My Followers

Monday, March 21, 2011

Berfikir Kritikal


Oleh DR. SIDEK BABA

ISTILAH kritikal berasal dari perkataan Greek kritikos yang bermaksud judge atau menghakimi atau mengadili. Dalam tradisi orang-orang Greek dan Yunani, ia melahirkan pemikir-pemikir yang amat kritikal terhadap sesuatu subjek dan akhirnya menjadi ahli falsafah yang terkenal.

Barat menjadikan asas berfikir Aristotle, Plato dan Socrates sebagai landasan mengembangkan ilmu dan kehidupan. Dalam tradisi orang-orang Islam pemikiran kritikal memang menjadi landasan dalam membuat sesuatu keputusan, tafsir dan takwil . Menafsir al- Quran dan hadis dilakukan secara kritikal supaya hasil pemikiran selari dengan kebenaran. Kebenaran dalam Islam merujuk kepada sumber naqliah atau sumber wahyu. Wahyu adalah autoriti atau wibawa yang tertinggi dalam memandu manusia berfikir supaya kebenaran yang diterima tidak saja zahir tetapi memberi makna yang hakiki.

Berfikir secara kritikal membimbing pemikir ke arah kebenaran. Puncak kepada berfikir menemukan manusia mengenai kebenaran. Proses berfikir kritikal membolehkan seseorang membezakan yang benar dengan yang salah, yang buruk dengan yang baik, yang bermanfaat dan bermusibat, yang memberi faedah atau mendatangkan padah dan sebagainya. Sudah tentu asas yang memberikan kemampuan seseorang berfikir kritikal ialah ilmu, maklumat, pengalaman, pertukaran pandangan dan dalam tradisi Islam diakhiri dengan hikmah. Hikmahlah merupakan jalan terbaik membimbing manusia menemui kebenaran.

Para remaja adalah kelompok yang terbaik dilatih untuk berfikir kritikal. Kemajuan ilmu dan pemikiran atau idea bergantung kepada wujudnya suasana yang mengizinkan pemikiran kritikal berlaku. Apalagi untuk melahirkan modal insan yang berkualiti kemahiran berfikir secara kritikal adalah amat dituntut. Remaja bakal menjadi dewasa dan bakal memegang teraju kepimpinan dan pengurusan ilmu, sistem dan negara pada masa depan.

Amat penting remaja hari ini dididik dengan kemahiran berfikir yang kritikal supaya jenis cabaran yang dinamik berubah tidak menjadikan remaja gelabah untuk mencari arah diri dan arah tujuan dalam mengurus manusia dan kemanusiaan.

Di zaman pasca moden ini faham anarki (ketidakaturan) berkembang pesat dalam pemikiran, kesenian, bahasa, kebudayaan malah gaya hidup manusia. Globalisasi yang datang menjadi pemangkin terhadap jalur anarki. Kemajuan sains dan teknologi menyebabkan faham anarki semakin mengukuh dengan melebarkan jaringan komunikasi dan telekomunikasi dan akhirnya membentuk suatu budaya popular yang menghubungkan sesuatu dengan konsep realiti.
Konsep realiti sudah mula menolak jalur tradisi dan akhirnya bakal menjinjing manusia kepada kesamaran hala tuju hidup.

Untuk menjadikan remaja berfikir secara kritikal, pemahaman terhadap tradisi perlu kukuh, asas ilmu harus teguh, sikap terbuka terhadap perbezaan perlu ada, ketelitian terhadap fakta dan data perlu wujud. Kesediaan diri untuk dikritik dan mengkritik juga perlu ada. Tanpa asas ini pemikiran kritikal tidak akan berkembang. Pemikiran kritikal memandu remaja berfikir secara teliti, analitikal dan berupaya memberikan hujah-hujah yang baik dan bernas apabila fakta itu didapati tidak benar atau diolah dengan dangkal atau tidak berasaskan maklumat yang sahih dan jitu.

Perubahan

Menghadapi perubahan ruang dan waktu, para remaja tidak harus mengambil sikap menolak tradisi. Tradisi adalah mata rantai yang membangun tamadun. Kemajuan yang dicapai pada hari ini adalah hasil adanya tradisi berfikir dan berilmu yang menjadi tapak atau titik-tolak keunggulan ilmu pada masa lalu. Tidak mungkin apa yang akan berlaku pada masa depan tanpa tapaknya terbina di hari ini. Pemahaman terhadap tradisi ialah sesuatu yang berkesinambungan. Asas-asas yang baik dijadikan teladan dan mengembangkan budaya hidup yang beradab dan subur dengan nilai kemanusiaan.

Kemahiran yang perlu ada pada remaja di samping memahami dan menghargai tradisi ialah mengurus perubahan.

Dalam Islam yang berubah itu ialah bentuk atau sesuatu yang dikaitkan dengan kemajuan alat. Fitrah kehidupan tetap sama. Sejak zaman Nabi Adam sehinggalah ke zaman Nabi Nuh, Lut, Isa, Musa dan Nabi Muhammad dua perkara yang menjadi asas kecenderungan manusia iaitu sama ada manusia kekal berada dalam fitrah atau manusia yang melampaui batas fitrah. Alat yang digunakan dengan maksud yang baik bakal mengukuhkan fitrah manusia tetapi alat yang digunakan untuk maksud yang tidak baik boleh merosakkan fitrah manusia yang asalnya baik. Risalah nubuwah atau keNabian bermaksud mengajak manusia kembali dan kekal dalam keadaan fitrah. Manusia diberikan pedoman mengenai alam nyata dan alam ghaib, mengenai yang dicipta dan Pencipta, hubungan yang dicipta dengan persekitarannya supaya kebenaran yang hakiki menjadi asas membangunkan manusia dalam keadaan yang fitrah.

Sebagai remaja Islam, asas ilmu Mengurus Diri dan asas ilmu Mengurus Sistem perlu kukuh. Serangan fahaman sekular dan liberal masa kini boleh menjerumuskan kecenderungan kritikal kepada faham anarki. Banyak masalah kehidupan yang dialami oleh orang Barat yang berkembang hasil penolakan mereka terhadap hidup yang fitrah. Isu-isu seperti hak asasi, gender, feminisme dan pandangan terhadap agama lahir kerana asas berfikir mereka tidak lagi dipedoman oleh agama. Agama bagi mereka tidak relevan dan menganggap ‘Tuhan sudah mati’.
Sebahagian remaja dan dewasa apabila terdedah dengan orientasi ilmu Barat yang menolak agama, tiba-tiba menjadi ‘orientalis baru’ yang mengkritik asas keagamaan yang dianut oleh orang-orang terdahulu mahupun orang-orang terkini. Menghubungkan sesuatu dari Barat sebagai maju dan mengaitkan sesuatu yang datang dari agama sebagai kolot tidak datang dari daya kritis yang baik. Kalau begitu apa asas yang menyebabkan tamadun Islam berkembang berabad-abad sehingga Barat terhutang ilmu kepada Islam.

Hari ini, umat Islam menjadi pengguna kepada ilmu dan teknologi Barat.

Kemunduran umat Islam pada hari ini secara kritisnya berpunca dari renggangnya hubungan umara (pemimpin) dengan ulama' atau ilmuan. Umara' atau kepimpinan kini cenderung menjadikan Barat sebagai model terbaik dalam pembangunan dan kemajuan dan kurang cenderung memperkasa tamadun sendiri. Sebahagian besar ulama memiliki keupayaan yang baik mengenai ilmu Mengurus Diri tetapi amat kurang kepakaran dalam Ilmu Mengurus Sistem. Akhirnya dikotomi umara dan ulama melahirkan konflik yang bakal memberi kesan terhadap kesatuan umat.

Kedua, ilmu yang diteroka oleh generasi muda Islam tidak sifatnya integratif. Falsafah dan etika ilmu Mengurus Sistem tersisih dengan nilai-nilai murni Ilmu Mengurus Diri. Ia menyebabkan konflik keilmuan yang berterusan dan merugikan. Ketiga, tradisi tadabbur atau penyelidikan tidak berkembang, menyebabkan tidak lahirnya penemuan-penemuan dan karya-karya besar untuk dijadikan rujukan umat. Keempat kegagalan menjambatani tradisi turath atau menghayati kitab-kitab lama dengan metodologi baru dalam karya-karya terkini yang menyebabkan karya-karya terkini lebih dominan menguasai minda remaja dan generasi baru.

Bersikap kritis terhadap ajaran dan pengajaran dalam tradisi Islam tidaklah ditolak dan bersikap kritis terhadap watak umat Islam memang dialu-alukan. Tetapi kritis terhadap kebekuan dan tidak berkembangnya ilmu Islam bukan bermakna ajaran Islam itu tidak berdaya maju. Bersikap kritis kepada amalan umat Islam adalah perlu. Tidak semua amalan yang berlaku sama ada dalam proses pengilmuan dan kehidupan selari dengan ajaran Islam.

Oleh itu para remaja hari ini harus mempunyai daya kritis yang tinggi supaya dinamika agama dan kehidupan sentiasa seiring. Mengkritik kelemahan umat Islam tidak semestinya menolak kepentingan agama dalam kehidupan. Ada sebab-sebab lain yang menyebabkannya lemah. Ajaran agama memerlukan penyegaran dan penjernihan kembali. Ia tidak bermakna remaja Islam menolak prinsip-prinsip asasi yang ada pada Islam baik akidah, ibadah, mualamal, syariah dan sebagainya. Tetapi upaya kritis itu hendaklah mampu menjadikan prinsip dan ajaran Islam sesuatu yang hidup dan terus mampu mempedoman zaman dan memacu perubahan. Inilah asas pemikiran kritis yang harus disuburkan oleh remaja.

- PROF. DR. SIDEK BABA ialah pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Selangor.

Ulasan admin :

Sewajarnya umat sekarang perlu berfikiran kritis. Terutamanya remaja yang akan menjadi aset negara dan bakal menerahui negara. Cuba bayangkan sekiranya remaja yang ada pada hari ini hanya terleka dibuai dengan budaya hedonisme yang semakin hari semakin parah. Apakah yang akan terjadi kepada generasi akan datang? Sekiranya umat sekarang tidak lagi mementingkan prinsip islam dan nilai aqidah yang sangat-sangat memain peranan yang penting dalam kehidupan, maka tunggulah saat kehancuran yang pasti dari Allah. Sekiranya kita mengkaji mengapa negara Israel yang kecil itu boleh menguasai DUNIA. Pernahkah kita terfikir? Ini disebabkan mereka telah dilatih supaya berfikir secara kritis dalam menghasilkan sesuatu. Contoh yang suka saya bawa di sini, bagaimana seorang pelajar jurusan business akhir tahun di universiti, para penuntut dibidang niaga dikehendaki melakukan projek dan memperaktikkannya dan anda hanya akan lulus jika kumpulan anda dapat keuntungan sebanyak $US1juta! Anda terperanjat? Itulah kenyataan, dengan rangkaian seluruh dunia dan ditaja sepenuhnya oleh syarikat milik Yahudi, maka tidak hairanlah mereka dapat menguasai perniagaan didunia! Siapakah yg mencipta design Levis yg terkini? Ianya dicipta di Universiti Israel oleh fakulti bisnes dan fesyen. Hebatkan! Dan kita orang Islam hanya tahu berbangga dengan hasil ciptaan mereka.

Kesimpulannya, mulai saat ini kita wajib menggunakan akal yang telah diberikan oleh Allah sekritis yang mungkin agar tamadun kita akan terus berkembang seiring dengan prinsip-prinsip Islam yang tak mungkin dilupakan.

"Kemajuan yang dicapai pada hari ini adalah hasil adanya tradisi berfikir dan berilmu yang menjadi tapak atau titik-tolak keunggulan ilmu pada masa lalu. Tidak mungkin apa yang akan berlaku pada masa depan tanpa tapaknya terbina di hari ini".


Monday, March 14, 2011

Malaysia Patut Contohi Jepun Hadapi Bencana



BEGINILAH keadaan di Arahama, di Bandaraya Sendai, Jepun yang dirakam satelit GeoEye sebelum (atas) dan selepas (bawah) kejadian gempa 8.9 magnitud yang mencetuskan tsunami , Jumaat lalu. Bandar pesisir pantai itu kelihatan pasir bersih yang memutih dengan deretan bangunan dan kediaman tetapi selepas tsunami ia ibarat 'padang jarak padang tekukur'. - Foto AP Mar 14, 2011 10:00 am

Rakyat sentiasa dilatih bersedia hadapi saat cemas gempa

SEHINGGA semalam, angka kematian akibat gempa bumi berukuran 8.9 pada skala Richter yang diikuti gelombang tsunami di timur laut Jepun Jumaat lalu, mencecah lebih 10,000 orang termasuk yang masih hilang, manakala 20,800 kediaman dan bangunan musnah.

Pagi semalam juga, satu lagi gempa bumi dengan kekuatan 6.8 skala Richter melanda pantai timur pulau Honshu, tetapi ia tidak menyebabkan tsunami dan kemusnahan baru.

Namun, kebimbangan timbul apabila beberapa loji reaktor nuklear dikesan bermasalah ekoran gempa bumi Jumaat lalu, apabila sistem penyejuknya tidak berfungsi dan berisiko meletup.

Memang kejadian di Jepun itu, yang dapat kita saksikan dengan jelas di kaca televisyen, malapetaka amat dahsyat. Walaupun dari segi korban, tsunami Aceh pada 2004 jauh lebih tinggi dengan ratusan ribu nyawa, detik-detik ketika gempa berlaku dan tsunami melanda tidak dapat kita saksikan seperti mana di Jepun, Jumaat lalu.

Bencana, sekecil mana pun pasti menyebabkan kerugian dan kesedihan. Pada masa sama, ia juga menguji keimanan, kesabaran, kebijaksanaan serta sejauh mana kita mempelajari daripadanya.
Jepun, sebagai negara termaju di dunia dengan rakyatnya yang terkenal berdisiplin ternyata sudah lama belajar daripada bencana alam itu. Mungkin kerana itu, angka kematian dan jumlah kemusnahan akibat kejadian Jumaat lalu masih boleh dianggap kecil berbanding kekuatan gempa dan kedahsyatan tsunami yang melanda.

Sikap kebanyakan rakyat Jepun menghadapi gempa bumi dan tsunami Jumaat lalu mungkin boleh dipelajari kita, walaupun bencana besar di negara ini mungkin hanya banjir setiap musim tengkujuh. Sejak gempa bumi berskala 7.9 Ritcher pada 1 September 1923 yang hampir meranapkan Tokyo, rakyat Jepun sentiasa bersedia menghadapi kemungkinan dilanda gempa lebih buruk daripada itu. Pada kejadian 88 tahun lalu itu, Tokyo terbakar selama tiga hari dan 140,000 terkorban.

Sejak bencana itu, Kerajaan Jepun memperkenalkan peraturan yang memastikan setiap bangunan, empangan dan binaan mampu menghadapi gegaran sebaik mungkin. Mulai 1980, Agensi Meteorologi Jepun memasang lebih 130 alat pengesan di gunung dan dasar laut untuk mengesan gegaran geologi yang mungkin petanda kedatangan gempa bumi di wilayah selatan Tokyo.

Data elektronik yang dikumpul melalui kaedah itu diawasi komputer dan dua petugas sepanjang masa. Gempa bumi Kobe pada 1995 pula menyedarkan pihak berkuasa bahawa keadaan bangunan pejabat yang uzur serta kelewatan badan bertindak pada peringkat jabatan kerajaan, menyebabkan 6,400 orang terkorban selepas terperangkap di bawah runtuhan.

Rakyat Jepun memang sedar bahawa gugusan pulau yang membentuk negara itu terletak di atas titik lingkaran Pasifik di mana tiga kerak bumi sentiasa berlaga, menyebabkan antara 30 hingga 40 gegaran dapat dirasai setahun. Ketidakstabilan geologi sudah menjadi sebahagian kehidupan harian rakyat Jepun, manakala istilah ‘jishin’ (gempa bumi) menjadi mainan bibir setiap kali mereka merasai gegaran.

Kebanyakan bangunan baru di Jepun kini memang mempunyai alas getah bawah tanah untuk menahan kesan gegaran, manakala pencakar langit direkabentuk supaya dapat bertahan goyangan selepas gempa bumi.

Setiap 1 September pula, sempena memperingati gempa bumi 1923, jutaan rakyat Jepun menyertai latihan menghadapi bencana anjuran pihak berkuasa tempatan di daerah masing-masing. Kanak-kanak sekolah memakai penutup kepala dan berlatih berlindung di bawah meja. Warga tua diingatkan supaya memilih tempat untuk bertemu dengan orang tersayang sekiranya terpisah ketika bencana. Kedai pula menjual peti kecemasan mengandungi air, lampu picit dan makanan tahan lama.

Kita sendiri dapat menyaksikan siaran televisyen bagaimana rakyat Jepun agak tenang ketika menghadapi saat-saat cemas ketika menghadapi gegaran itu – sama ada di sekolah, rumah, pejabat dan di dalam pasar raya.

Murid terus memakai pelindung kepala dan berlindung di bawah meja sebaik saja merasai gegaran. Pekerja pejabat yang keluar dari bangunan juga dilihat memakai alat pelindung kepala, tindakan yang sudah menjadi sebahagian daripada piawaian keselamatan di tempat kerja ketika menghadapi gempa kuat. Malah penyampai berita televisyen tempatan juga dilihat memakai topi keselamatan ketika bertugas.

Walaupun kita di Malaysia belum pernah dilanda gempa bumi besar, semakin kerapnya gegaran kecil dirasai sejak beberapa tahun kebelakangan ini, turut menimbulkan pertanyaan sejauh manakah persediaan kita jika ditakdirkan bencana itu berlaku pada tahap menyebabkan kemusnahan.

Jika cara kita menghadapi banjir besar dijadikan ukuran, walaupun dari segi korban dan kemusnahan tidak sebesar gempa bumi, tsunami atau gunung berapi rasanya kita masih perlu banyak belajar daripada rakyat Jepun.

Kereta yang bakal dieksport musnah akibat Tsunami. Imej ini diambil di bandar Hitachinaka.

Gelombang pemusnah(ombak perang) sedang menuju ke bandar Hitachinaka,

Ibaraki sejam selepas gempa bumi 8.9 skala Richter berlaku. Kelihatan

kereta masih lagi melintasi jambatan di bandar tersebut.

Imej tsunami ini dirakam di Pantai Natori, Miyagi Prefecture. Lihat dan

perhati betapa besarnya ombak tersebut.

Runtuhan rumah dikelilingi dengan serpihan kayu dan konkrit namun

tidak pula disaksikan mayat-mayat bergelimpangan sepertimana

berlaku di Acheh. Imej ini dirakam di Bandar Iwaki,Fukushima Prefecture.

Imej kemusnahan ini dirakam di Kesennuma,Miyagi,utara Jepun.

Kebakaran yang berlaku di wilayah Miyagi.

Jalan berlipat dan pecah di sebuah jalan di Fukushima.

Pusaran air yang berlaku setelah tsunami mula reda di Pelabuhan Oarai,

Ibaraki.

Banjir lumpur mula melimpahi kawasan lapangan terbang di Sendai.

Berdozen-dozen rumah dibawa arus deras tsunami.

Kebakaran berlaku di Ichihara setelah digoncangkan oleh gempa bumi.

Gelombang tsunami dilihat daripada kejauhan.

Tiga pekerja melihat kilang tempat mereka mencari nafkah di Sukagawa,

Fukushima.

Dua gadis melangkah di sebuah jalan di Bandar Urayasu,Chiba.

Api menjulang beberapa kaki ke udara setelah tempat pemprosesan gas asli meletup di Chiba, berhampiran bandar Tokyo.

Api merebak dengan cepat di kawasan perumahan di Yamada,utara Jepun.

Jalan terbelah di Satte,kepulauan Honshu.

Kedashyatan tsunami dengan ombak gadang mula menghayutkan segala

benda yang berada di hadapannya.

Segala bencana yang berlaku di dunia ini menunjukkan dunia

sudah sampai ke penghujungnya..dunia sudah semakin tua..

fikir-fikirkan lah bersama.Moga diri kita juga sentiasa bersedia untuk

menghadapi Rabbul Izzati kelak...

Saturday, March 5, 2011

Revolusi di Libya Menyebabkan Kenaikan Harga Minyak Dunia


Harga minyak terus melonjak, dengan harga minyak mentah Brent naik USD$7 untuk mencecah USD$119.79 setong semalam , paras tertinggi sejak Ogos 2008.


Harga minyak melambung kerana revolusi di Libya dengan jangkaan bekalan minyak akan terjejas . Pedagang juga bimbang ketidakstabilan politik di Libya mungkin merebak ke negara-negara Timur Tengah lain yang merupakan pengeluar minyak .Harga minyak Brent meningkat 15 % sejak 4 hari lalu.

Muammar Gaddafi diasak untuk meletak jawatan oleh rakyatnya yang kini memenuhi jalan - jalan di timur Libya dan sedang menuju Tripoli.



Muammar Gaddafi mula mengarahkan Tentera Udara Libya mengebom beberapa bandar di negaranya sendiri yang kononnya dikuasai pembangkang . Dilaporkan bahawa 2 juruterbang angkatan udaranya terjun dari pesawat dengan menggunakan payung terjun dan membiarkan pesawat itu merempuh padang pasir kerana enggan mengikut arahan Gaddafi.

Revolusi rakyat di Libya menjejaskan eksport minyak mentah dari Libya kira - kira 1.6 juta setong sehari. Libya juga mempunyai simpanan minyak terbesar di Afrika.

Syarikat pengeluar minyak terbesar di Libya, Eni (Italy), dan dua lagi syarikat minyak - Repsol-YPF (Sepanyol) dan OMV (Austria) mula menggantung operasi mereka.

Pemerhati menjangkakan ketidaktentuan di Libya akan meningkatkan harga minyak sekurang - kurangnya USD$15 lagi dan harga itu akan berkurangan jika Gaddafi meletakkan jawatan.

Para pelabur juga bimbang revolusi di Tunisia, Mesir, Bahrain, Maghribi dan Oman boleh mempengaruhi negara-negara seperti Arab Saudi, Iran dan Nigeria yang merupakan pengeluar minyak yang besar.

Ramai yakin krisis di Libya tidak akan berakhir dengan cepat , oleh itu ramai mula melabur dalam emas.

Harga emas juga meningkat sebanyak 0.1 peratus mencapai USD$1,412.90 satu auns.

Deutsche Bank dalam laporannya semalam menjangkakan pertumbuhan ekonomi dunia akan terjejas jika harga minyak melebihi USDS$120 setong.

Thursday, March 3, 2011

Warkah Ke Syurga..


Bismillahirrahmanirrahim...

Muhasabah adalah perilaku bagi mengitung dan memperelokkan diri yang terbentuk di dalam jiwa seseorang manusia itu menurut kaca mata agama. Ia juga boleh dimaksudkan sebagai mendidik diri agar sentiasa mencela segala kejahatan yang pernah dilakukan yang boleh menjadi pengalang untuk mandapat keredhaan dari Allah Taala.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

Orang yang pintar ialah orang yang menghitung dirinya serta beramal untuk hari selepas kematian sementara orang yang lemah ialah orang yang menikut hawa nafsunya serta beragan-angan terhadap Allah dengan angan-angan (yang banyak). (Riwayat al-Tarmizi).

Sesiapa yang bermuhasabah dirinya maka dia tidak akan meninggalkan ruang dan masa untuk dirinya melakukan perkara-perkara yang batil. Menyibukkan diri dengan ketaatan akan menghapuskan masa untuk membuat kejahatan. Dia akan mencela jiwanya di atas setiap kesalahan dan kekurangan yang yang dia lakukannya terhadap Allah Taala kerana takutnya diri ini kepada kekuasaanNya. Jika inilah keadaannya maka mana mungkin boleh didapati jalan dan ruang untuk membuat kesalahan dan kebatilan?

Berkata as-Sayyid Ahmad ar-Rifaie:

Daripada takut akan timbulnya muhasabah. Daripada muhasabah timbulnya muraqabah. Daripada muraqabah hati akan sentiasa sibuk bersama Allah Taala. (Kitab: al-Burhan al-Muayyad).

Secara tegasnya muhasabah pasti akan menghasilkan perasaan bertanggungjawab terhadap Allah Taala dan rasulNya serta makhluk-makhlukNya. Melalui muhasabah juga manusia merasa diri mereka tidak diciptakan oleh Allah Taala dengan sia-sia. Setiap manusia pasti akan kembali semula kepada Allah Taala apabila telah sampai waktunya.

Firman Allah Taala bermaksud:

Setiap yang berjiwa (yang bernyawa) akan merasai mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sahajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga ia telah beruntung. Kehidupan dunai itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan. (Surah ali-Imran: Ayat 185).

Di dalam kesibukkan kita mengejar kekayaan dunia ini maka janganlah lupa juga untuk kita menyibukkan diri dengan mengingati Allah Taala. Perkara seperti inilah yang selalu dituntut oleh agama Islam.

Firman Allah Taala bermaksud:

Maka segeralah kembali kepada Allah maka sesungguhnya aku seorang pemberi peringatan yang nyata daripada Allah untukmu. (Surah adz-Dzaariyaat: Ayat 50).

Firman Allah Taala bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu bersama orang yang benar. (Surah at-Taubah: Ayat 119).

Adapun golongan sufi sentiasa menyibukkan diri dengan penghambaan dan pengabdian diri kepada Allah Taala. Mereka beriman di dalam perjalanan musafir ini menuju Allah Taala dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas. Hati mereka sentiasa mengingati bahawa mereka akan kembali kepada Allah Taala pada setiap masa.

Firman Allah Taala bermaksud:

Di tempat yang disenangi (penuh kebahagiaan) di sisi tuhan (Allah Taala) Maha Kuasa. (surah al-Qamar: Ayat 55).

Berkata Syeikh Ahmad Zarruq:

Lalai dari bermuhasabah diri menyebabkan apa yang dilakukan menjadi silap. Kurang berbincang dengannya boleh membawa kepada adanya sifat redha nafsu atau rasa berpuas hati terhadapnya. Memerangi nafsu boleh menjauhkan daripada melekat pada diri dan tidak bersikap tegas terhadapnya menyebabkan dia menjadi pahlawan. Oleh itu lazimilah diri dengan sentiasa bermuhasabah dan berbincang serta beramallah dengan apa yang sahih tanpa bertolak-ansur terhadap perkara yang telah nyata salah. Ketika beramal jangan mencari sesuatu yang tidak jelas. (Kitab: Qawaid al-Tasawuf).

Demikianlah pentingnya muhasabah di dalam diri setiap individu. Tanpa muhasabah yang ikhlas maka seseorang itu akan sentiasa berasa diri tidak pernah melakukan kesalahan. Bermuhasabahlah diri dengan hati yang terbuka agar kita boleh memperbaiki kebatilan dan kelamahan diri sebelum diri kita menemui ajal.

Berkata Saidina Umar al-Khattab:

Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab. Timbanglah amalan kamu sebelum kamu ditimbang. (Kitab: Tahzib Madarij al-Salikin).

Moga kita tergolong dalam golongan orang-orang yang sentiasa mendekatkan diri dengan Allah...Sesibuk manapun kita, kita tetap seorang hambaNya yang sentiasa mengharapkan keredhaan dariNya agar mendapat keberkatan di dunia dan di akhirat..

SIAPAKAH SEBENARNYA DIRIMU...?

“Hai manusia apakah yang telah memperdayakan kamu (berbuat durhaka) terhadap Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang telah menciptakan kamu lalu menyempurnakan kejadianmu dan menjadikanmu (susunan tubuh) mu seimbang, dalam bentuk apa saja yang Dia kehendaki, Dia telah menyusun tubuhmu” (al-Infithar:6-8)

Wahai manusia, siapakah sebenarnya dirimu?

Kami, kaum yg beriman akan menjawab:

Kami adalah kelembutan Ilahi, tiupan yg suci dan ruh yang berasal dari Allah.
Allah telah menciptakan diri kami dgn “kedua tanganNYA”,
lalu meniupkan ruh-NYA ke dalam diri kami,
melebihkan kami daripada kebanyakan makhlukNya,
memerintahkan para Malaikat utk sujud (memberi hormat) kepada kami,
mengajarkan berbagai nama (ilmu) kepada kami,
menawarkan AMANAH ISLAM kepada kami,
dan kami pun bersedia mengembangkannya,
menyempurnakan ni’mat-Nya yang nampak maupun yg tidak nampak kpd kami,
menundukkan segala yg ada di langit dan bumi utk kami,
dan menganugerahkan berbagai kemuliaan kpd kami.

Allah menciptakan kami dalam sebaik-baik bentuk,
Mempersiapkan kami dgn sebaik-baik persiapan,
Menganugerahkan pendengaran, penglihatan dan akal fikiran kpd kami,
Membentangkan dua jalan utk kami,
Menunjukkan dua cara hidup pada kami,
Dan memudahkan jalan bagi kami,
Sehingga dgn izinNYA kami dapat menyelam di air,
Terbang di udara, berpacu dgn aliran electrik, dan mengungkapkan rahsia atom.
Bahkan dgn akal fikiran kami,
kami dapat menembus penjuru-penjuru langit dan bumi.

Maka adakah ni’mat lain yg lebih mulia, lebih agung, lebih besar dari semua itu???

Ubatmu Ada Dalam Dirimu,
Namun Kamu Tidak Tahu,
Penyakitmu Dari Dirimu,
Meskipun Kamu Tidak Menyedari,
Kamu Menyangka Dirimu Adalah Benda Kecil,
Padahal Dunia Besar Berada Dalam Dirimu…

“Hai manusia apakah yang telah memperdayakan kamu (berbuat durhaka) terhadap Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang telah menciptakan kamu lalu menyempurnakan kejadianmu dan menjadikanmu (susunan tubuh) mu seimbang, dalam bentuk apa saja yang Dia kehendaki, Dia telah menyusun tubuhmu” (al-Infithar:6-8)

Wahai manusia, apakah hakikat hidupmu?

Kaum yg berfaham MATERIALISME akan mengatakan:

Wahai manusia, kamu adalah segenggam tanah dan setetes air mani
Yang dipancarkan dari tulang punggung,
Lalu diletakkan di dalam rahim.
Setelah itu hari-hari akan membinasakanmu dan
Tanah akan menelanmu kembali;
Kemudian tidak ada apa-apa lagi setelah itu.
Siapakah yang dapat menghidupkan kembali tulang belulang yg telah hancur?

“Dan mereka berkata: Kehidupan ini tidak lain hanyalah kehidupan didunia saja,
kita mati dan kita hidup dan tidak ada yg membinasakan kita selain masa” (AL-Jatsiyah:24)

Maka, kata kaum materialistik lagi…

Wahai manusia,
Pergunakanlah hidup kamu ini
Semaksima yg boleh…
Untuk memenuhi segala keperluan dan sedutlah berbagai ni’mat
Tanpa batas… tanpa sekatan…

HIDUP INI HANYA SEKALI…

Dunia hanyalah makan
Minum dan Tidur puas
Penuhi tuntuan nafsu tanpa batas dan serba bebas…
Bila kamu tidak mendapat bagian
Ucapkanlah selamat tinggal…

Inilah aqidah kaum materialistic…
Semoga manusia tidak tertipu …

SEMENTARA ITU…

Kami, kaum yg beriman akan menjawab:

Setelah kehidupan yg pendek ini,
Kami akan jalani kehidupan yg kekal abadi,
Kami dihidupkan dan akan dimatikan,
Kemudian dibangkitkan dan dikumpulkan di makhsyar,
Setelah itu…
Kami akan memulakan hidup baru …
Dengan rahmatNYA
berada ditempatNya yg mulia dan penuh keni’matan
bila kami memahami rahsia tugas kami dalam kehidupan ini
dan mengikhlaskan amal untuk Tuhan kami.

“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-KU. AKU tidak menghendaki rezeki sedikitpun dari mereka dan AKU tidak menghendaki supaya mereka memberi AKU makan” (Ad-Dzariyat:56-57)

Kematian yang manusia takuti…
Hakikatnya adalah perpindahan dari khidupan yang fana’ ini
Kepada kehidupan yang kekal abadi…

“Dan sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan,
kalau mereka mengetahui.” (Al-Ankabut:64)

Tubuh fizikal ini hanyalah sangkar yang mengurungi diri kami,
Dan pakaian indah dan mahal kami pasti akan kami lepaskan
bila ajal telah datang menjengok,
Lalu hari pembalasan akan segera menghampiri kami…

Semoga Allah merahmati orang bijak yang menyairkan:

Saya adalah seekor burung dan fizikal ini sangkarnya
Saya terbang, sementara ia tetap tergadai ditempatnya,
Saya adalah bayangan, sementara fizikal ini hanyalah
Pakaian pebungkus yg bersamaku beberapa masa
Sekarang saya menyeru kpd semua manusia
Dan saya yakin Allah melihat diriku dgn jelas
Jangan mengira bahawa mati itu akhir kehidupan
Ia hanyalah perpindahan dari kehidupan yg fana’…

“Hai manusia apakah yang telah memperdayakan kamu (berbuat durhaka)
terhadap Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang telah menciptakan kamu
lalu menyempurnakan kejadianmu dan menjadikanmu (susunan tubuh)
mu seimbang, dalam bentuk apa saja yang Dia kehendaki,
Dia telah menyusun tubuhmu” (al-Infithar:6-8)

Wahai manusia,
Di hadapanmu ada dua jalan,
Dua persimpangan…
Yang satu menuju pada Allah…Tuhanmu yang telah menjadikanmu,
Yang satu lagi menjauhi Allah dan RahmatNYA…
Pilihlah yang mana satu…

Wahai manusia,
Begitulah masalah kehidupan.
Bila engkau memperhatikannya dengan adil dan saksama,
Menggunakan akal fikiran dan merenungkannya,
Bukan termasuk orang-orang yang lalai serta tertipu oleh dunia,
Dan bukan termasuk orang yang menghinakan kemanusiaannya,
Maka engkau pasti akan dapat menemukan
tujuanmu dalam hidup ini
serta menemukan jalan untuk mencapai tujuan tersebut…

Nasihat saya…

Hendaklah saudara/i menyendiri sesaat di waktu siang mahupun malam
Lalu bandingkan mana di antara pendapat itu yg lebih utama
Dan renungkan pengaruh dari masing-masing jalan hidup itu
Bagi individu mahupun masyarakat.
Bila saudara/i puas dengan pendapat kaum mukmin…
Itulah fitrah, maka bicaralah pada jiwamu,
Sempurnakan keutamaan yg ada padanya…
Selamatkan dia dari urusan-urusan yang hina serta
tujuan-tujuanyang rendah,
Hubungkan jiwamu dengan Tuhannya Yang Maha Tinggi,
Dan sucikanlah jiwa mu dengan
ilmu yang benar, dzikir yang sahih,
ketaatan yang tidak berbelah bagi kepada perintahNYA,
Takut kepada MurkaNYA dan
Selalu merasakan pengawasanNYA.
“Siapa yang mengenal dirinya pasti mengenal Tuhannya”

MEREKA TELAH MENCALONKAN MU UTK SEBUAH
URUSAN YANG BESAR. MAKA JANGAN BIARKAN DIRIMU
BERSAMA-SAMA HAL-HAL YANG TIDAK BERGUNA.

Jangan hairan kalau ada sebahagian manusia
yg memilih pendapat kedua...
Iaitu pendapat kaum materialistic…
Sebab semuanya adalah fitnah dan ujian bagi manusia;
Ada yg mendapat hidayah dan yang terfitnah…
Firman Allah:
“Dan bacakanlah kpd mereka berita orang
yg telah KAMI berikan kepadanya ayat-ayat KAMI
(pengetahuan tentang isi al-Qur’an),
lalu ia melepaskan diri daripada ayat-ayat itu,
lalu dia ikuti syaithan (sampai dia tergoda),
maka jadilah dia termasuk orang-orang yg sesat.
Dan kalau KAMI menghendaki…
Sesungguhnya KAMI tinggikan (darjat)nya dgn ayat-ayat itu,
Tapi dia cenderung kepada dunia,
dan menuruti hawa nafsunya yang rendah,
maka perumpamaannya seperti anjing; jika kamu menghalaunya,
dihulurkannya lidahnya, dan jika kamu membiarkannya,
dia meghulurkan lidahnya (juga). Demikian itulah perumpamaan
orang-orang yang mendustakan ayat-ayat KAMI.
Maka ceritakanlah (kepada mereka) kisah-kisah itu,
Moga-moga mereka berfikir.” (Al-‘Araf:175-176)

Semoga Allah memberikan hidayah
Dan membimbing kita semua ke jalan yang lurus..Aamin

.


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails