My Followers

Monday, November 7, 2011

Cara Membentuk Kepimpinan Anak Sulung

Anak sulung merupakan tunggak sesebuah keluarga. Lazimnya, anak ini akan dijadikan contoh dan role model adik-adik yang lain. Sebagai yang terkawal dalam keluarga dari segi umurnya, anak ini wajar dipupuk dan dididik nilai-nilai kepimpinan di dalam dirinya agar potensi yang ada dalam dirinya tidak dibenamkan begitu sahaja mahupun disalah-gunakan.

Peranan anak ini amat besar untuk pembentukan jati diri adik-adik yang lain. Tidak hairanlah lelaki atau perempuan, apabila dikatakan dia yang paling tua atau yang sulung, secara tidak langsung keinginan untuk dihormati dan dipatuhi itu wujud dalam dirinya. Bagaimana untuk menyalurkan keinginan ini ke arah yang baik memerlukan campur tangan ayah dan ibu.

Tunjukkan contoh kepimpinan yang baik. Ði sini, peranan ayah dan ibu sangat penting untuk menunjukkan contoh tauladan kepimpinan yang baik. Terutama ayah sebagai pemimpin keluarga. Kita perlu melaungkan masa bersama anak-anak agar anak merasai kewujudan dan peranan kita yang aktif bersama mereka. Ði sini, anak akan mula belajar daripada apa yang kita lakukan. Libatkan anak dalam setiap aktiviti yang kita lakukan. Contohnya mengemas laman, ajak anak menyertai kita.

Ði sini anak akan belajar bagaimana ayahnya mengatur aktiviti dan membahagi tugas untuk keluarga dan peranan ibu dalam situasi itu. Begitu juga bagaimana ayah dan ibunya menyelesaikan sesuatu masalah yang berlaku ketika sedang mengemas laman tersebut. Tidak terhad di situ, anak ini perlu juga didedahkan kepada komuniti, dalam kenduri-kendara contohnya, anak akan banyak belajar daripada apa yang kita terjemahkan melalui perbuatan kita lebih daripada apa yang kita ungkapkan melalui percakapan. Sepanjang pengalaman ini, anak bukan sahaja belajar daripada kita, malah turut mengagumi jika kita berjaya berperanan sebagai pemimpin keluarga yang baik. Ðari situ akan lahir hormat dan patuh kepada kita.

Kemudian, beri peluang kepadanya untuk merancang aktiviti bersama adik-adiknya. Jangan campur tangan dalam perbincangan ini, biarkan dia mengendalikan perbincangan tersebut dan di akhir perbincangan perlu membentangkan semua rancangan itu kepada ibu dan ayah untuk diperakukan dan diluluskan sebagai aktiviti mereka. Nampaknya macam sedikit formal, tetapi percayalah anak akan menyukai aktiviti ini dan menghargai peluang yang diberikan kepada mereka. Secara tidak langsung, aktiviti sebegini memupuk nilai-nilai kepimpinan dalam jiwa anak-anak terutama yang sulung. Jangan pula, semua aktiviti tadi ditolak mentah-mentah. Berilah sebab yang munasabah jika ada di antara aktiviti yang ingin dilakukan tidak bersesuaian. Keputusan masih ditangan kita.

Tidak salah jika sekali-sekala anda memberikannya kepercayaan mengendalikan perbelanjaan untuk mereka adik-beradik. Contohnya, memberikan anak sulung ini RM10 untuk memberi barang dalam kedai serbaneka yang releven untuk dia dan adik-adiknya. Ði sini kita mengajarnya untuk menguruskan perbelanjaan. Apabila dia balik, minta dia tunjukkan baki dan barang-barang yang telah dibeli dan untuk siapa barang tersebut dibelikan. Ðari sini, ibu bapa boleh monitor perbelanjaannya dan menerapkan nilai kepimpinan melalui pengurusan kewangan. Jika ada kesilapan, perbetulkan dengan menjelaskan perkara yang sepatutnya dilakukan.

Jangan sesekali memarahi anak ini di hadapan adik-beradiknya yang lain. Anak ini merupakan ketua kepada adik-adiknya, jika dia dibentak dan dimarahi di depan anak-anak buahnya, akan gugurlah rasa hormat adik-adik kepadanya dan akan bertempeklah rasa malu dalam dirinya dan sekaligus membenamkan keyakinan dirinya. Tegurlah secara baik, terangkan kesalahannya dan perbetulkan. Bukan bermaksud tidak boleh dimarahi langsung, cukuplah ketegasan kita dalam pembentukan anak-anak.

Jika kesalahannya melibatkan adik-beradik yang lain, ajar dia untuk meminta maaf, begitu juga dengan adiknya, jangan menyebelahi sesiapa dalam menjadi hakim sebelum mengetahui hujah dan dalilnya. Terangkan kepada anak ini, semua orang melakukan kesilapan dan perlu meminta maaf, hatta jika ayah atau ibu sekalipun melakukan kesalahan kepada kakak atau abang, ayah dan ibu perlu meminta maaf. Jadi, tiada salah untuk menyatakan maaf, tidak kira kita yang sulung, yang tengah ataupun yang bongsu. Kefahaman ini wajar dan wajib dititipkan dalam diri setiap anak-anak kita.

Akhirnya, bina suasana keluarga yang saling menghormati dan menyayangi. Bagaimana caranya ialah dengan solat berjemaah. Ketika solat jemaah, cas-cas dalam badan kita diseimbangkan, yang mana kurang ditambah dan yang lebih dikurangkan melalui sentuhan dan pergerakan solat yang dilakukan. Jika seisi rumah bersolat, secara berjemaah pula, maka semua ahli di dalam rumah akan berada dalam keadaan yang seimbang dan berkualiti selepas solat dilakukan dan sekaligus mengeratkan silaturrahim sesama ahli keluarga. Selain itu, makan bersama dan melakukan aktiviti bersama keluarga. Apabila banyak masa berkualiti dihabiskan bersama, kasih sayang dapat ditautkan dan rasa hormat dapat disemai.

Potensi yang ada dalam diri anak wajar ditonjolkan dan digilap supaya dapat digunakan sebaik mungkin sepanjang kehidupannya kelak. Kepimpinan dalam diri anak wajar diterapkan terutamanya kepada anak yang sulung, kerana pada tangannyalah kelak akan diwariskan adik-adiknya setelah ketiadaan ibu dan ayahnya. Jika kuat roh kepimpinan yang disemai dalam dirinya maka bakal kekal lamalah institusi keluarga yang telah dibina, insya Allah.

Tuesday, November 1, 2011

Cinta Usia Emas

Pagi ini, sewaktu menghantar kak long ke sekolah untuk ujian lisan bahasa arab, saya melalui sebuah masjid berhadapan jalanraya utama. Sewaktu kereta berhenti di lampu isyarat dengan warna merah yang baru menyala, di sisi lantai dan tangga bawah masjid, mata tertancap ke susuk tubuh seorang mak cik tua, manis bertelekung bagaikan menunggu seseorang.

Selang beberapa langkah di kawasan tempat letak kereta, seorang pak cik tua sedang berusaha menghidupkan enjin motornya. Sebaik enjin hidup,dia bersegera menuju kepada mak cik tua yang setia menunggu dengan senyuman di bibirnya.

"Tentu mereka baru mendengar kuliah subuh pagi ini..." saya berbisik.

Mak cik tua membonceng motor dengan tangannya berpaut pada pinggang pak cik tua.

Kejap. Erat.

Sungguh romantik pemandangan itu bagi saya.

"Tentu sudah banyak ranjau kehidupan berumahtangga yang mereka lalui untuk sampai kepada peristiwa pagi ini," saya menelah.

KERUNTUHAN

Saya meyakini, betapa dalam kemelut masyarakat yang serba runtuh hari ini, perkahwinan dan institusi rumahtangga memainkan peranan cukup besar dalam mengembalikan keamanan dan kedamaian dalam masyarakat.

Pada saya, semuanya bermula dari rumah!

Namun, hati disapa gusar dan bimbang apabila membaca dan mendengar kisah sekian ramai pasangan muda yang kecundang di pertengahan usia rumahtangga mereka. Belum lagi angka lima dicapai, mahligai yang dibina dengan resepsi serba indah, hantaran serba mewah, perlahan-lahan retak menunggu belah, hingga akhirnya hancur berkecai tanpa dapat dipertahankan!

Antara punca dan sebab yang sungguh merisaukan ialah berita-berita kecurangan yang berlaku dalam rumahtangga. Bukan sedikit laporan ‘main kayu tiga’ pasangan berkahwin dipaparkan di dada-dada akhbar tempatan. Kalau tidak suami, wanita bergelar isteri juga tidak terkecuali dari beraksi dengan maksiat jelek ini.

Dalam seminggu helaian suratkhabar menemui pembaca, pasti ada terselit kisah kebobrokan ini diketengahkan, cukup sebagai justifikasi betapa semakin ramai individu yang merupakan nadi penggerak sesebuah institusi rumahtangga hari ini sedang dihinggapi virus merbahaya yang menyebabkan rohaninya jatuh sakit iaitu perasaan tidak cukup dengan pasangan yang halal hingga menagih ‘kasih luar’; dimulai dengan ‘chatting’ di ruang siber, usik mengusik menjadi agenda setiap kali berbicara dan akhirnya bertemu ‘kekasih hati’ tanpa pengetahuan pasangan yang dinikahi. Lebih menyedihkan, sebahagian besar dari kalangan mereka merelakan diri untuk melakukan hubungan badan yang pasti saja haram dan dilabel sebagai golongan yang melampaui batasan oleh ALLAH SWT sebagaimana firman-NYA :

وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ

Maksudnya : “.. dan orang-orang yang menjaga kemaluannya.”

إِلَّا عَلَى أَزْوَاجِهِمْ أوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ

Maksudnya : " kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau budak yang mereka miliki; maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela."

فَمَنِ ابْتَغَى وَرَاء ذَلِكَ فَأُوْلَئِكَ هُمُ الْعَادُونَ

Maksudnya : Barang siapa mencari yang di balik itu maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas.” ( Surah al Mukminun ayat 5-7 )

Buntu saya memikirkan mengapa semua ini boleh terjadi. Keindahan di awal pernikahan tidak mampu dikekalkan sedangkan ikatan yang termeterai diakui kerana saling menyintai? Bagaimana pohon cinta yang dulunya mengakar teguh, kini tercabut tanpa meninggalkan walau sedikitpun belas kasihan?

IT’S YOUR CHOICE!

“Apa salahnya saya mencari perhatian dari lelaki lain? Suami yang ada ini pun bukan tahu mengambil hati!” rungut seorang wanita bergelar ibu muda.

“Ah! Padan muka. Dah bertahun kahwin, masih tak reti nak jaga hati suami. Baik juga kekasih lama menyapa di fb. Kasih yang putus berpaut kembali. Kali ini, aku takkan lepaskan peluang. Dia cintakan aku sepenuh hati…apa lagi…” Bisik seorang lelaki dengan senyum nakal bernafsu syaitan.

Mungkin cetusan-cetusan di atas selalu dilafazkan sebagai ‘excuse’ kepada dosa dan maksiat yang dilakukan. Tambahan pula, pandangan ramai bahawa bila suami berzina, lihat juga kesalahan isteri. Kemungkinan suami melakukan itu kerana isteri yang tidak melayan suami sebaiknya.

Bila isteri pula bermain kayu tiga, ada pula berpandangan, lihat juga kesilapan suami. Kemungkinan isteri melakukan itu kerana suami yang kurang memberikan perhatian dan belaian emosi kepada si isteri.

Memang benar, setiap sesuatu yang berlaku, pasti ada sebab dan musababnya. Namun, jangan pula kita lupa menekankan bahawa sebagai individu mukallaf, pasangan suami/isteri yang sepatutnya telah dewasa dan matang ini mesti menginsafi bahawa dosa yang dilakukan itu walau apa pun sebab di sebaliknya, ia adalah pilihan mereka sendiri.

"It's your choice!"

Lalu, tidak perlu menuding jari ke hidung orang lain dan terus hanyut dengan dosa yang amat dikeji!

IMAN DAN CINTA

Hakikatnya, untuk mencegah tindakan pengkhianatan dalam hubungan suami isteri ini dari berlaku, setiap pasangan memerlukan iman. Ia berisi keyakinan pada ALLAH SWT bahawa setiap perlakuan dan perkataan selalu memiliki konsekuensi.

Apa-apa yang positif bakal membuahkan pahala dan penghargaan, manakala apa-apa yang bernilai negatif, pasti menghasilkan dosa dan celaan.

Justeru itu, setiap tindakan mereka itu akan dipertanggungjawabkan di hadapan ALLAH SWT kelak dan tiada jalan untuk mereka ‘lari’ dari bertanggungjawab terhadap dosa pilihan sendiri itu.

Alangkah rugi berbuat maksiat kepada ILAHI!

Firman ALLAH SWT :

وَالَّذِينَ كَسَبُواْ السَّيِّئَاتِ جَزَاء سَيِّئَةٍ بِمِثْلِهَا وَتَرْهَقُهُمْ ذِلَّةٌ مَّا لَهُم مِّنَ اللّهِ مِنْ عَاصِمٍ كَأَنَّمَا أُغْشِيَتْ وُجُوهُهُمْ قِطَعًا مِّنَ اللَّيْلِ مُظْلِمًا أُوْلَـئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

Maksudnya : "Dan orang-orang yang mengerjakan kejahatan (mendapat) balasan yang setimpal dan mereka ditutupi kehinaan. Tidak ada bagi mereka seorang pelindung pun dari (azab) Allah, seakan-akan muka mereka ditutupi dengan kepingan-kepingan malam yang gelap gulita. Mereka itulah penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya." ( Surah Yunus [10] ayat 27 )

Selain itu, hal lain yang sangat perlu dititikberatkan adalah wujudnya cinta dan kasih di antara pasangan suami isteri serta komitmen untuk terus membajai perhubungan yang telah dihalalkan atas lafaz pernikahan ini agar terus berada di atas landasan yang diredai ILAHI.

Sikap saling menghargai, memahami dan menerima kelebihan serta kekurangan masing-masing amat diperlukan. Kelebihan yang ada dirai dan dihargai sewajarnya, manakala sebarang kekurangan dipandang sebagai peluang yang akan mematangkan lagi dalam menempuh jalan-jalan kehidupan berumahtangga.

DOA SITI SARAH

Saya suka untuk mencadangkan kepada semua wanita, baik yang masih bertitle gadis sunti, anak dara atau yang sudah menyandang gelar ibu dan suri rumahtangga agar kita sama-sama mengamalkan doa ini.

اللّهُمَّ اِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ اني آمَنْتُ بِكَ وَبِرَسُولِكَ وَأَحْصَنْتُ فرجي إِلاَّ على زوجي فَلاَ تُسَلِّطْ عَلَىَّ الْكَافِرَ

Maksudnya : “Ya Allah, jika engkau mengetahui bahawa aku beriman kepada MU dan Rasul MU, dan aku menjaga kehormatanku hanya untuk suamiku, maka lindungilah aku daripada dikuasai oleh orang-orang kafir dan zalim." ( Riwayat Al-Bukhari, no 2104, 2/722 ; Sunan Al-Baihaqi, 5/97; Musnad ahmad, 2/403 ; Fath Al-Bari, 6/393; Umdat Al-Qari, 12/30 ; Sohih )

Ia merupakan doa yang sahih yang dibaca oleh isteri Nabi Ibrahim a.s ( iaitu Siti Sarah) yang menyebabkan para lelaki zalim termasuk rajanya melarikan diri.

Pada saya, doa ini bukan sekadar munajat ke hadrat Yang Maha Esa agar maruah berharga seorang wanita tetap kekal terpelihara, bahkan lebih dari itu, ia mengandungi nilai cinta seorang isteri kepada suami yang dikasihi. Berdoalah….agar ALLAH menghijab hati wanita kita yang lemah ini dari terpedaya dengan pujuk rayu lelaki bertopengkan iblis.

Berdoalah….agar ia menjadi satu usaha yang mampu membuahkan hidayah dari-NYA pada ketika dan suasana di mana sebagai manusia biasa kita tidak lagi mampu memilih yang benar, melainkan hanya dengan petunjuk dari ALLAH SWT sahaja kita akan terselamat dari menghampiri noda dan maksiat!

Sehebat manapun seorang manusia, sebijak manapun seseorang itu, ia tidak mampu menjangkau semua perkara. Justeru, manusia sangat memerlukan kepada hidayah di sepanjang kehidupannya, lebih-lebih lagi dalam mengawal nafsu dari mendominasi diri. Sememangnya, manusia sering mencari TUHAN ketika masalah menimpa, namun tidak pula ramai untuk 'bersama' TUHAN sebelum masalah menjelma.

Oleh itu, jangan golongkan diri yang lemah ini dalam kelompok ‘tidak sedar diri’ itu.

CINTA USIA EMAS

Akhirnya, marilah kita melihat sebentar sekeliling...meninjau pasangan tua yang masih utuh kasih mereka walau usia menuju remang senja.

Salah satu darinya adalah kisah cinta pasangan warga emas ini. Cinta mereka masih teguh walau telah melampaui separuh abad lamanya.

“Kami tiada apa-apa rahsia istimewa kecuali kalau bergaduh, kedua-dua pihak perlu menunggu sama ada hati saya atau isteri sudah sejuk terlebih dulu, barulah kami berbincang menyelesaikan perselisihan faham dengan mengenepikan segala rasa ego,” ujar Ismail Abas, yang telah berusia 94 tahun.

Ismail dan pasangannya, Wan Chik Wan Yahya, 87, hidup harmoni sejak mereka diijabkabulkan pada 1937 meskipun tidak pernah bercinta sebelum berkahwin berikutan pernikahan berkenaan diatur keluarga masing-masing. Malah, Ismail tidak pernah terlintas untuk mencari wanita lain sepanjang perkahwinannya meskipun pada satu ketika dia sering meninggalkan Wan Chik kerana bekerja sebagai pelayar perahu besar yang menghantar dan mengambil barang dagangan hingga ke Singapura.

Benarlah, untuk sampai kepada cinta di usia emas ini, sesuatu yang baik untuk kita renungkan :

“Perkahwinan yang bahagia bukanlah perkahwinan yang tidak pernah dilanda badai, tetapi kebahagiaan itu dicapai melalui usaha, doa dan tawakal antara dua jiwa dengan 'kembali' kepada ALLAH dan Rasul-NYA tika masalah mengocak keharmonian mahligai yang dibina.”

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.

Sumber : http://ummuhusna99.blogspot.com/2011/11/cinta-usia-emas.html

Wednesday, October 19, 2011

Perubahan Sikap Tanda Haji Mabrur

Oleh Mastura Mohd Zain

MENUNAIKAN haji ke Makkah menjadi kewajipan bagi mereka yang berkemampuan. Beruntunglah mereka yang menjadi tetamu Allah SWT tahun ini. Tentunya sudah mempersiapkan diri dari awal lagi hingga memasuki hari berangkat ke Tanah Suci kerana ibadat haji memerlukan suatu pengorbanan rohani, jasad dan juga harta.

Jemaah haji yang menunaikan ibadat haji sebenarnya berhadapan dengan untung nasib mereka di akhirat. Mereka meninggalkan pakaian yang berjahit, menitiskan air mata keinsafan di Padang Arafah, melaungkan kata-kata taubat dan penyesalan dengan semua bahasa manusia yang ada di bumi ini. Bersama-sama bermalam di Mudzalifah, berlumba-lumba melontar Jamrah serta berusaha tawaf dan bersaie tanpa mengenal erti penat dalam menghadapi rintangan dan cabaran ketika mengerjakan haji.

Setiap orang yang menunaikan haji pastinya mengharapkan untuk mendapat haji mabrur. Sabda Rasulullah SAW, “Haji mabrur itu tiada balasan yang lain kecuali syurga.” Hadis Abu Hurairah. Orang yang menunaikan ibadat haji dengan sempurna akan mendapat haji mabrur.

Dari segi bahasa, mabrur mempunyai dua makna. Pertama, bererti baik, suci dan bersih. Kedua, bererti diterima dan mendapat keredaan Allah SWT. Orang yang memperoleh haji mabrur semakin kuat imannya serta meningkat amal ibadatnya.

Tidak mudah untuk mendapatkan haji mabrur, sebagaimana yang dikatakan Umar bin al-Khattab, yang menyatakan ramai yang hanya makan angin (melancong) sedangkan yang melakukan haji sedikit. Ini bermakna ramai yang mengerjakan haji tetapi sedikit saja yang benar-benar melakukan ibadat haji dan memahami setiap amal ibadat haji sehingga memperoleh haji mabrur.

Setiap orang yang mengerjakan ibadat haji sebenarnya mengunjungi tempat paling suci di dunia ini. Maka mereka haruslah berusaha agar haji yang diperoleh tidak tercemar selepas pulang ke tanah air. Ibadat haji yang dilakukan memberinya peluang untuk membuat perubahan yang baik untuk dirinya.

Kesannya, kehidupan beragama akan bertambah serta kuat beriltizam dengan amalan Islam. Mereka ini menjadi contoh dalam kehidupan harian. Apabila seseorang itu bergelar haji, bertambahlah tanggungjawabnya terhadap masyarakat.

Mereka mesti menunjukkan perilaku baik, bertutur dengan kata-kata yang manis serta menahan diri daripada mengeluarkan kata kesat yang boleh menyinggung perasaan orang lain. Hendaklah bertegur sapa dengan orang di sekeliling dan berbudi bahasa dengan semua orang.

Perubahan pada jemaah haji yang pulang dapat dilihat dari kelakuannya. Jika dulu pemarah sudah bertukar menjadi pemaaf. Menjadi seorang yang pemurah serta suka bersedekah jika dahulunya kedekut. Menjadi seorang yang berbudi bahasa jika dulunya jenis yang suka memaki hamun orang. Juga berubah menutup aurat jika dahulunya tidak kisah tentang hal tersebut.

Sebaliknya, jika sekembalinya dari menunaikan haji, masih juga melakukan dosa besar, takbur dan tidak beramal dengan amalan Islam, ia memberi tanda haji dikerjakan itu tidak mabrur.

Jika ibadat hajinya tidak membawa apa-apa perubahan, ini bererti tidak ada pengajaran yang diambil. Jika sifat buruk, syirik dan keji masih ada dalam dirinya, maka itu menunjukkan bahawa hajinya tidak mencapai matlamat. Ada yang pergi menunaikan haji untuk mendapatkan gelaran dalam lingkungan masyarakat sekelilingnya. Niat yang begini sudah pasti tidak akan mampu membawa apa-apa perubahan pada dirinya.

Haji mabrur yang diterima oleh Allah bagaikan seseorang itu baru keluar (dilahirkan) daripada perut ibu iaitu tidak berdosa. Apa yang penting haji mabrur bukan sekadar membawa perubahan pada diri, tetapi juga mampu membawa perubahan kepada keluarga dan masyarakat.



Hotel Elaaf Al-Sud

Sahabat-sahabat...
Doakan moga ayahanda dan bonda tercinta dipermudahkan urusan dan diberi kesihatan sepanjang berada di tanah suci dan pulang ke tanah air dengan selamat serta mendapat haji mabrur....Amin ya rabb...

Friday, October 7, 2011

Satu Penilaian : Belanjawan Pakatan dan BN

BELANJAWAN PAKATAN

Dengan mengangkat tema "Kesejahteraan Untuk Semua", belanjawan Pakatan Rakyat memberi fokus yang lebih kepada rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.Belanjawan itu dibentangkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di bilik taklimat parlimen hari ini.Ianya dibentang seminggu lebih awal berbanding bajet kerajaan pusat yang akan dibentang perdana menteri pada Jumaat lalu.

Tujuh prinsip asas yang menjadi teras kepada Belanjawan 2012 Pakatan Rakyat antaranya adalah seperti berikut:

1 - Membantu rakyat dalam masa terdekat mengharungi suasana ekonomi yang semakin terhimpit.

2 - Menjamin kelangsungan kewangan negara dengan tumpuan khususnya untuk mengurangkan defisit.

3 - Menambahnilai perbelanjaan negara agar peruntukan benar-benar samapai kepada rakyat dengan memerangi rasuah dan penyelewengan.

4 - Memperkasakan keupayaan ekonomi rakyat dalam jangka masa sederhana dan panjang melalui rekayasa latihan teknikal, vokasional dan penggajian memartabatkan rakyat.

5 - Mengukuhkan lagi arus reformasi politik yang manjadi prasyarat dan pendinding dari anasir-anasir yang mahu membolot kekayaan negara untuk mereka dan kaum kerabat mereka sahaja.

Pembelaan rakyat terbanyak

Belanjawan Pakatan Rakyat juga akan melaksanakan bantuan-bantuan berikut bagi mengalihkan sumber kekayaan negara dari golongan mahakaya kepada gologan rakyat kebanyakan:

a) Mengekalkan subsidi minyak RM22 bilion bagi mengelakkan kenaikan harga.

b) Menghapuskan subsidi korporat yang hanya menguntungkan kroni seperti pemilik penjana bebas (IPP), monopoli beras oleh Bernas, monopoli lesen teksi.

c) Bayaran bonus kepada warga emas sebanyak RM1,000 setahun yang berpendapatan kurang RM18,000 setahun.

d) Bayaran suri rumah sebanyak RM1000 dalam tahun 2012 dan menggalak mereka menabung melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

e) Bayaran tambahan kepada isi rumah dalam kategori miskin tegar untuk memastikan pendapatan bulanan mencecah RM550.

f) Bayaran kepada penerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat diselaraskan krpada RM550 sebulan berbanding RM300 sebulan pada masa sekarang.

Mengembalikan martabat rakyat

a) Menetapkan gaji minima sebanyak RM1,100 dan akan dikuatkuasakan.

b) Melaksanakan pembayaran elaun pendidik sebanyak RM500 sebulan bagi setiap guru seperti janji Buku Jingga.

c) Menyelaraskan gaji kakitangan awam berdasarkan penetapan gaji minima.

d) Akan menghentikan amalan menggunapakai tenaga perunding dalam proses keputusan kerajaan.

e) Memperuntukkan tambahan RM1.3 bilion untuk menambahbaik skim latihan vokasional dan teknik termasuk menaiktaraf kursus ijazah sedia ada supaya berorientasikan pendidikan universiti teknikal.

f) Peruntukan tambahan RM1 bilion untuk perumahan awam dengan perkongsian pintar bersama-sama dengan kerajaan negeri.

g) Pelaksanaan skim "Bina dan Jual" secara berperingkat bermula dengan skim perumahan awam untuk memastikan tiada rakyat Malaysia yang terainaya akibat projek perumahan terbengkalai.

h) Penganugerahan lesen-lesen secara terus kepada rakyat dan pemohon dengan membatalkan sistem payung yang digunapakai bermula pemberian lesen teksi secara terus kepada pemandu.

Menjamin Kelangsungan Wang Negara

Bagi menjamin kelangsungan wang negara, Belanjawan 2012 Pakatan Rakayat akan mengambil pendekatan berikut:

a) Memotong belanjawan Perdana Menteri sebanyak RM10 bilion dengan mengembalikan peruntukan ini kepada kementerian-kementerian yang berkenaan bagi mengurangkan kecenderungan beberlanja berlebihan oleh perdana menteri.

b) Sasaran mengekang defisit yang drastik iaitu pada kadar 4.4 peratus bagi tahun 2012.

c) Dividen Petronas diunjur pada kadar RM26 bilion sahaja iaitu RM4 bilion lebih rendah dari BN bagi memastikan Petronas mempunyai sumber mencukupi untuk terus berkembang.
d) Penjualan Lesen Import (AP) akan dibuat secara lelongan bagi menambah pendapatan negara dengan kadar RM1.2 bilion.

e) Pendekatan perolehan kerajaan akan diamalkan secara tender terbuka dengan jaminan skim-skim khas untuk Melayu/Bumiputera.

f) Menyemak kontrak pembelian senjata oleh Kementerian Pertahanan untuk memastikan nilai tambah kepada strategi dan keperluan pertahanan negara.

g) Mengutip hutang-hutang, tunggakan dan penyelewengan membabitkan dana dan aset negara.

h) Mengembalikan cukai-cukai eksais dan duti yang dibatalkan oleh Perdana menteri ke atas barang-barang mewah seperti beg tangan, seluar dalam berjenama dan lain-lain.

Membina keanjalan dan daya saing ekonomi

a) Menubuhkan Suruhanjaya Perjanjian Awam Negara untuk menilai kembali konsesi yang tidak adil.

b) Meminda Akta Persaingan 2011 supaya meliputi sektor penyiaran, telekomunikasi, tenaga dan sektor bermonopoli laian untuk memecahkan monopoli.

c) Mengurangkan pekerja asing menjelang 2015 mengikut sektor.

d) Elauan penjagaan anak RM1000 setahun kepada ibu-ibu yang layak dipadankan dengan pelaburan kerajaan membina pusat penjagaan kanak-kanak.

Kesejahteraan sekata dan seadilnya

a) Meminda Akta Geran Kapita 2002 untuk beralih dari mekanisme bayaran tetap kepada prinsip formula berdasarkan faktor sumbangan ekonomi, keperluan pembangunan, pendapatan rakyat dan kedudukan sosio ekonomi setiap negeri.

b) Peruntukan tambahan sebanyak RM3.6 bilion untuk pembangunan luar bandar.

c) Peruntukan khas RM100 juta untuk program pembersihan dan pengindahan desa di seluruh negara.

Mengukuhkan arus reformasi rakyat

a) Melaksanakan sepenuhnya janji Buku Jingga termasuk memansuhkan ISA, akta bersabit media percetakan, Akta Rahsia Rasmi dan AUKU.

b) Membentangkan Akta Pemulihan Demokrasi seperti dicadang Pakatan Rakyat pada 2011 untuk memansuhkan semua akta yang bertentangan dengan amalan demokratik.

c) Melaksanakan segera semua tuntutan Bersih 2.0.

d) Merombak Jabatan Perdana Menteri dengan menaiktaraf jabatan-jabatan bersabit tata kelola dan pertanggungjawab nasional seperti SPR, SPRM, Biro Pengaduan Awam supaya bertanggungjawab terus kepada Parlimen.

e) Pengenalan laporan setengah tahun perbelanjaan dan prestasi kewangan negara dibentang di Parlimen bersama laporan Ketua Audit Negara.

f) Membentuk tujuh Jawatankuasa Parlimen untuk membahas belanjawan di peringkat Jawatankuasa secara terperinci.


BELANJAWAN BN

Intipati Bajet 2012

Jumlah bajet - RM232.8 bilionPerbelanjaan Operasi - RM181.6 bilion

Perbelanjaan Pembangunan - RM51.2 bilion


Peruntukan rancakkan pembangunan

Kerajaan memperuntukan RM978 juta untuk merancakkkan pembangunan untuk lima projek, iaitu lebuh raya JB-Nusa Jaya, muzium warisan Taiping, projek agropolitan Besut, projek tandan sawit Lahad Datu dan bekalan air Samalaju.

Kereta hibrid

Pengecualian sepenuhnya duti import dan duti eksais bagi mengimport kereta hibrid serta elektrik akan dilanjutkan sehingga 2013.

RM1 bilion untuk sekolah

Kerajaan akan wujudkan RM1 bilion untuk penambahkaikan sekolah.RM500 juta diberikan pada sekolah kebangsaan.

Manakala M100 juta diperuntukkan masing-masing kepada sekolah jenis kebangsaan (Cina), sekolah jenis kebangsaan (Tamil), sekolah mubaligh, sekolah agama bantuan kerajaan dan Maktab Rendah Sains Mara.

FeldaPeneroka Felda akan terima “durian runtuh”. Jumlahnya akan diumumkan sebelum Felda GVH disenarai di Bursa Malaysia sebelum pertengahan 2012.

Penyenaraian dilakukan dalam dalam usaha mengumpul dana menjadikan Felda syarikat konglomerat global.

RM400 juta diperuntuk untuk naik taraf infrastuktur bekalan air di kawasan Felda terpilih.
Yuran sekolahKerajaan memansuhkan yuran pendidikan rendah dan menengah di semua sekolah kerajaan.

Ini termasuk pemansuhan bayaran bagi kegiatan ko-kurikulum, insurans takaful dan sebagainya. Semua ini bermula penggal sekolah tahun depan.

Pencen

600,000 pesara kerajaan akan menikmati kenaikan pencen tahunan sebanyak 2 peratus.

Kakitangan awam

Kerajaan akan wujud lebih banyak mata gaji. Ini bermakna, penjawat awam akan mendapat gaji maksimun lebih tinggi, sehingga kepada 37.7 peratus.

Kakitangan awam akan mendapat kenaikan gaji antara RM80 hingga RM320
Umur wajib bersara dinaikkan daripada 58 kepada 60 tahun.

PolisRM200 juta peruntukan khas akan diberikan untuk perbelanjaan pembangunan polis, meliputi projek perumahan anggota, penambahbaikan balai dan pusat latihan.

Keluarga tenteraRM3,000 akan diberi secara one off kepada angggota keluarga, duda dan balu
anggota berjumlah 62,000 orang.

Subsidi

Beras - Bagi setiap kilogram beras super tempatan, harga asal RM2.40, rakyat hanya bayar RM1.80. Subsidi kerajaan 60 sen.

Gula - bagi setiap kilogram gula, harga asal RM2.50, rakyat hanya bayar RM2.30. Subsidi kerajaan berjumlah 20 sen.

Thursday, September 15, 2011

Kerajaan Mansuhkan ISA dan Akta Buang Negeri


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini mengumumkan keputusan kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Buang Negeri 1959.

"Sepertimana yang saya janjikan dalam ucapan sulung saya semasa mula-mula mengambil alih jawatan perdana menteri pada 3 April 2009, ISA akan dikaji secara komprehensif.

"Suka saya mengumumkan pada malam yang bersejarah ini, bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (yakni ISA) akan dimansuhkan terus," katanya dalam ucapan perutusan khasnya sempena Hari Malaysia malam ini dan disiarkan secara langsung menerusi RTM1.Selain memansuhkan ISA, katanya, kerajaan juga akan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.

"Sehubungan dengan itu lagi, kita tidak akan teragak-agak untuk meminda atau memansuhkan undang-undang yang tidak lagi relevan," tambahnya.

Kajian semula komprehensif itu akan melibatkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan.

Kerajaan juga akan mengkaji semula seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan.

"Namun, kebenaran berhimpun diberi selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak disamping mengambilkira norma-norma di peringkat antarabangsa," tambahnya.

sementara itu, Najib berkata, kerajaan, di bawah Fasal 3 Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, akan membentangkan kepada kedua-dua Majlis Parlimen usul agar ketiga-tiga proklamasi darurat yang telah diisytihar dulu, ditamatkan kuatkuasanya.

"Pada hemahnya, sudah tiba waktu rakyat Malaysia menuju masa depan dengan paradigma seterusnya yang berasaskan harapan baru dan bukannya terbelenggu oleh nostalgia kekangan sejarah lampau," tambahnya.

Gubal dua undang-undang baru

Bagaimanapun, katanya, untuk mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah bagi memelihara ketenteraman dan keselamatan awam, dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal di bawah semangat serta payung Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan.

"Pokoknya, akta-akta ini nanti bermatlamat untuk memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.

"Di atas segalanya, kerajaan akan tetap memastikan hak asasi mereka yang terbabit terpelihara. Apa-apa undang-undang yang diperbuat akan mengambil kira hak dan kebebasan asasi berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.

"Undang-undang baru ini akan memperuntukkan tempoh tahanan oleh polis yang secara substansialnya lebih pendek daripada apa yang ada sekarang dan apa-apa tahanan lanjut hanya boleh dibuat dengan perintah mahkamah kecuali undang-undang berkaitan keganasan, masih dikekalkan bawah kuasa Menteri," tambahnya.Di sudut lain, tambahnya, kerajaan juga memberi komitmen bahawa mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik.

"Umumnya pula, kuasa untuk melanjutkan penahanan akan beralih daripada badan eksekutif kepada badan kehakiman kecualilah undang-undang berkaitan keganasan itu tadi," tegasnya.

"Pastinya, masa bukan terlalu awal mahupun terlalu lewat, akan tetapi inilah kala paling sesuai serta waktu paling tepat untuk perhitungan-perhitungan besar sedemikian diambil dan dilancarkan.

"Kita maklum, walaupun bagi pendapat sesetengah pihak ia penuh berisiko, kita akan melakukannya demi survival, setelah lebih lima puluh tahun negara merdeka, dan hampir lima dekad Malaysia terbentuk.

"Lantaran kita di ambang pedati yang sedang berpacu deras untuk sampai ke destinasi sebagai sebuah negara maju sepenuhnya," tambahnya.

[Baca teks ucapan penuh perdana menteri]


Diharap apa yang diucapkan oleh menteri kita akan dilaksanakan demi kebaikan semua pihak. Bukan hanya berjanji tapi tidak dilkotakan atau berjanji untuk kepentingan lain atau semata-mata hendak raih undi untuk PR akan datang. Jangan lupa kuasa di tangan rakyat.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails