim sebagai penyelia dan Prof. Madya Dr xxx sebagai penyelia kedua (saya rahsiakan namanya agar tidak jatuh mengumpat)

Penyelia kedua ini amat terkenal sangat ‘bias' atau berat sebelah dan menindas semua pelajar bukan Arab. Tanyalah keluaran Fiqh dari Univeristi Yarmouk, Jordan, pasti mereka akan bersetuju.

Rakan-rakan arab pelik dengan sikap saya. Saya akan pastikan kualiti tesis saya tidak akan dapat dinafikan oleh Prof. Madya Dr xxx. Akhirnya, beliau hanya memberikan sedikit komentar dan soalan mudah ketika ‘viva' berlangsung. Lebih menarik, beliau mengakui banyak manfaat baru dari tesis saya. Pujian bagi Allah.

Universiti memberikan kebebasan saya untuk mencadangkan professor penyemak dan pendiskusi tesis. Saya sekali lagi mencabar ilmu dan memotivasikan diri saya dengan memilih ulama yang sukar-sukar, biar saya tercabar.

Saya pinta Prof Dr Abd Naseer Abul Basal sebagai penyemak pertama dan Prof Syeikh Dr Abd Malik As-Sa'di dari Universiti Mu'tah sebagai penyemak kedua. Alhamdulillah Allah izinkan saya berjaya.

Saya juga sempat membuat semakan ringkas dengan Syeikh al-Imam Dr. Yusof Al-Qaradawi untuk memastikan kandungan tesis saya boleh diterima oleh ulama seperti beliau. Alhamdulillah beliau gembira dengan kandungan tesis saya serta memberikan beberapa ‘mulahazat' atau komentar ringkas dan beberapa penghargaan.

Cabaran & Motivasi Bahasa Inggeris

Ketika saya pulang dari Jordan, semua minda saya berbahasa Arab. Bahasa Inggeris sudah hampir pupus dari minda. Menganggur hanya seminggu selepas pulang dan terus bekerja sebagai Eksekutif & Kaunselor Syariah di Ingress Corporation. Kerjaya ini tidak banyak membantu bahasa Inggeris saya, semuanya di dalam bahasa Malaysia.

Beberapa bulan selepas itu, seorang rakan saya berkata bahawa RHB Islamic Bank baru ditubuhkan dan memerlukan Pengurus Syariah. Tetapi beliau tidak yakin saya mampu kerana mereka perlukan ‘English'. Interview juga di dalam ‘English' katanya. Saya terasa tercabar dan dalam masa yang sama saya memang amat ingin mendalami operasi perbankan Islam semasa tetapi saya juga risaukan adalah ‘English' yang betul-betul sudah dilupakan.

Saya faham bahasa Inggeris amat penting bagi seorang pendakwah. Dunia Islam terlalu kurang pendakwah dan ilmuan Syariah yang mampu menulis dan bertutur di dalam bahasa Inggeris. Sehebat dan sebijak al-Qaradawi masih tiada kemampuan bertutur dan merujuk mendalam buku berbahasa Inggeris.

Saya tercabar dan memotivasikan diri. Perancangan dibuat bagi mencapai misi saya. Rakan dan sahabat saya menasihatkan jangan terlibat dengan bank kerana ia adalah satu industri yang tidak ‘mercy' katanya. Tiada belas kasihan kerana kesibukannya akan menghalang saya dari berdakwah.

Saya berjaya akhirnya berkhidmat di RHB ISLAMIC Bank Berhad. Dokumen perbankan semuanya di dalam ‘English'. Saya diperlukan untuk menyemak setiap baris bagi memastikan ketepatannya dengan hukum Syariah. Tahap ‘English' yang digunakan oleh para peguam dan pegawai bank untuk semua dokumen perbankan bukanlah sesuatu yang mudah. Khususnya ia mempunyai banyak istilah-istilah khas yang perlukan huraian lebih lanjut.S

Cuma sedikit kekurangannya, di RHB Islamic Bank saya sering berbincang dan melaporkan tugasan kepada boss saya yang berbangsa Maleyu, ini menjadikan saya lebih selesa berbahasa Melayu.Namun apabila saya berpindah kerjaya di Asian Finance Bank Ltd (Qatar Islamic), saya perlu melapor kerjaa terus kepada CEO yang merupakan warga Bahrain. Semua meeting dibuat di dalam English, manakala meeting Shariah dilakukan di dalam Arab sepenuhnya. Satu kerjaya yang sukar tetapi memberikan banyak kelebihankepada saya kerana dapat mengasah kedua-dua bahasa sekaligus.

English saya di tahap biasa, ujian IELTS mencatatkan kemampuan bertutur saya hanya pada tahap Band 7. Usaha masih berterusan bagi meluaskan dakwah di seluruh dunia selepas ini. Untuk perolehi pahala yang meluas di seluruh dunia, Bahasa Inggeris dan Arab diperlukan. Saya akan ke sana insyaAllah..Mari bersama saya mengorak langkah. Oraklah langkah dengan perancangan dan bukan secara spontan TANPA HALA TUJU JELAS.

Motivasi & Saya Lagi

Demikian beberapa coretan peribadi berkaitan motivasi diri saya. Terlalu banyak sebenarnya, tetapi saya tidak pandai mengolah, kurang minat menulis hal peribadi dan kekurangan masa. Cuma atas permintaan dan pertanyaan pengunjung web ini, saya cuba kongsikan apa yang sempat dan mampu.

Semua manusia perlukan motivasi. Nabi Muhammad s.a.w diberikan motivasi melalui Isra Mikraj.

Nabi Ibrahim juga memohon motivasi dari Allah. Lihat bagaimana permohonan Nabi Ibrahim :-

وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ رَبِّ أَرِنِي كَيْفَ تُحْيِـي الْمَوْتَى قَالَ أَوَلَمْ تُؤْمِن قَالَ بَلَى وَلَـكِن لِّيَطْمَئِنَّ قَلْبِي

Ertinya : "Dan (ingatlah) ketika Ibrahim berkata: ""Ya Tuhanku, perlihatkanlah padaku bagaimana Engkau menghidupkan orang mati"". Allah berfirman: ""Belum yakinkah kamu?"". Ibrahim menjawab: ""Aku telah meyakininya, akan tetapi agar hatiku tetap mantap (dengan imanku)"". " ( Al-Baqarah : 260 )

Kita semua perlukan motivasi, motivasi yang unggul adalah motivasi untuk mendapatkan redha dan syurga Allah.

Sebagaimana nabi dan sahabat baginda. Allah s.w.t mencatatkan betapa bermotivasinya mereka mengejar keredhaan dan syurga Allah dengan firmannya :-

خِتَامُهُ مِسْكٌ وَفِي ذَلِكَ فَلْيَتَنَافَسِ الْمُتَنَافِسُونَ

Ertinya : "tempat penamat yang harum semerbak kesturi (syurga); dan untuk yang demikian itu hendaknya orang berlomba-lomba" ( Al-Mutaffifin :26 )

Lihat Allah s.w.t ingin kita sentiasa bermotivasi untuk mencapai kebaikan syurga. Berlumba-lumba. Manusia sering berlumba bagi perolehi nikmat sementara dunia, harta, nama dan pangkat.

Ingatlah sekaya-kaya Lim Goh Tong yang memiliki billion ringgit wang juga tidak dapat menangguhkannya dari kematian. Tidak juga boleh merasuah Allah s.w.t untuk memberikan kontrak hidup untuk 3 tahun lagi.

Jadilah dan kejarlah redha dan pahala untuk kehidupan selepas kematian. Rancanglah dan fikirlah.

Jangan jadikan pujian manusia sebagai motivasi unggul kerana ia akan mencelamu dikemudian hari.

Jangan jadikan duit sebagai motivasi unggul kerana ia akan hilang dan habis.

Jangan jadikan pangkat sebagai motivasi unggul, kerana ia juga akan tamat dan dihasadi.

Jangan jadikan keluarga sebagai motivasi unggul, kerana ia akan mati jua.

JADIKAN ALLAH, RASULNYA DAN SYURGA YANG DIJANJIKANNYA SEBAGAI MOTIVASI, NESCAYA ALLAH TIDAK AKAN MATI DAN JANJINYA TIDAK AKAN MENGECEWAKAN.

Membiarkan orang lain sahaja yang bermotivasi dalam memperolehi pahala bukanlah sifat orang beriman. Jangan biarkan kata-kata negatif orang terhadap sesuatu yang baik untuk akhirat anda, membantutkan semangat. Jadikan ia pendorong dan motivasi.

Web & Motivasi

Saya bermotivasi untuk membuat pengisan di web ini hanya kerana merasakan ia mampu membantu akhirat saya. Saya dan keluarga ingin selamat di akhirat, saya ingin selamat di barzakh, saya tahu saya perlu letih untuk itu.

Saya syukur kerana web yang baru berumur setahun jagung ini sudah punyai pelawat yang boleh tahan ramainya. Saya amat gembira kerana melaluinya saya mampu menyampaikan ilmu walaupun saya sedang tidur, ketika saya sedang bertugas. Setiap detik pelawat memanfaatkan ilmu di web ini.

"Larat enta update web ye," kata Ust Khairuddin Aman Razali kepada saya ketika bertandang ke Darul Fuqaha untuk berforum.

Saya menjawab seperti di atas. Gembira melihat ramai yang sudi membaca dan memanfaatkan tulisan kita, beribu-ribu. Sukar sekali ceramah boleh dihadiri oleh seribu pendengar. Melalui web saya berjaya. Ia adalah ilmu yang boleh memanfaatkan saya di barzakh dan akhirat, insyaAllah. Sebagaimana disebut oleh Nabi s.a.w.

Masih segar di ingatan saya, ketika saya sedang sibuk bekerja di bank, saya menyuarakan hasrat untuk punyai web sendiri kepada seorang sahabat yang amat popular di dunia penulisan internet. Sehingga hari ini blog beliau punyai pelawat yang amat ramai. Tatkala itu saya ‘buta' ilmu berkenaan blog dan ‘web site' tapi hasrat itu ada. Kerja di bank sudah berat, ditambah kursus dan ceramah luaran lagi mungkin menyebabkan sahabat ini berkata

"orang macam anta ni, kurang sesuai ada web site"

Begitulah isi kandungan kata-kata beliau, maaf jika lafaznya kurang tepat. Beliau menasihati saya agar tidak melibatkan diri dalam dunia web kerana katanya:

"web yang tidak kerap diupdate seperti sesuatu yang telah mati"

begitulah lebih kurang maksudnya yang meragui kemampuan saya untuk membuat pengisian web disebabkan aktiviti saya.

Telah saya katakan, jika saya minat dan mendapati sesuatu itu memberi manfaat kepada akhirat saya. Pasti akan saya lihat ayat-ayat negatif seseorang itu sebagai positif dan motivasi.

Demikian jugalah yang berlaku kepada nasihat ikhlas sahabat tersebut. Saya anggap sebagai motivasi diri.

Akhirnya saya punyai blog atau ‘website' sendiri (maaf jika anda ingin berdebat berkenaan kalimah web dan blog, saya memang tidak ambil kisah akan perbezaannya).

Selain itu, saya luaskan jangkauan web dengan menubuhkan zaharuddin yahoogroup yang kini dinggotai oleh 2800 orang sehingga amat sukar untuk saya memberikan jawapan kepada soalan-soalan yang kebanyakkannya memerlukan huraian. Sistem sms 33221 ( sistem ini TELAH SAYA TUTUP SETAKAT INI - 20 april 09) - juga tidak pernah kering dari soalan pelbagai jenis, email saya juga diserang hebat sehingga menyebabkan forum percuma saya terbengkalai. Biarlah, sudah ‘over limit' kemampuan manusia biasa. Biar ia sampai di limit, barulah saya berhenti.

Tugas UIAM & Masa

Bertugas di UIAM, dari satu sudut kelihatan kurang tugasan berbanding bertugas di industri korporat sebelum ini..tetapi rupanya tugas saya semakin bertambah. Hari ini Pengerusi, CEO dan orang kuat sebuah syarikat MLM Bumiputra datang ke UIAM bertemu saya dan rakan baik saya Dr A.W. Meminta kami membuat sejarah dunia kewangan Islam runcit iaitu dengan memperkenalkan model Skim MLM Islamik. Mereka kelihatan bersungguh tetapi ‘blank' tentang model alternative MLM, bantuan kami ditagih untuk menggubal konsep baru MLM.

Saya sudah semakin risau dengan masa saya, sebuah Bank Islam sudah melantik saya sebagai ‘External Syariah Advisor', tugasnya banyak sudah tentu. JAKIM melantik saya sebagai panel bengkel menggubal sukatan Fiqh Muamalat untuk guru takmir seluruh Malaysia, demikian juga Jabatan Mufti Kedah untuk seluruh tawliah negeri Kedah. Beberapa syarikat luar Negara sudah mula meminta tarikh untuk memberikan bantuan dan latihan ilmu Kewangan Islam di sana.

Orang sana minta Kursus Solat, orang sini minta buat kursus Kewangan & Perbankan Islam, dan orang situ pula minta buat kursus etika dan budaya kerja Islam. Orang di atas pula minta bentang kertas kerja di majlis ilmuan Syariah, orang di kanan pula minta semak silibus, orang di hujung pula minta jadi kolumnis sebuah newsletter berbahasa Inggeris, orang di tepi pula minta jadi editor luaran majalah. Semuanya hakiki dan realiti, pengunjung web pula minta "cepat ‘update' ustaz". Penyoal soalan hukum minta cepat jawab, peminta nasihat kaunseling keluarga, minta "ustaz cepatlah tolong selesaikan masalah saya, apa saya nak buat?", dan banyakkkkk lagi.

Ya Allah aku hanya seorang manusia, permudahkan urusanku demi perolehi redhamu. Berikanku kekuatan membantu mereka yang memerlukan.

Doakan kami mampu melakukannya untuk ummat. Jika anda merasakan saya sangat sibuk, NO!, saya belum sibuk berbanding ramai lagi pejuang Islam di Malaysia dan dunia dalam pelbagai bidang. Saya hanya baru 35 % sibuk berbanding mereka.

Jangan bimbang untuk menjemput dan bertanya kepada saya. No problem, InshaAllah saya masih mampu mengurus. Itu salah satu kelebihan yang saya perolehi dari Universiti Malaya dahulu. Belajar melakukan 10 kerja dalam satu masa, dengan siap dan berjaya. Ingin juga saya kongsikan berkenaan pengalaman tersebut, namun di lain masa. Ia juga adalah dituntut Islam, sebagaimana Nabi laksanakan pelbagai tanggungjawab dalam satu masa. Anda juga mesti berkemampuan untuk itu. Anda tentu boleh..

Saya masih ingat, terdapat seorang pelajar bertanya saya:

"ustaz saya tengok dalam profile ustaz, banyak betul kerjaya ustaz, mcam mana ustaz manage semuanya? Khususnya nak pastikan kualiti semua kerja terjamin"

Saya terdiam, tidak tahu dari mana untuk saya mulakan penerangan. Esoknya saya membuka semula profile saya, memang nyata agak banyak juga kerja dan tanggungjawab yang dipikul. Tugas itu sebenarnya belum lengkap dan mash ada yang belum atau tidak saya masukkan.

Namun, belum sampai masa untuk saya huraikan jawapan kepada soalan pelajar tadi. Sebahagian ulasannya telah pernah saya kongsikan dengan pelajar-pelara di Morocco semasa berceramah pada awal April 2009 yang lalu. Semua tugasan itu, boleh diurus jika kita berperancangan dan bermotivasi. Apa yang penting, rasakan itu sedikit dan masih ramai di luar sana yang jauh lebih berat dan panjang senarai kerjanya, dan cemerlang. Dengan melihat seseorang yang lebih berjaya, kita akan terhindar dari sebarang perasaan ujub dan tertipu oleh Syaitan. Allahumma amen.

Berapa Ramai Doa ?

Akhirnya, jika anda meninggal dunia kelak berapa ramai yang anda inginkan orang yang menyembahyangkan jenazah anda?. Sudah tentu kita inginkan lebih ramai bagi perolehi doa mereka.

Motivasikan diri anda bahawa kita tidak perlu terlalu bergantung kepada doa manusia yang hidup sahaja, malah kita juga boleh mendapat doa dari yang lain dari manusia berganda-ganda lebih ramai dan banyak.

Nabi s.a.w menyebut :-

إن اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ وَأَهْلَ السماوات وَالْأَرَضِينَ حتى النَّمْلَةَ في جُحْرِهَا وَحَتَّى الْحُوتَ لَيُصَلُّونَ على مُعَلِّمِ الناس الْخَيْرَ

Ertinya : Sesungguhnya Allah, Malaikatnya, penduduk langit dan bumi sehinggakan semut di sarangnya dan ikan di lautan akan pasti mendoakan (kebaikan) buat orang yang mengajar manusia ilmu kebaikan (Agama)" ( Riwayat At-Tirimizi, 5/50 : Tirmizi : Ghorib, Albani : Sohih).

Al-Mubarakpufi berkata : maksud 'ilmu kebaikan' dalam hadis ini adalah ilmu agama yang dengannya manusia mendapat keselamatan di akhirat. ( Tuhaftul Ahwazi, 7/380).

Cukuplah hadis ini menjadi motivasi buat kita semua untuk berlumba-lumba mengajar kebaikan islam kepada orang lain. Pastikan anda telah pelajari dan fahami Islam dengan baik sebelum berbuat demikian.

Demikian coretan ringan saya yang tidak tersusun. Abaikanlah kelemahan bahasa buat sementara dan fokuskanlah kepada isi kandungannya, moga bermanfaat untuk dunia dan akhirat anda.

Sumber : http://www.zaharuddin.net/peribadi,-tazkirah-&-fikir/618-saya-kisah-benar-a-motivasi-diri.html


2 comments:

  1. Saya juga dah baca kisah Ust zaharuddin dalam blognya. Sangat terkesan dlm hati dan memberi seribu motivasi!!

    ReplyDelete
  2. This website truly has all the information and facts I wanted about this subject and didn't know who to ask.

    Look into my page http://Www.Sexbomb69.com

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails