My Followers

Wednesday, September 8, 2010

Zikir Yang Dipermainkan...Astagfirullah..



Ya Allah..apa nak jadilah remaja sekarang ini. Zikir dijadikan alat sebagai gurauan dan permainan mereka. Bertaubatlah sebelum terlambat. Tidakkah kalian mengetahui bahawa perbuatan kalian itu telah mencemarkan agama Islam itu sendiri.Perlakuan kalian amat2 memalukan!!

Video klip tersebut telah tersebar di ruangan maya beberapa waktu yang lalu. Di dalamnya, terdapat adegan yang dilakonkan secara ‘sengaja’ oleh beberapa gadis melayu bertudung. Apabila bertudung, sudah tentu fikiran kita terfokus kepada Islam – kerana umum sedar, gadis bertudung adalah beragama Islam.

Video beberapa minit itu memaparkan beberapa gadis bertudung itu sedang duduk persis dikir barat dan menggoyangkan badan kemabukkan. Apa yang mendukacitakan, mereka mengalunkan pula zikir-zikir berselang-seli gelak tawa. Itu pucanya. Ternyata, sebaran video itu mendapat cemuhan dan kritikan yang berganda-ganda dari kalangan komentator.

Ada yang memaki dengan penuh perasaan, mengutuk bersama emosi dan pelbagai rasa ketidakpuasan hati lainnya. Tak terlepas juga, ada komentator yang bertindak sebagai pengadil yakni lebih bersifat pertengahan.

BILA ROH ISLAMI TERHAKIS

Saya percaya, pelakon-pelakon yang beraksi selama 1:23 minit mengalunkan zikir sambil terkinja-kinja itu menganggap perbuatan mereka adalah sekadar gurauan semata-mata. Barangkali dengan gurauan ala skeptikal atau sarkastik tersebut mampu membuatkan penonton terhibur dengan aksi mereka, walaupun ia mungkin mengguris hati umat Islam yang lain.

Benar, Islam tidak melarang umatnya untuk bergurau senda. Namun begitu, dalam senda gurau tersebut haruslah dipagari oleh sempadan agama. Sempadan agama di sini bukan bermaksud memijak agama, tetapi mengikut lunas dan nilai murni yang dianjurkan agama. Tetapi jika umat tidak menghadami apakah itu nilai-nilai sempadan agama, maka lebih mudah untuk terjerumus ke lembah kesyirikan atau khurafat.

Seandainya mereka yang menyanyi itu mengerti maksud di sebalik dendangan zikir taubat itu, pasti hati mereka menjadi kecut, lalu seluruh jiwa bergetar hebat akibat rasa takut pada Allah Ta’ala. Malah, mereka sama sekali tidak berani untuk mencetuskan kontroversi melibatkan soal agama di khalayak kerana pakaian iman dan takwa membaluti jiwa dan raga mereka.

حسبي ربي جل الله ما في القلب غير الله

Tuhanku sudah cukup bagiku - kemuliaan bagi Allah Ta’ala,
tidak ada dalam hatiku kecuali Allah.

Dewasa ini, kita dapati golongan-golongan yang skeptikal pada agama Islam bercambah bak cendawan tumbuh selepas hujan. Ini tidak termasuk mereka-mereka yang ternyata kafir, dan menghina Islam. Jika dicampur tolak, mereka yang tinggal untuk mempertahankan Islam hanya segelintir cuma. Maka, tugas untuk menyedar dan mempertahankan Islam semakin berat untuk dipikul. Dan akhirnya, mereka yang menjunjung agama Allah ini seperti menggenggam bara api.

Kenyataan yang tidak dapat disangkal lagi, sesungguhnya para pemerintah yang mengaku muslim juga seringkali bertindak sebagai penyubur budaya sarkastik (Baca: Memperolokkan agama secara diam atau terang). Maka, bila roh islami ini tercabut dari kalangan pemerintah, sudah pasti rakyat marhaen juga turut terkena tempiasnya. Ditambah pula dengan kejahilan yang membelenggu, sudah tentu bertambah parah masyarakat.

Berbalik kepada isu gadis melayu bertudung tadi. Secara peribadinya, saya berharap semoga si pelakon itu insaf dengan sebenar-benar insaf. Perbuatan merakam, melakukan aksi sedemikian rupa bukanlah suatu perbuatan yang indah. Bahkan ia menghakis rasa malu dan maruah diri. Sedangkan, malu itu adalah perisai bagi seorang wanita Islam. Ia diumpakan berlian yang tinggi nilainya. Jika hilang rasa malu, tiada apa lagi yang harus dipertahankan. Terdapat sebuah hadis berbunyi:

Maksud hadis: Rasulullah SAW bersabda: “Apabila kamu tidak malu, maka buatlah apa yang kamu suka!”
Bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat. Jauhkanlah dari perbuatan sebegitu tidak kira siapa kalian – dibimbangi terjatuh ke dalam gaung kesesatan. Nauzubillahhi minzalik.
Maksud hadis: Daripada Ibnu Umar r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda: ” Sesungguhnya Allah SWT menerima taubat seorang hamba selagi nafasnya tidak berada di halqum.” (Riwayat Imam Ahmad, Imam at-Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban.)

Ingatlah, azab Allah itu lebih pedih walaupun gurau senda kamu memperolokkan agama hanya sedetik cuma.

Tuesday, September 7, 2010

Ramadhan Kian Melabuhkan Tirainya...


Assalamualaikum....Bersua kembali..Post kali ini sekadar ingin meluahkan perasaan..Ramadhan bakal melabuhkan tirainya..Terasa sayu hati..Entah berjumpa lagi atau tidak Ramadhan akan datang..Moga madrasah tarbiyah yang telah kita lalui selama sebulan ini dapat mensucikan jiwa dan nurani serta dapat membentuk diri menjadi hambaNya yang semakin mengenal erti syukur. Moga karat mazmumah kian lebur setelah dicuci dengan zikir dan ibadah2 sepanjang bulan Ramadhan ini...


Ya Allah ..
Seandainya Ramadhan kali ini adalah Ramadhan terakhirku..
Maka kau ampunkan segala dosa-dosa
yang pernah aku lakukan sepanjang hidup di dunia fana ini,
Aku tahu Ya Allah..
Sesungguhnya alam dunia hanya tempat persinggahan sementaraku,
Persinggahan sementara menuju
ke alam abadiMu..
Dan aku mengetahui semua itu Ya Allah...
Kau ampunkan segala dosa-dosaku,
Dosa kedua ibubapaku,
Dosa-dosa seluruh umat Islam,
Yang hidup dan yang mati..

Ya Allah bukakanlah pinta Hidayah dan Magfirahmu
Yang tidak kunjung malap..
Jangan biarkan hambaMu ini terleka,
Dengan arus duniawi yang sememangnya melalaikan..
Pandulah hambamu ini agar sentiasa di dalam peliharaan dan rahmatMu Ya Allah...
Sesungguhnya hanya Kau yang Maha Pengasih,
Maha Pemurah dan Maha Pengampun..
Moga aku dapat bertemuMu di alam sana..
Amin Ya Rabbal 'Alamin..


Sunday, September 5, 2010

Nikah Khitbah Satu Alternatif


Oleh Ust Nasaruddin Tantawi


Permudahkan Nikah Cegah Penzinaan...

1. Sedang pelbagai pihak seperti buntu mencari penyelesaian kepada barah sosial yang menjurus kepada pergaulan dan seks bebas [ zina ] serta rogol dan buang bayi berleluasa pada hari ini , Dewan Pemuda PAS menyarankan satu program atau projek besar iaitu " Taysir az Ziwaj " dilaksanakan , khasnya oleh pihak berwajib.

2. Taysir Az Ziwaj ialah " Permudahkan Proses Perkahwinan " terutama kepada anak - anak muda yang tidak berkemampuan dari segi material untuk mendirikan rumahtangga tetapi dalam masa yang sama mempunyai keinginan yang tinggi untuk hidup berpasangan .

3. Islam adalah agama yang penuh dengan rahmah dan berkah. Ia diutuskan oleh Allah swt Tuhan yang mencipta manusia bukan untuk menghalang atau menidakkan keperluan manusia seperti keinginan [ nafsu ] syahwah dan sebagainya tetapi Islam datang untuk membetulkan dan memandu manusia agar melunas keinginannya secara yang betul , benar dan baik .

4. Gejala seks bebas [ zina ] dan rogol adalah angkara nafsu yang tidak terkawal dan ia disalurkan secara tidak betul , tidak benar dan membawa keburukan kepada diri dan orang lain . Sedang Islam menggalakkan perkahwinan [ aqad nikah ] agar hati manusia tenteram dan tenang serta nafsu dapat dikawal . Ini membawa kebaikan kepada semua ummat manusia .ala

Firman Allah swt yang bermaksud :

dan kahwinkanlah orang - orang bujang [ lelaki dan perempuan ] dari kalangan kamu dan orang - orang yang soleh dari hamba - hamba kamu , lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin , Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah swt Maha Luas rahmat dan kurniaNya lagi Maha Mengetahui .

An Nuur : Ayat 32

5. Perkahwinan yang digalakkan oleh Islam ini sewajarnya dipermudahkan prosesnya agar generasi muda negara tidak liar dan kemaruk nafsu lalu terjebak dalam kancah seks bebas [ zina ]. Memudahkan prosesnya boleh dilakukan oleh pihak berwajib [kerajaan] seperti [ sekadar menyebut beberapa contoh ] :

Memberi peruntukan kepada pasangan muda yang ingin berkahwin
Memberi insentif sebagai galakan berkahwin
Mengurangkan karenah birokrasi yang menyulitkan
Kursus dan khidmat bimbingan perkahwinan secara percuma
Menganjurkan perkahwinan beramai - ramai yang menjimatkan
Mendidik masyarakat dengan budaya sederhana dalam majlis perkahwinan
Merendahkan hantaran perkahwinan
6. Antara kaedah mempermudahkan proses perkahwinan ini ialah Nikah Khitbah atau dalam bahasa mudah disebut oleh masyarakat kita sebagai Nikah Gantung . Nikah Khitbah adalah sama seperti nikah biasa mengikut hukum dan perundangan Islam yang mempunyai 5 rukunnya iaitu :

1-Suami
2-Isteri
3-Wali
4-Saksi
5-Aqad [ Ijab Qabul ]

Cuma bezanya ialah pasangan pengantin [ suami isteri ] tidak tinggal serumah dalam tempoh - tempoh tertentu kerana beberapa keadaan seperti [sekadar menyebut beberapa contoh] :

1-Masih menuntut di kolej atau uniersiti
2-Tidak mempunyai kemampuan menyewa rumah
3-Belum bersedia menanggung komitmen kehidupan berumahtangga

Justeru itu , buat tempoh tertentu pasangan suami isteri yang telah dinikahkan itu tinggal berasingan [ atas persetujuan bersama kedua - dua pihak ] dan barangkali tinggal bersama keluarga masing sehinggalah mereka merasakan segala halangan diatas telah selesai dan mereka benar - benar bersedia mengharungi kehidupan berumahtangga yang besar tanggungjawabnya.

7. Kelebihan Nikah Gantung ini ialah mereka adalah pasangan suami isteri yang sah mengikut hukum agama dan undang - undang negara . Andai dalam tempoh itu mereka bertemu , keluar makan , dating , study bersama bahkan kalau mereka terlanjur sekalipun mengadakan hubungan seks , maka apa yang mereka lakukan itu tidak salah atau tidak haram .

8. Andai berlaku kehamilan , maka pasangan itu tidak perlu panik terutama pihak gadis yang hamil kerana ia menghamilkan anaknya yang sah nasab [ keturunan ] . Bahkan nanti mereka tidak perlu malu dan menjauhkan diri dari keluarga kerana keluarga pula akan menyambut kedatangan bayi itu dengan bangga dan bermaruah .

9. Kes buang bayi yang berleluasa hari ini rata - ratanya adalah ekoran rasa panik dan hilang pertimbangan akibat malu dan hilang maruah dari pasangan terbabit. Malah mereka juga takut untuk kembali kepangkuan keluarga justeru mereka mengetahui bahawa hubungan mereka salah dan mereka hamil hasil hubungan terlarang . Ia memalukan keluarga dan mencemarkan maruah bangsa dan agama . Akhirnya , jalan pintas dan terdesak yang ada pada mereka ialah buang bayi tersebut dengan harapan selesai masaalah dan beban yang mereka hadapi tanpa mereka menyedari bahawa akan mencetus bencana yang lebih parah kepada sosial negara .

10. Sebenarnya Nikah Khitbah ini pernah dilakukan dalam masyarakat Arab . Menurut amalan tersebut , sewaktu majlis pertunangan , ia dilangsungkan sekali dengan majlis aqad nikah [ halflun nikah ] tetapi mempelai tidak boleh tinggal sekali [serumah] sehingga berlangsungnya pula majlis perkahwinan [haflul Qiran] . Terkadang tempoh itu [ antara pertunangan dan perkahwinan menjangkau tahun lamanya.]

11. Dalam masyarakat Melayu , amalan ini sebenarnya pernah diamalkan sebelum ini dengan nama Nikah Gantung . Ia pernah di kaji oleh beberapa Anthropologist seperti Paletz , Djamour dan Jones. Mereka mengistilahkan Nikah Gantung sebagai "Suspended Marriage Contract" iaitu satu fenomena sosial yang diamalkan oleh masyarakat Islam di Asia tenggara .

12. Malah menurut Abdul Jalil Borhan , perkara yang berkaitan dengan Nikah Gantung terdapat dalam seksyen 112 [dalam bahagian 5] enakmen Pentadbiran Agama Islam Johor.

Perbahasan Hukum

13. Salah satu dalil yang digunakan oleh sebahagian para alim ulama' ialah Perkahwinan Rasulullah saw dengan Aishah rha. menurut hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim , Rasulullah saw telah mengahwini Aishah ketika berumur 6 tahun dan hanya duduk serumah ketika Aishah berumur 9 tahun . Hadis ini menjadi dalil berlakunya aqad nikah , maka bukan menjadi kewajipan bagi mempelai untuk terus tinggal serumah terutama atas persetujuan kedua pihak untuk beberapa tempoh yang dipersetujui.

14. Apabila pasangan pengantin [ nikah gantung ] bersetuju untuk tinggal berasingan kerana beberapa perkara yang diambil kira seperti yang saya sebutkan di atas tadi , maka tidaklah berbangkit isu nafkah batin [ jima' \ bersetubuh ] . Apa yang timbul ialah perbahasan dari segi nafkah zahir [ material ] . Berkait perkara ini , kita mempunyai beberapa pandangan :

a] Mazhab Zahiri seperti yang dinyatakan oleh Ibn Hizam iaitu nafkah ini [ nafkah zahir ] wajib dengan berlakunya aqad , maka selepas sahaja aqad nikah , suami wajib memberi nafkah zahir kepada isterinya .

b] Pandangan Jumhur ulama' iaitu nafkah zahir itu hanya wajib apabila isteri memenuhi syarat - syarat tertentu seperti isteri menyerahkan diri kepada suami [ berpindah ke tempat suami ] , boleh melakukan istimta' [ mengambil keseronokan] , jima' [ bersetubuh ] , isteri tidak keluar rumah tanpa izin suami dan seumpamanya .

15. Nikah khitbah dapat disimpulkan bahawa : bebanan nafkah itu tidak diwajibkan ke atas suami sekiranya kehidupan biasa suami isteri belum berlaku . Bagaimanapun sekiranya suami isteri tersebut keluar bersama , maka tiada halangan dari segi hukum syara' kerana mereka adalah suami isteri yang sah. Demikian juga andai berlaku kehamilan maka bayi itu sah dan mereka boleh menjalani kehidupan berkeluarga seperti biasa yang sah. Tidak perlulah mereka melarikan diri , buang bayi dan menggugurkan bayi atau membunuhnya .

16. Tegasnya saya sebutkan disini , terutama kepada pihak berkuasa agama , ibu bapa dan seluruh anggota masyarakat termasuk anak - anak muda agar mereka kembali kepada cara hidup Islam . Walaupun nikah gantung ini kelihatan seperti baru dalam negara kita bagi sesetengah pihak , tetapi ia lebih baik dari kita membiarkan anak - anak gadis dan teruna kita berpeleseran , bergaul bebas lalu akhirnya mereka terjebak dalam kancah seks bebas dan penzinaan yang memalukan . Bukan sahaja maruah keluarga dan agama tercalar , murka Allah swt itulah yang paling ditakuti .

Nikah Khitbah : Solusi Masalah Cinta Remaja


Oleh : Ustaz Maszlee Malik

Pensyarah UIA dalam bidang Usul Fiqh

Selepas Majalah I sudi menerbitkan artikel “Cinta anta dan anti” penulis menerima banyak maklum balas. Sama ada melalui sms, panggilan telefon, emel dan juga pertanyaan-pertanyaan. Apabila majalah I bulan Mac pun turut memaparkan reaksi para pembaca mengenai artikel tersebut, persoalan ini semakin popular. Terdapat juga pertubuhan-pertubuhan di IPTA dan IPTS menjemput penulis untuk berbicara “soal cinta”. Walaupun bukanlah seorang pakar dalam hal ini, namun pengalaman yang dilalui sepanjang enam tahun menjadi pensyarah IPT turut mendorong artikel tersebut dihasilkan.

Antara soalan yang biasa diajukan kepada penulis berkaitan artikel “cinta anta dan anti” ialah: “Apakah kesudahannya?” atau “Apakah penyelesaiannya?” Artikel tersebut seolah-olah tergantung, dan ramai yang begitu ingin mendapatkan jawapannya.

“Ustaz, jangan biarkan kami terawang-awang begini, berikanlah penyelesaiannya!”, antara bunyi sms yang pernah diterima. Mudah-mudahan nukilan ini cuba memberikan alternatifnya.

Akibat Kurang Bercinta

Ketika ada yang bertanya punca siswa dan siswi Melayu kurang cemerlang di IPT, saya jawab dengan mudah: “Mereka kurang bercinta!”. Tentu ramai yang tidak berpuas hati dengan jawapan tersebut. Mereka lantas mengungkit teori saya bahawa ramainya pelajar Melayu gagal di IPT adalah kerana gejala “coupling”. Saya menegaskan bahawa memang “coupling”lah yang menjadi faktor utama kegagalan pelajar-pelajar IPT, tidak kira Melayu atau bukan. Coupling hanya menghabiskan masa, duit, perasaan dan juga tenaga intelektual yang mereka ada. Coupling hanya membawa kepada kegagalan, kecuali coupling yang halal, iaitu menerusi perkahwinan! Lihat sahajalah laporan akhbar kosmo mengenai kegiatan seks luar nikah dan juga aktiviti pengguguran para siswi IPT di ibu kota.

Cuma bercinta dan coupling adalah dua benda yang berbeza. Bercinta yang dimaksudkan ialah proses percintaan yang sebenar. Cinta yang suci dan bersifat positif dan jauh dari pencemaran maknanya yang hakiki. Cinta yang difahami oleh kebanyakan orang dewasa ini adalah “nafsu” dan bukannya cinta. Cinta telah ditukarkan kepada nafsu oleh idealogi materialisme dan juga liberalisme yang berjaya menjajah pemikiran manusia dewasa ini. Cinta sebenarnya bersifat suci dan positif serta jauh dari nafsu. Sayangnya apabila manusia gagal memahami erti cinta, mereka telah menjadikannya sesuatu yang taboo, negatif dan juga tidak suci lagi.

Coupling pula, walaupun dari segi literalnya bersikap neutral, tetapi telah dikotorkan oleh idealogi liberal yang menjadikannya hanya sebagai definisi kepada perhubungan intim dia insan berlaina jantina sebelum berkahwin. Mengikut tafsiran coupling yang difahami oleh ramai orang dewasa ini, ia bukanlah bercinta, tetapi lebih kepada “melayan nafsu serakah” semata-mata.

Cinta yang dimaksudkan di sini ialah cinta suci. Cinta kepada Allah dan Rasul, cinta kepada agama Islam, cinta kepada ibu bapa, cinta kepada Negara dan juga cinta kepada pasangan suami atau isteri. Cinta akan menjadi unsur motivasi dan penggerak, dengan syarat ia adalah cinta sejati!

Khitbah Bukan Tunang

Salah seorang remaja dari salah sebuah IPT di Gombak pernah mengatakan, “Alah, takkan tak boleh couple ustaz, kita ni bukan hidup zaman dulu lagi. Lagipun bukan buat apa-apa, untuk suka-suka aje!”.

Penulis menjawab: “Siapa kata tak boleh coupling? Nak bercouple, bercouplelah, tapi kena dengan cara yang halal…iaitu bernikah!”.

Jika diutarakan persoalan nikah, ramai yang akan memberikan respon yang skeptic. “Mana ada duit!”, “Nak bagi anak orang makan apa?”, “Mak bapak tak kasi!”, “Nak tinggal di mana?”, “Mana ada kerja lagi!”, “Diri sendiri pun tidak terjaga!” dan pelbagai alasan lagi. Mengapa mereka boleh mengemukakan alasan-alasan untuk melakukan perkara yang halal, tetapi tidak langsung mengemukakan untuk melakukan perkara yang haram? Jawapan saya bagi segala persoalan tersebut, mudah sahaja… “Kamu wajib berkhitbah!”.

Apakah “khitbah”? Jika diterjemahkan secara literalnya, ia membawa maksud “bertunang”. Bertunang menurut adat dan pengamalan orang Melayu adalah perjanjian di antara dua orang insan untuk berkahwin melalui proses ritual tertentu. Definisi itu jugalah yang terdapat dalam pengamalan fiqh klasik dan juga di zaman Rasulullah s.a.w. Definisi ini jugalah yang diamalkan oleh orang-orang Melayu di Malaysia. Malangnya, disebabkan kejahilan masyarakat, hubungan pertunangan yang sekadar perjanjian semata-mata ini, akhirnya dianggap sebagai upacara untuk menghalalkan perhubungan di antara dua pihak yang bertunang. Lebih dahsyat lagi, ada di antara ibu bapa yang menyangkakan bahawa bertunang bermaksud “separuh berkahwin”. Ada pasangan yang bertunang, berpelesiran, berpegangan tangan dan juga bermadu asmara akan cuba menjustifikasikan tindakan tersebut dengan ikatan pertunangan serta mendapat restu ibu bapa kedua-dua belah pihak.

Khitbah menurut pengamalan orang Arab moden, terutamanya di Jordan pula amat berbeza dengan pengamalan orang bertunang secara klasikal dan juga pengamalan orang Melayu. Ia merupakan “akad nikah” dalam erti kata yang sebenar. Akad khitbah di dalam masyarakat arab pada realitinya merupakan akad nikah. Seperkara yang membezakan di antara akad nikah dan khitbah ialah kedua-dua pasangan khitbah tidak tinggal bersama sehinggalah selesai majlis perkahwinan dijalankan. Pada dasarnya, mereka berdua adalah suami isteri dan halal untuk melakukan apa sahaja yang difikirkan untuk mereka melakukannya. Di dalam masyarakat kita, pernikahan tersebut diberikan nama “nikah gantung”. Bukankah bunyinya amat mengerikan?

Jika ditukarkan nama “nikah gantung” tersebut kepada “nikah khitbah” tentu konotasi terhadap kontrak tersebut tidaklah mengerikan. Bunyinya pun agak “islamik”. Jika ia dapat diamalkan oleh kebanyakan para siswa dan siswi kampus yang dilanda asmara dan cinta serius berkemungkinan ia boleh menyelesaikan banyak perkara yang mereka hadapi.

Khitbah di IPT

Jika pelbagai alasan yang dikemukakan demi mengatakan bahawa bernikah di alam kampus itu mustahil, maka khitbah adalah solusinya. Kedua-dua pasangan tidak perlu duduk sekali, tidak perlu mencari rumah berasingan, tidak perlu menanggung satu sama lain, tidak perlu makan lebih,tidak perlu membeli peralatan rumah dan perabot-perabot. Nikah adalah untuk menghalalkan perhubungan dan juga membina kematangan. Yang utamanya, kedua-dua pasangan sudah halal dan sudah boleh bersama dan melakukan apa sahaja.

Bunyinya agak mudah, namun realitinya tidak demikian. Sudah pasti ada ibu bapa akan tidak bersetuju. Dalam hal ini, anjakan paradigma oleh para ibu bapa amat diperlukan. Ibu bapa perlu sedar zaman anak-anak mereka kini bukanlah seperti zaman mereka dahulu. Zaman kini fitnahnya berleluasa dan kebejatan moral menggila. Lihatlah apa yang berlaku di IPT-IPT seluruh tanah air, rasanya pendedahan oleh sebuah akhbar harian baru-baru ini mengenai aktiviti pengangguran di IPT-IPT Lembah Klang sudah cukup merisaukan banyak pihak. Apakah ibu bapa mengharapkan anak-anak mereka menjadi malaikat yang tidak terpengaruh dengan suasana persekitaran, rancangan-rancangan hiburan dan bahan-bahan literasi menjurus kea rah maksiat dan nafsu.

Sudah sampai waktunya para ibu bapa moden membuat anjakan paradigma. Mereka hendaklah menerima realiti jahiliah moden yang menggila ini. Mereka menghadapi dua jalan penyelesaian, sama ada menerima arus liberal dan sekular yang menghalalkan segala perhubungan bebas di antara dua jantina, dan kemudian mereka yang akan menanggung malu. Atau pilihan kedua, iaitu untuk membenarkan anak-anak mereka menikmati alam percintaan dengan cara yang halal, iaitu melalui ikatan perkahwinan. Walau bagaimanapun, membenarkan anak-anak mereka bernikah di dalam ini adalah satu risiko. Maka di sinilah peranan ibu bapa moden untuk membantu anak-anak mereka mengurangkan risiko tersebut demi menyelamatkan agama dan maruah mereka.

Kebanyakan ibu bapa menyuarakan kerisauan mereka terhadap kemungkinan anak mereka akan hamil dan ia sudah pasti mengganggu pembelajaran. Penyelesaian untuk perkara tersebut amat mudah. Pasangan itu sendiri perlu mengambil langkah berjaga-jaga dengan pelbagai cara untuk mengelakkan kehamilan sewaktu belajar. Adalah amat naïf bagi mereka yang hidup alaf baru ini tidak mengetahui cara untuk mencegah kehamilan. Jika kaedah pencegahan tersebut gagal, dan dengan izin Allah, pasangan tersebut terpaksa menghadapi fasa kehamilan, maka sokongan ibu bapa amat diperlukan.

Risiko

Seperkara yang perlu diingat, perkahwinan di kampus ini juga tidak sunyi dari risiko. Adalah terlalu silap untuk menyangkakan semuanya indah belaka tanpa sebarang cabaran. Pernikahan di kampus hanyalah salah satu penyelesaian untuk masalah perhubungan bebas di antara jantina dan juga salah satu kaedah rawatan untuk gejala maksiat di IPT. Sekurang-kurangnya, walaupun ia berisiko, namun ia masih dapat mengelakkan risiko yang lebih besar. Walau bagaimanapun, bagi mereka yang tidak terlibat dengan gejala berpacaran, serta boleh mengawal diri dan nafsu, adalah digalakkan untuk mereka hanya menumpukan perhatian kepada pembelajaran. Cadangan nikah kampus atau nikah khitbah ini hanyalah untuk mereka yang tidak mempunyai ketahanan jiwa dan keyakinan diri yang mantap untuk menghadapai cabaran semasa yang begitu menggila. Akhirnya kepada para siswa dan siswi kampus dan juga para aktivis di universiti, walau apapun tindakan yang diambil, pastikan mardhatillah menjadi matlmat utama!

Wednesday, September 1, 2010

1 Gereja Di US Masuk Islam Pada Ramadhan 2010..Allahuakbar!!

Assalamualaikum..Post kali ini saya ingin berkongsi satu kisah benar yang berlaku pada bulan Ramadhan yang penuh kemuliaan ini menyebabkan 1 gereja di US memeluk Islam disebabkan kepintaran seorang Muslim yang bijak menjawab pertanyaan paderi tersebut. Sebelum ini, saya juga pernah terbaca artikel yang sama tentang kemasukan Islam secara beramai-ramai di sebuah gereja pada tahun 2006. Dan tahun ini, ianya berulang lagi..Kisah ini tidak disebarkan secara meluas kerana sebab-sebab tertentu. Di dalam video ini, ust yang membaca khutbah memberitahu paderi telah ajukan kepadanya 32 soalan tetapi beliau tidak memjelaskan lebih lanjut tentang soalan2 itu.Ikuti video dan kisah di bawah...

.

Saya merasakan artikel yang akan dipaparkan ini adalah artikel yang berlaku pada 2006 dahulu, tetapi mungkin penulis sebenar mengadaptasikan artikel yang sama dan berkemungkinan juga soalan-soalan yang diajukan oleh paderi kepada pemuda muslim itu soalan yang sama. Saya tidak menemui artikel yang terbaru tentang kejadian ini.
Walaubagaimanapun saya berpendapat bahawa, situasi yang berlaku adalah sama, tetapi jalan ceritanya berlainan sikit. Ikuti kisah di bawah..

Ada seorang pemuda Arab yang baru saja menyelesaikan bangku kuliahnya di Amerika. Pemuda ini adalah salah seorang yang diberi nikmat oleh Allah berupa pendidikan agama Islam bahkan dia mampu mendalaminya. Selain belajar, dia juga seorang juru dakwah Islam. Ketika berada di Amerika, dia berkenalan dengan salah seorang Nasrani. Hubungan mereka semakin akrab, dengan harapan semoga Allah s.w.t. memberinya hidayah masuk Islam.


Pada suatu hari mereka berdua berjalan-jalan di sebuah perkampungan di Amerika dan melintas dekat sebuah gereja yang terdapat di kampung tersebut. Temannya itu meminta agar dia turut masuk ke dalam gereja. Mula mula dia keberatan, namun karena desakan akhirnya pemuda itu pun memenuhi permintaannya lalu ikut masuk ke dalam gereja dan duduk di salah satu bangku dengan hening, sebagaimana kebiasaan mereka.

Ketika paderi masuk, mereka serentak berdiri untuk memberikan penghormatan lantas kembali duduk. Di saat itu, si paderi agak terbeliak ketika melihat kepada para hadirin dan berkata, "Di tengah kita ada seorang Muslim. Aku harap dia keluar dari sini."

Pemuda Arab itu tidak bergerak dari tempatnya. Paderi tersebut mengucapkan perkataan itu berkali-kali, namun dia tetap tidak bergerak dari tempatnya. Hingga akhirnya paderi itu berkata, "Aku minta dia keluar dari sini dan aku menjamin keselamatannya." Barulah pemuda ini beranjak keluar.

Di ambang pintu, pemuda bertanya kepada sang paderi, "Bagaimana anda tahu bahwa saya seorang Muslim?"

Paderi itu menjawab, "Dari tanda yang terdapat di wajahmu."

Kemudian dia beranjak hendak keluar. Namun, paderi ingin memanfaatkan keberadaan pemuda ini dengan mengajukan beberapa pertanyaan, tujuannya untuk memalukan pemuda tersebut dan sekaligus mengukuhkan ugamanya. Pemuda Muslim itupun menerima tentangan debat tersebut.

Paderi berkata, "Aku akan mengajukan kepada anda 22 pertanyaan dan anda harus menjawabnya dengan tepat."

Si pemuda tersenyum dan berkata, "Silakan!"

Sang paderi pun mulai bertanya, "Sebutkan satu yang tiada duanya, dua yang tiada tiganya, tiga yang tiada empatnya, empat yang tiada limanya, lima yang tiada enamnya, enam yang tiada tujuhnya, tujuh yang tiada delapannya, delapan yang tiada sembilannya, sembilan yang tiada sepuluhnya, sesuatu yang tidak lebih dari sepuluh, sebelas yang tiada dua belasnya, dua belas yang tiada tiga belasnya, tiga belas yang tiada empat belasnya."

"Sebutkan sesuatu yang dapat bernafas namun tidak mempunyai ruh! Apa yang dimaksud dengan kuburan berjalan membawa isinya? Siapakah yang berdusta namun masuk ke dalam surga? Sebutkan sesuatu yang diciptakan Allah namun Dia tidak menyukainya? Sebutkan sesuatu yang diciptakan Allah dengan tanpa ayah dan ibu!"

"Siapakah yang tercipta dari api, siapakah yang diazab dengan api dan siapakah yang terpelihara dari api? Siapakah yang tercipta dari batu, siapakah yang diazab dengan batu dan siapakah yang terpelihara dari batu?"

"Sebutkan sesuatu yang diciptakan Allah dan dianggap besar! Pohon apakah yang mempunyai 12 ranting, setiap ranting mempunyai 30 daun, setiap daun mempunyai 5 buah, 3 di bawah naungan dan dua di bawah sinaran matahari?"

Mendengar pertanyaan tersebut, pemuda itu tersenyum dengan keyakinan kepada Allah.

Setelah membaca Basmalah dia berkata,

-Satu yang tiada duanya ialah Allah s.w.t..

-Dua yang tiada tiganya ialah Malam dan Siang. Allah s.w.t. berfirman, "Dan Kami jadikan malam dan siang sebagai dua tanda (kebesaran kami)."(Al-Isra': 12).

-Tiga yang tiada empatnya adalah kesilapan yang dilakukan Nabi Musa ketika Khidir menenggelamkan sampan, membunuh seorang anak kecil dan ketika menegakkan kembali dinding yang hampir roboh.

-Empat yang tiada limanya adalah Taurat, Injil, Zabur dan al-Qur'an.

-Lima yang tiada enamnya ialah Solat lima waktu.

-Enam yang tiada tujuhnya ialah jumlah Hari ketika Allah s.w.t. menciptakan makhluk.

-Tujuh yang tiada delapannya ialah Langit yang tujuh lapis. Allah s.w.t. berfirman, "Yang telah menciptakan tujuh langit berlapis-lapis. Kamu sekali-kali tidak melihat pada ciptaan Rabb Yang Maha Pemurah sesuatu yang tidak seimbang." (Al-Mulk: 3).

-Delapan yang tiada sembilannya ialah Malaikat pemikul Arsy ar-Rahman. Allah s.w.t. berfirman, "Dan malaikat-malaikat berada di penjuru-penjuru langit. Dan pada hari itu delapan orang malaikat men-junjung 'Arsy Rabbmu di atas (kepala) mereka." (Al-Haqah: 17).

-Sembilan yang tiada sepuluhnya adalah mu'jizat yang diberikan kepada Nabi Musa yaitu: tongkat, tangan yang bercahaya, angin topan, musim paceklik, katak, darah, kutu dan belalang.*

-Sesuatu yang tidak lebih dari sepuluh ialah Kebaikan. Allah s.w.t. berfirman, "Barang siapa yang berbuat kebaikan maka untuknya sepuluh kali lipat." (Al-An'am: 160).

-Sebelas yang tiada dua belasnya ialah jumlah Saudara-Saudara Nabi Yusuf .

-Dua belas yang tiada tiga belasnya ialah Mu'jizat Nabi Musa yang terdapat dalam firman Allah, "Dan (ingatlah) ketika Musa memohon air untuk kaumnya, lalu Kami berfirman, 'Pukullah batu itu dengan tongkatmu.' Lalu memancarlah daripadanya dua belas mata air." (Al-Baqarah: 60).

-Tiga belas yang tiada empat belasnya ialah jumlah Saudara Nabi Yusuf ditambah dengan ayah dan ibunya.

-Adapun sesuatu yang bernafas namun tidak mempunyai ruh adalah waktu Subuh. Allah s.w.t. ber-firman, "Dan waktu subuh apabila fajarnya mulai menyingsing." (At-Takwir: 18).

-Kuburan yang membawa isinya adalah Ikan yang menelan Nabi Yunus AS.

-Mereka yang berdusta namun masuk ke dalam surga adalah saudara-saudara Nabi Yusuf , yakni ketika mereka berkata kepada ayahnya, "Wahai ayah kami, sesungguhnya kami pergi berlumba-lumba dan kami tinggalkan Yusuf di dekat barang-barang kami, lalu dia dimakan serigala." Setelah kedustaan terungkap, Yusuf berkata kepada mereka, " tak ada cercaan terhadap kamu semua." Dan ayah mereka Ya'qub berkata, "Aku akan memohonkan ampun bagimu kepada Rabbku. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Yusuf:98)

-Sesuatu yang diciptakan Allah namun tidak Dia sukai adalah suara Keledai. Allah s.w.t. berfirman, "Sesungguhnya sejelek-jelek suara adalah suara keledai." (Luqman: 19).

-Makhluk yang diciptakan Allah tanpa bapa dan ibu adalah Nabi Adam, Malaikat, Unta Nabi Shalih dan Kambing Nabi Ibrahim.

-Makhluk yang diciptakan dari api adalah Iblis, yang diazab dengan api ialah Abu Jahal dan yang terpelihara dari api adalah Nabi Ibrahim. Allah s.w.t. berfirman, "Wahai api dinginlah dan selamatkan Ibrahim." (Al-Anbiya': 69).

-Makhluk yang terbuat dari batu adalah Unta Nabi Shalih, yang diazab dengan batu adalah tentara bergajah dan yang terpelihara dari batu adalah Ashabul Kahfi (penghuni gua).

-Sesuatu yang diciptakan Allah dan dianggap perkara besar adalah Tipu Daya wanita, sebagaimana firman Allah s.w.t.? "Sesungguhnya tipu daya kaum wanita itu sangatlah besar." (Yusuf: 28).

-Adapun pohon yang memiliki 12 ranting setiap ranting mempunyai 30 daun, setiap daun mempunyai 5 buah, 3 di bawah teduhan dan dua di bawah sinaran matahari maknanya: Pohon adalah Tahun, Ranting adalah Bulan, Daun adalah Hari dan Buahnya adalah Solat yang lima waktu, Tiga dikerjakan di malam hari dan Dua di siang hari.

Paderi dan para hadirin merasa takjub mendengar jawapan pemuda Muslim tersebut. Kemudian dia pun mula hendak pergi. Namun dia mengurungkan niatnya dan meminta kepada paderi agar menjawab satu pertanyaan saja. Permintaan ini disetujui oleh paderi.

Pemuda ini berkata, "Apakah kunci surga itu?" mendengar pertanyaan itu lidah paderi menjadi kelu, hatinya diselimuti keraguan dan rupa wajahnya pun berubah. Dia berusaha menyembunyikan kekuatirannya, namun tidak berhasil. Orang-orang yang hadir di gereja itu terus mendesaknya agar menjawab pertanyaan tersebut, namun dia cuba mengelak.

Mereka berkata, "Anda telah melontarkan 22 pertanyaan kepadanya dan semuanya dia jawab, sementara dia hanya memberi cuma satu pertanyaan namun anda tidak mampu menjawabnya!"

Paderi tersebut berkata, "Sesungguh aku tahu jawapannya, namun aku takut kalian marah."

Mereka menjawab, "Kami akan jamin keselamatan anda. "

Paderi pun berkata, "Jawapannya ialah: Asyhadu An La Ilaha Illallah Wa Wa Asyhadu Anna Muhammadar Rasulullah."

Lantas paderi dan orang-orang yang hadir di gereja itu terus memeluk agama Islam. Sungguh Allah telah menganugerahkan kebaikan dan menjaga mereka dengan Islam melalui tangan seorang pemuda Muslim yang bertakwa. Subhanallah...Maha Suci Allah......Allahuakbar!!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails